Dr. Lee Hwok Aun, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pembangunan Universiti malaya |
Di UKM pula, saya sempat hadir mendengar perbentangan kajian "Tahap Diskriminasi: Bangsa Dan Pengambilan Graduan di Malaysia" di IKMAS-UKM oleh Dr Lee Hwok Aun, seorang pensyarah kanan bersama rakannya Dr Muhammad Abdul Khalid , kedua-duanya dari Universiti Malaya. Pada saya kajian ini sepatutnya akan membuka luas mata graduan dan pelajar Melayu di negara ini. Tentunya juga, saya sangat maksudkan secara khusus pada pelajar Melayu UKM.
Kedua-dua ahli akademik ini telah menjalankan kajian secara eksperimen (ini merupakan salah satu kaedah kajian terbaik bagi tujuan kajian seperti ini) selama enam bulan untuk menunjukkan sejauh mana graduan Melayu mendapat tempat di hati para majikan. Adakah setelah mereka menghantar resume, mereka dipanggil untuk temuduga?
Hasilnya walaupun mungkin memeranjatkan pada sesetengah orang, tetapi pada saya hakikat ini sudah lama wujud, dulunya tanpa data tetapi kini sudah ada data yang bersifat saintifik. Di saat hampir 24% (hampir 1/4) graduan Cina yang menghantar resume di panggil temuduga, hanya 4.2% (1/20) sahaja graduan Melayu yang dipanggil temuduga.
Malah dalam kajian ini, tidak seorang pun graduan Melayu telah dipanggil untuk temuduga dengan syarikat antarabangsa walaupun pencapaian akademik, ko kurikulum dan penguasaan bahasa Inggeris adalah setara dengan pelajar Cina!
Rujuk http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/1464-
Saya tidak berminat untuk mengulas panjang data data ini. Apa yang penting sekarang, kajian ini mengesahkan kepada kita bahawa walaupun majoriti, graduan Melayu adalah kumpulan yang paling 'malang' di dalam impian membina kerjaya di ruang sektor swasta, terutamanya di syarikat milik orang Cina dan pemilikan asing. Malah data kajian ini juga menunjukkan majikan syarikat Melayu sendiri lebih berminat mengambil graduan bukan Melayu untuk bekerja di syarikat mereka!
Jadi benarkah jika dikatakan majikan syarikat Cina telah mendiskriminasi graduan Melayu.Kajian mereka menunjukkan begitulah, tetapi saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut sepenuhnya (tanpa menolak pasti akan ada juga segelintir majikan yang mendiskriminasikan graduan Melayu, tetapi lebih ramai majikan yang tidak melihat ciri etnik sebagai faktor utama dalam pemilihan mereka).
Mengapa saya berpandangan demikian?
Sebagai majikan, mereka perlu bersifat objektif. Melayani faktor etnik tidak akan memberikan hasil terbaik untuk perniagaan mereka (tanpa menolak ada juga segelintir yang rasis). Oleh itu, senagai majikan, mereka mestilah bercakap soal untung, untung, untung. Jadi untuk mencapai keuntungan maksima, sumber manusia yang diambil bekerja haruslah bercirikan apa yang dipersepsikan oleh majikan sebagai boleh mendatangkan untung.
Jika graduan Melayu mencapai persepsi majikan, dan boleh mendatangkan keuntungan, mengapa perlu mereka tolak graduan Melayu? Mereka mencari graduan yang tahan lasak, kerja kuat, punyai keupayaan bersaing, bijak dan mahir berkomunikasi, dalam BM, BI dan Mandarin, berperibadi tegas tetapi menarik, patuh dan fokus dengan kerja serta tidak ada sifat kecil hati pada perkara yang remeh temeh. Jika graduan melayu (graduan Cina juga) tidak bersedia berhadapan dengan semua ini, maaf cakap jika anda tidak di pilih untuk bekerja dengan syarikat mereka.
Pun begitu, saya setuju dengan sebahagian kajian ini bila ada data menunjukkan walaupun semua ciri graduan Melayu dan Cina disamakan-pencapaiaan akademik, keupayaan komunikasi etc (cuma etnik sahaja yang berbeza), peratus graduan Melayu yang dipanggil temuduga sangat siknifikan didiskriminasikan oleh majikan. Ini merisaukan saya.
Ini soal persepsi buruk majikan terhadap graduan Melayu. Mereka 'ditipu' oleh stereotype massa kononnya graduan Melayu tidak cekap bertutur bahasa Inggeris, kurang cemerlang akademik, sikap acuh tak acuh dalam bekerja, berfikiran tertutup, anti establishment, suka 'curi tulang', tidak jujur dan sebagainya. Memang ada yang begitu tetapi bukan semuanya begitu!
Ini cabaran yang besar buat graduan Melayu. Inilah perjuangan kepimpinan pelajar Melayu di IPT termasuklah MPP di UKM. Di mana anda, dalam memimpin perjuangan ini?
Saya sejak dahulu sering menulis tentang hal ini. Perjuangan mahasiswa UKM ialah mencapai kecemerlangan akademik, berusaha untuk memiliki kemahiran bertutur BI, mencari pengalaman berorganisasi dan cuba mempunyai pengalaman mobiliti dan sebagainya.
Walaupun menjual air sirap di tepi jalan dan pasar malam ini halal rezekinya, juga mulia kerjanya, itu bukan asas untuk dijadikan alasan bahawa graduan Melayu tidak perlu bercita cita besar memperolehi pekerjaan yang lebih menjamin masa depan ummah selain keluarga.
Kita sangat memerlukan graduan Melayu bekerja di syarikat besar, antarabangsa dan multinasional. Tetapi mereka jika tidak ada kebolehan dan keupayaan, jangan salahkan majikan bukan Melayu yang punyai tanggapan buruk terhadap graduan Melayu.
Setiap graduan Melayu harus berusaha, samada secara sendirian dan juga berkumpulan untuk memajukan diri mereka. Sungguh sungguh untuk cuba majukan diri sendiri. Jika tidak bersedia jangan salahkan orang lain...kerana anda telah merancang nasib anda...