02 March, 2014
BANGSA YANG TERSUMPAH
SEKIAN LAMA AKAL TERFIKIR
APALAH BALA MALANG YANG HADIR
NEGARA KAYA BANGSAKU FAKIR
BERSORAK UNTUNG SEBENARNYA KIKIR
SEJAK MULA SEJARAH TERCIPTA
BANGSAKU INI SENTIASA LUPA
SETIAP MASA HILANG UPAYA
NAMUN NAFSU SENTIASA MENGGILA
DULU SI KITOL PUNYA ANGKARA
HABIS TERJAJAH NEGERI MELAKA
SEMUA MENYESAL TIDAK TERKIRA
KERANA PERCAYA TAK TENTU PUNCA
HABIS NEGERI DIAMBIL ORANG
BANGSAKU MEREMPAT MENCARI PELUANG
HIDUP MERANA DITINDAS ORANG
MASIHKAH BANGSAKU TAK RASA KURANG
BANGSAKU DULU DIMAIN ORANG
MASIH BEGITU HINGGA SEKARANG
MARUAH TAK UBAH UMPAMA BARANG
KERANA KUASANYA SEMAKIN BERKURANG
JIKA BANGSAKU TAK INGIN SEDAR
TENTU WARISNYA AKAN BEREDAR
TINGGALKAN KOTA TINGGALKAN BANDAR
MENCARI DESA HIDUP BERKADAR
BANGSAKU TAK UBAH SEPERTI DISUMPAH
HINGGA HIDUPNYA TAK PERNAH BERUBAH
BEGITULAH KUKUH TIDAK TERPISAH
MERATAPLAH MEREKA DI BUMI BERTUAH
KINI KU TAHU PUNCA DAN ISI
SUMPAHAN BANGSAKU CIPTAAN SENDIRI
KERANA NAFSU TAMAK DAN IRI
HINGGA TAK KENAL BANGSA SENDIRI
SEDIKIT KUASA DI HUJUNG JARI
SANGGUP BERDENGKI HINGGA KE MATI
BIAR TERLEPAS DARI MEMBERI
AKHIRNYA SEMUA MENANGGUNG RUGI
SELAGI PERANGAI MASIH BEGITU
BANGSAKU TETAP SEPERTI SEMALU
DICABAR ORANG DIBERI LALU
HAK SENDIRI PERLU MERAYU
INILAH KISAH SUMPAHAN BANGSAKU
PUAS MERINTIH AKU MERAYU
BANGUNLAH BANGSAKU BERNAMA MELAYU
SUPAYA DUNIA MENGENAL KAMU
SEKALI INI AKU BERPESAN
NADANYA TEGAS BIAR TERKESAN
KALAU BANGSAKU TAK MAHU DI NESAN
RUNGKAIKAN DIRI DARI SUMPAHAN
-anuar ahmad -ukm-