

Semalam secara tiba tiba PMUKM telah melancarkan e-aduan PMUKM sebagai pusat aduan pelajar UKM. Antara lain e-aduan berhasrat mengumpulkan semua aduan pelajar, dikemaskini dan dipastikan tidaj bertindih antara satu sama lain. Menarik sekali kejadian tiba-tiba ini, sama seperti kisah Forum Bajet 2012 sebelumnya. Saya membayangkan semua ini adalah satu kebetulan dengan lontaran idea dari blog ini. Soal disengajakan atau tidak bukanlah satu persoalan. Tetapi tindakan sebegini pasti mengundang polemik dalam politik kampus.
PMUKM Semakin Terdesak?
Pada pihak musuh politik GMUKM-PMUKM, samada dikalangan penyokong ASPIRASI dan TSB, tindakan menganjurkan program selepas 'diberikan idea' akan dilihat sebagai kurangnya inovasi dan idea di kalangan pimpinan GMUKM-PMUKM. Kerana terdesak dan bimbang dilihat sebagai tidak proaktif, maka program seperti forum Bajet 2012 dan e-aduan telah diadakan. Mungkin ada kebenarannya kerana pada saat PMUKM dihujung pemerintahannya, mengapa baru dianjurkan khidmat e-aduan berpusat. Bukankah sepatutnya dianjurkan pada minggu pertama pemerintahan mereka dahulu? Tindakan yang sepatutnya dilakukan sejak awal dahulu setelah diadakan perjumpaan dengan semua Jaksa, persatuan fakulti dan persatuan di Pusanika. Itulah pandangan musuh politik kampus GMUKM-PMUKM.
PMUKM Semakin Matang?
Pada penyokong tegar GMUKM-PMUKM, apa salahnya PMUKM menerima idea, teguran dan nasihat jika semua itu memang menjadi tanggungjawab PMUKM untuk melaksanakannya. Soal idea siapa tidak penting, yang penting ialah bagaimana idea yang baik harus dilaksanakan. Menolak idea yang baik semata-mata kerana orang yang memberikan idea tidak sejamaah dengan GMUKM adalah tindakan yang tidak tepat dan merugikan. Itulah mungkin pandangan sesetengah pimpinan GMUKM-PMUKM.
Apa pula pandangan saya?
Mungkin secara kebetulan idea yang blog ini lontarkan mendahului usaha yang PMUKM lakukan. Jika benar begitu, saya andaikan tindakan PMUKM itu sebagai satu langkah rensponsif yang baik, walaupun sepatutnya mereka bersikap proaktif, kerana itu selalunya lebih baik. Pada saya, sesiapa pun yang membuka idea yang baik, PMUKM harus raikan. Mana-mana yang sesuai PMUKM kena nyatakan sokongan, mana mana yang wajar, PMUKM boleh laksanakan. Sebab itu bila PMUKM anjurkan forum "bajet 2012" saya menghadirkan diri. Asasnya apa sahaja idea yang baik untuk kemajuan dan kebajikan pelajar UKM, pimpinan pelajar harus raikan dan usahakan. Saya kira pengundi atas pagar lebih memahami pada siapa undi mereka akan diberikan nanti.