CUBA KIRA BERKALI KALI
BERAPA HARI MENUJU MATI
PASTI TIADA JAWAPAN DIBERI
KERANA ITU KUASA ILAHI
KITA HIDUP MENUNGGU MATI
BUKAN MENGALAH TETAPI KHUATIRI
JIKA DOSA KUASAI DIRI
SUDAH MATI MINTA KEMBALI
WAHAI MANUSIA CIPTAAN TUHAN
JANGAN HIDUP TIADA PEDOMAN
HINGGA HILANG JIWA BERIMAN
KELAK TERLEPAS SYURGA IDAMAN
SUDAH DITUNTUT AMALAN SEMBAHYANG
MASIH RAMAI SOLATNYA BERSELANG
HANYA DILAKU DI KALA LAPANG
WALAUPUN TAHU ITU DILARANG
RAMAI HIDUPNYA SUNGGUH KERUGIAN
SIBUK MENCARI HARTA GELARAN
SEDANGKAN ITU CUMA SAMBILAN
SEMENTARA MENUNGGU JASAD DI NESAN
KAMU LUPA SURUHAN TUHAN
KAMU IKUT HASUTAN SYAITAN
KAMU TOLAK JALAN KEBENARAN
KAMU CARI JALAN KESESATAN
PADA YANG INSAF BAHAGIALAH KAMU
PADA YANG SESAT TUNGGU AZABMU
ALLAH TAK LUPA SEGALA AMALMU
PASTI TIMBANGAN MENJADI PENENTU
SEBAGAI SAHABAT AKU BERPESAN
BUAT DIRI DAN JUGA RAKAN
CARILAH PAHALA SEBAGAI BEKALAN
BUATLAH AMAL TAMBAHLAH IMAN
MATI NANTI BIARLAH KE SYURGA
PERHENTIAN TERAKHIR TANPA DERITA
HIDUP PENUH CERIA GEMBIRA
TIADA TANDINGNYA SEKADAR DUNIA
JIKA SEMALAM ADA YANG MATI
PASTI NANTINYA KITA SENDIRI
CUKUPKAH AMALMU UNTUK BERDIRI
DI DEPAN ALLAH MEMOHON SIMPATI
BILA TIBA SAATNYA MATI
SESAAT TIDAK ALLAH MUNGKIRI
TAUBAT DAN RAYU TOLAK KE TEPI
TIADA LAGI IHSAN DIBERI
SEBELUM TIBA WAKTUNYA MATI
KEMBALILAH KITA INSAFI DIRI
TUNAI SEGERA TUNTUTAN ILAHI
AGAR SESAL KITA HINDARI
BAYANGKAN KAMU YANG SUDAH MATI
TIADA LAGI BANTUAN DIBERI
HARTA, ANAK DAN JUGA ISTERI
TIADA SIAPA AKAN MENGERTI
MATINYA KAMU KE LIANG LAHAT
SEORANG DIRI TAK SIAPA MELAWAT
MENUNGGU MASA UNTUK DISUKAT
AMALAN BAIK AMALAN JAHAT.
PADA ALLAH AKU BERDOA
AMPUNLAH DOSAKU SEMASA DI DUNIA
SEMOGA DAPAT KEKAL BAHAGIA
HIDUP GEMBIRA DI ALAM SANA.
-anuar ahmad- ukm-
SEKIAN LAMA AKAL TERFIKIR
APALAH BALA MALANG YANG HADIR
NEGARA KAYA BANGSAKU FAKIR
BERSORAK UNTUNG SEBENARNYA KIKIR
SEJAK MULA SEJARAH TERCIPTA
BANGSAKU INI SENTIASA LUPA
SETIAP MASA HILANG UPAYA
NAMUN NAFSU SENTIASA MENGGILA
DULU SI KITOL PUNYA ANGKARA
HABIS TERJAJAH NEGERI MELAKA
SEMUA MENYESAL TIDAK TERKIRA
KERANA PERCAYA TAK TENTU PUNCA
HABIS NEGERI DIAMBIL ORANG
BANGSAKU MEREMPAT MENCARI PELUANG
HIDUP MERANA DITINDAS ORANG
MASIHKAH BANGSAKU TAK RASA KURANG
BANGSAKU DULU DIMAIN ORANG
MASIH BEGITU HINGGA SEKARANG
MARUAH TAK UBAH UMPAMA BARANG
KERANA KUASANYA SEMAKIN BERKURANG
JIKA BANGSAKU TAK INGIN SEDAR
TENTU WARISNYA AKAN BEREDAR
TINGGALKAN KOTA TINGGALKAN BANDAR
MENCARI DESA HIDUP BERKADAR
BANGSAKU TAK UBAH SEPERTI DISUMPAH
HINGGA HIDUPNYA TAK PERNAH BERUBAH
BEGITULAH KUKUH TIDAK TERPISAH
MERATAPLAH MEREKA DI BUMI BERTUAH
KINI KU TAHU PUNCA DAN ISI
SUMPAHAN BANGSAKU CIPTAAN SENDIRI
KERANA NAFSU TAMAK DAN IRI
HINGGA TAK KENAL BANGSA SENDIRI
SEDIKIT KUASA DI HUJUNG JARI
SANGGUP BERDENGKI HINGGA KE MATI
BIAR TERLEPAS DARI MEMBERI
AKHIRNYA SEMUA MENANGGUNG RUGI
SELAGI PERANGAI MASIH BEGITU
BANGSAKU TETAP SEPERTI SEMALU
DICABAR ORANG DIBERI LALU
HAK SENDIRI PERLU MERAYU
INILAH KISAH SUMPAHAN BANGSAKU
PUAS MERINTIH AKU MERAYU
BANGUNLAH BANGSAKU BERNAMA MELAYU
SUPAYA DUNIA MENGENAL KAMU
SEKALI INI AKU BERPESAN
NADANYA TEGAS BIAR TERKESAN
KALAU BANGSAKU TAK MAHU DI NESAN
RUNGKAIKAN DIRI DARI SUMPAHAN
-anuar ahmad -ukm-
ANAK MUDA ITU JIWANYA RINGKAS
TINGKAHNYA PANTAS
FIKIRNYA LEMAS
HATINYA IKHLAS TIDAK BERKIAS
ANAK MUDA ITU BILA BERKATA NIPIS LAPIKNYA
BILA BERANTAKAN MINTA PUTUS SEGALA
BILA BERKASIH RELA HILANG SEMUA
BAIK ASUHAN SANTUNLAH DIA
ANAK MUDA ITU BILA DIPUJI BANGGANYA KETARA
BILA DIKEJI MARAHNYA MENGGILA
BILA TERPINGGIR MINTA DIBELA
BILA DIBERI MINTA SEMUA
ANAK MUDA ITU HEBAT BILA TAHAN DIDUGA
BUKAN KERANA DISUAP DIJAGA
HEBATNYA MEREKA DI AKAL DI JIWA
BUKAN KERANA CANTIK DI RUPA
ANAK MUDA ITU SANTUNNYA DIJAGA,
BILA RENCANA TERSERLAH BIJAKNYA
DALAM MENYOKONG SENTIASA BERPADA
DALAM MENENTANG ADA HUJAHNYA
ANAK MUDA ITULAH PEWARIS BANGSA
ROSAK MEREKA ROSAKLAH SEGALA
SEMANGAT PEMUDA ROHNYA BANGSA
HILANG MEREKA BANGSA KECEWA
ANAK MUDA ITU PERLU DIRESTU
ANGKATLAH MEREKA JADI TERAJU
DIDIKLAH DIA BIMBINGLAH SELALU
ELAK AMARAH JAUHI CEMBURU
BIAR RANJAU PENUH BERDURI
ANAK MUDA BANGUN PANTAS BERLARI
DEMI BANGSA JANGAN PEDULI
SEGALA UMPAT SERANAH DAN KEJI
BUAT MEREKA SEUSIA DENGANKU
IZINKAN ANAK MUDA MEWARISI AZAMMU
DENGAN MEREKA KONGSILAH ILMU
AGAR MEREKA TAK MUDAH DITIPU
BUAT ANAK MUDA PEWARIS BANGSA
HARI INI AKU BERPESAN
JAGALAH AGAMA JAGALAH BANGSA
KERANA KAMULAH PEJUANG WARISAN
-anuar ahmad- ukm-