02 March, 2014

ANAK MUDA PEWARIS BANGSA





ANAK MUDA ITU JIWANYA RINGKAS 
TINGKAHNYA PANTAS
FIKIRNYA LEMAS
HATINYA IKHLAS TIDAK BERKIAS

ANAK MUDA ITU BILA BERKATA NIPIS LAPIKNYA
BILA BERANTAKAN MINTA PUTUS SEGALA
BILA BERKASIH RELA HILANG SEMUA
BAIK ASUHAN SANTUNLAH DIA

ANAK MUDA ITU BILA DIPUJI BANGGANYA KETARA
BILA DIKEJI MARAHNYA MENGGILA
BILA TERPINGGIR MINTA DIBELA
BILA DIBERI MINTA SEMUA

ANAK MUDA ITU HEBAT BILA TAHAN DIDUGA
BUKAN KERANA DISUAP DIJAGA
HEBATNYA MEREKA DI AKAL DI JIWA
BUKAN KERANA CANTIK DI RUPA

ANAK MUDA ITU SANTUNNYA DIJAGA,
BILA RENCANA TERSERLAH BIJAKNYA
DALAM MENYOKONG SENTIASA BERPADA
DALAM MENENTANG ADA HUJAHNYA

ANAK MUDA ITULAH PEWARIS BANGSA
ROSAK MEREKA ROSAKLAH SEGALA
SEMANGAT PEMUDA ROHNYA BANGSA
HILANG MEREKA BANGSA KECEWA

ANAK MUDA ITU PERLU DIRESTU
ANGKATLAH MEREKA JADI TERAJU
DIDIKLAH DIA BIMBINGLAH SELALU
ELAK AMARAH JAUHI CEMBURU

BIAR RANJAU PENUH BERDURI
ANAK MUDA BANGUN PANTAS BERLARI
DEMI BANGSA JANGAN PEDULI
SEGALA UMPAT SERANAH DAN KEJI

BUAT MEREKA SEUSIA DENGANKU
IZINKAN ANAK MUDA MEWARISI AZAMMU
DENGAN MEREKA KONGSILAH ILMU
AGAR MEREKA TAK MUDAH DITIPU

BUAT ANAK MUDA PEWARIS BANGSA
HARI INI AKU BERPESAN
JAGALAH AGAMA JAGALAH BANGSA
KERANA KAMULAH PEJUANG WARISAN

-anuar ahmad- ukm-