11 June, 2013

Salah Siapa Bila Majikan Tidak Berminat Dengan Graduan Melayu?

Dr. Lee Hwok Aun, Pensyarah Kanan
 Jabatan Pengajian Pembangunan Universiti malaya
Di saluran AXN, saya acapkali menonton slot "Apprentice" versi Asia. Semalam semasa menonton, saya seperti ingin menjerit pada seorang peserta dari Malaysia (Nik), " come on.., agresif la sikit". Beliau seorang wanita Melayu yang kelihatan 'too soft' berbanding peserta wanita yang lain (India, Filipina, Thailand). Istilah "too soft" diucapkan pada Nik oleh salah seorang penasihat kepada Tony Fernandes -Air Asia). Saya setuju dengan istilah itu, dan saya sendiri tak boleh tahan melihat orang yang 'lengai', tiada idea baru, tidak berdaya saing dan kurang 'alert' dengan persekitaran yang mencabar di sekeilingnya. Saya jangka dia akan tersingkir pada minggu depan. Pada saya beliau tidak cukup kompetetif. Tony Fernandes pasti setuju dengan saya.

Di UKM pula, saya sempat hadir mendengar perbentangan kajian "Tahap Diskriminasi: Bangsa Dan Pengambilan Graduan di Malaysia" di IKMAS-UKM oleh Dr Lee Hwok Aun, seorang pensyarah kanan bersama rakannya Dr Muhammad Abdul Khalid , kedua-duanya dari Universiti Malaya. Pada saya kajian ini sepatutnya akan membuka luas mata graduan dan pelajar Melayu di negara ini. Tentunya juga, saya sangat maksudkan secara khusus pada pelajar Melayu UKM.

Kedua-dua ahli akademik ini telah menjalankan kajian secara eksperimen (ini merupakan salah satu kaedah kajian terbaik bagi tujuan kajian seperti ini) selama enam bulan untuk menunjukkan sejauh mana graduan Melayu mendapat tempat di hati para majikan. Adakah setelah mereka menghantar resume, mereka dipanggil untuk temuduga?

Hasilnya walaupun mungkin memeranjatkan pada sesetengah orang, tetapi pada saya hakikat ini sudah lama wujud, dulunya tanpa data tetapi kini sudah ada data yang bersifat saintifik. Di saat hampir 24% (hampir 1/4) graduan Cina yang menghantar resume di panggil temuduga, hanya 4.2% (1/20) sahaja graduan Melayu yang dipanggil temuduga.

Malah dalam kajian ini, tidak seorang pun graduan Melayu telah dipanggil untuk temuduga dengan syarikat antarabangsa walaupun pencapaian akademik, ko kurikulum dan penguasaan bahasa Inggeris adalah setara dengan pelajar Cina!

Rujuk http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/1464-

Saya tidak berminat untuk mengulas panjang data data ini. Apa yang penting sekarang, kajian ini mengesahkan kepada kita bahawa walaupun majoriti, graduan Melayu adalah kumpulan yang paling 'malang' di dalam impian membina kerjaya di ruang sektor swasta, terutamanya di syarikat milik orang Cina dan pemilikan asing. Malah data kajian ini juga menunjukkan majikan syarikat Melayu sendiri lebih berminat mengambil graduan bukan Melayu untuk bekerja di syarikat mereka!

Jadi benarkah jika dikatakan majikan syarikat Cina telah mendiskriminasi graduan Melayu.Kajian mereka menunjukkan begitulah, tetapi saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut sepenuhnya (tanpa menolak pasti akan ada juga segelintir majikan yang mendiskriminasikan graduan Melayu, tetapi lebih ramai majikan yang tidak melihat ciri etnik sebagai faktor utama dalam pemilihan mereka).

Mengapa saya berpandangan demikian?

Sebagai majikan, mereka perlu bersifat objektif. Melayani faktor etnik tidak akan memberikan hasil terbaik untuk perniagaan mereka (tanpa menolak ada juga segelintir yang rasis). Oleh itu, senagai majikan, mereka mestilah bercakap soal untung, untung, untung. Jadi untuk mencapai keuntungan maksima, sumber manusia yang diambil bekerja haruslah bercirikan apa yang dipersepsikan oleh majikan sebagai boleh mendatangkan untung.

Jika graduan Melayu mencapai persepsi majikan, dan boleh mendatangkan keuntungan, mengapa perlu mereka tolak graduan Melayu? Mereka mencari graduan yang tahan lasak, kerja kuat, punyai keupayaan bersaing, bijak dan mahir berkomunikasi, dalam BM, BI dan Mandarin, berperibadi tegas tetapi menarik, patuh dan fokus dengan kerja serta tidak ada sifat kecil hati pada perkara yang remeh temeh. Jika graduan melayu (graduan Cina juga) tidak bersedia berhadapan dengan semua ini, maaf cakap jika anda tidak di pilih untuk bekerja dengan syarikat mereka.

Pun begitu, saya setuju dengan sebahagian kajian ini bila ada data menunjukkan walaupun semua ciri graduan Melayu dan Cina disamakan-pencapaiaan akademik, keupayaan komunikasi etc (cuma etnik sahaja yang berbeza), peratus graduan Melayu yang dipanggil temuduga sangat siknifikan didiskriminasikan oleh majikan. Ini merisaukan saya.

Ini soal persepsi buruk majikan terhadap graduan Melayu. Mereka 'ditipu' oleh stereotype massa kononnya graduan Melayu tidak cekap bertutur bahasa Inggeris, kurang cemerlang akademik, sikap acuh tak acuh dalam bekerja, berfikiran tertutup, anti establishment, suka 'curi tulang', tidak jujur dan sebagainya. Memang ada yang begitu tetapi bukan semuanya begitu!

Ini cabaran yang besar buat graduan Melayu. Inilah perjuangan kepimpinan pelajar Melayu di IPT termasuklah MPP di UKM. Di mana anda, dalam memimpin perjuangan ini?

Saya sejak dahulu sering menulis tentang hal ini. Perjuangan mahasiswa UKM ialah mencapai kecemerlangan akademik, berusaha untuk memiliki kemahiran bertutur BI, mencari pengalaman berorganisasi dan cuba mempunyai pengalaman mobiliti dan sebagainya.

Walaupun menjual air sirap di tepi jalan dan pasar malam ini halal rezekinya, juga mulia kerjanya, itu bukan asas untuk dijadikan alasan bahawa graduan Melayu tidak perlu bercita cita besar memperolehi pekerjaan yang lebih menjamin masa depan ummah selain keluarga.

Kita sangat memerlukan graduan Melayu bekerja di syarikat besar, antarabangsa dan multinasional. Tetapi mereka jika tidak ada kebolehan dan keupayaan, jangan salahkan majikan bukan Melayu yang punyai tanggapan buruk terhadap graduan Melayu.

Setiap graduan Melayu harus berusaha, samada secara sendirian dan juga berkumpulan untuk memajukan diri mereka. Sungguh sungguh untuk cuba majukan diri sendiri. Jika tidak bersedia jangan salahkan orang lain...kerana anda telah merancang nasib anda...








01 June, 2013

Menjayakan Pendidikan Untuk Rakyat: Kita Masih Belum Berjaya Jika...

TREND pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam pencapaian Sains, Matematik (TIMSS) dan literasi (PISA) di peringkat  global semakin merudum (1999-2011). Anehnya perbelanjaan dan pelaburan per kapita pendidikan Malaysia semakin meningkat.

Dalam bahasa yang mudah, pelaburan yang semakin tinggi dalam pendidikan masih belum menghasilkan pulangan yang terbaik. Seperti ada yang tidak kena dan harus diperbaiki segera oleh pihak kerajaan dalam menguruskan peruntukan pendidikan negara.

Ironinya, ada negara yang setara KDNK dengan Malaysia di mana peruntukan per kapita pendidikan lebih rendah dari Malaysia, mereka lebih berjaya meningkatkan kualiti pencapaian di peringkat global.

Maksudnya, jumlah pelaburan tinggi yang dikeluarkan tetapi pencapaian pelajar kita masih belum berjaya seperti yang diharapkan, apakah ini memberikan isyarat bahawa peruntukan pendidikan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan prestasi pelajar, telah kita gunakan untuk tujuan tujuan yang lebih bersifat 'aksesori dan ceremonial ' dalam menjayakan pendidikan negara...

Apakah dengan kualiti pendidikan sedia ada, graduan kita bersedia bersaing di peringkat global? Jika dapatan dari kajian JOBSTREET diteliti, hati saya semakin bimbang dan menjadi tidak tenang...





(Ini merupakan rumusan pembentangan pelajar sarjana saya dalam kursus Isu-isu Pendidikan di Malaysia. Terima kasih buat Salwa Awang, Rozeha Harun dan Nor Haslinda Hashim)