Al Quran pada muslim adalah panduan hidup, bukan untuk tujuan keraian atau ceremonial. Maka Al Quran selain di baca dalam Arabic, juga harus ditelaah dalam bahasa yang kita mahir dan cekap penguasaanya.
Orang Melayu sejak dahulu telah kenal Al Quran. Tetapi seperti yang pernah di sebut oleh R.O Winstead, penyelia pendidikan Malaya dan Pengetua MPSI, semasa beliau membuat kajian berkaitan sistem pengajian agama di kalangan orang Melayu, anak anak Melayu yang mengaji Al Quran kebanyakannya tidak faham apa yang mereka baca, sekadar menghafal semata mata. Mereka berusaha membaca Al Quran dengan lancar, kemudian menghafal dari juzuk ke juzuk, tetapi dalam kehidupan seharian mereka lebih banyak meniru kehidupan para guru dan ulama tanpa memahami secara ilmiah mengapa sesuatu perilaku itu dianjurkan atau diharamkan dalam agama Islam.
Saya tidak katakan semuanya begitu, kerana pada pelajar yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, penguasaan bahasa Arab yang baik menyebabkan mereka menjadi pakar rujuk kepada masyarakat apabila mereka tamat pengajian dan pulang ke tanah air. Tetapi ketika itu, pelajar yang belajar agama di tanah air, penguasaan bahasa Arab mereka masih lemah dan tidak banyak membantu memahami Al Quran. Itulah pandangan orientalis berkaitan orang melayu dan pendidikan agama mereka. Kita boleh berbeza pandangan dengan beliau, tetapi pada saya, pemerhatain beliau ada kebenarannya.
Kaedah lama pengajian agama harus berubah. Sebaiknya bukan satu hala, tetapi dua hala. Ini mungkin menjelaskan mengapa kebelakangan ini ceramah selebriti agama seperti Ustaz Azhar Idrus telah mendapat sambutan yang baik. Kerana konsep pengajarannya yang berbeza dengan para penceramah yang lain.
Saya harap lebih banyak usaha pelajar muslim IZISH untuk mendekati Al Quran dalam kehidupan seharian mereka. Jika kita boleh habiskan berjam jam lamanya membaca facebook, apalah salahnya jika kita membaca tafsir alquran sepuluh minit. Bukan sekadar membaca tetapi juga cuba berfikir dan bersyukur dengan apa yang ditunjukkan dalam Al Quran sebagai panduan kita seharian.
Orang Melayu itu bermaksud tiga perkara. Pertama Islam, kedua bahasa dan budaya melayu dan ketiganya raja Melayu. Dalam konteks Melayu Nusantara, Hilang Islam, hilanglah Melayu, hilang budaya dan bahasa maka hilanglah Melayu. Dalam konteks Melayu Malaysia, hilang raja maka hilanglah identiti Melayu.
Maka kekuatan Islam akan mengukuhkan identiti Melayu. Membaca Al Quran adalah asas kekuatan ummah. Jika semakin kurang orang Melayu membaca Al Quran, semakin lemahlah ummah.
Pada senior IZISH yang telah menghadiah senaskah tafsir Al Quran pada saya. Terima kasih atas cenderahati yang sangat besar maknanya..semoga anda sekeluarga juga mendapat keberkatan...