15 May, 2013

Gaya Hidup Pelajar Kolej UKM..Sejahterakah Anda?

Saya sekarang mula bertugas di Jabatan yang baru di Fakulti Pendidikan, Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti. Dulunya saya di Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan selama hampir 12 tahun.Teras kami jabatan baru ini ialah mengkaji, menyelidik dan mendidik berkaitan bagaimana amalan kesejahteraan komuniti dibangunkan.

Pelajar yang tinggal di kolej juga adalah satu komuniti. Mereka datang dari pelbagai negeri, daerah, etnik, budaya dan sebagainya. Ada juga kolej yang mempunyai pelajar antarabangsa. Kepelbagaian ini memerlukan satu bentuk pendidikan yang formal dan juga tidak formal tentang bagaimana membina kesejahteraan untuk hidup bersama.

Ada lima teras kesejahteraan yang sering diteliti oleh para pengkaji kesejahteraan komuniti. Pertama berkaitan keselamatan (individu, intelektual dan material). Di dalam teras keselamatan ini ada beberapa sub-teras lain misalnya 'trust', equality (persamaan), keadilan, toleransi, hak bersuara, kebebasan akademik, jaminan undang undang mendapat pelindungan, keselamatan psikologi, emosi dan sebagainya. Setiap pelajar kolej seharusnya diberikan input berkaitan soal keselamatan ini dan mengamalkannya demi kesejahteraan hidup dikampus dan di kolej.

Teras kesejahteraan yang kedua ialah gaya hidup dan kesihatan (fizikal, esteem dan mental). Pelajar di kolej perlukan input tentang apa itu amalan pemakanan yang sihat, cara cara senaman dan kegiatan fizizkal yang betul, tips menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal dan sebagainya. Mereka juga seharusnya mendapat input berkaitan penyakit akibat gaya hidup dan pemakanan. Kesihatan juga bermaksud mendapat tidur yang cukup. banyak kajian yang menunjukkan pelajar yang tidak mempunyai tidur yang baik merosot prestasi akademiknya. Mereka juga cepat murung dan sensitif berbanding pelajar yang menjaga serta mempunyai tidur yang cukup dalam kehidupan mereka. Pelajar biasanya mengambil mudah soal tidur yang cukup.

Teras ketiga ialah perhatian yang perlu diberikan untuk kumpulan minoriti/kurang upaya dan tidak berupaya. Kolej yang mengutamakan soal kesejahteraan komuniti akan memberikan perhatian kepada kumpulan ini dan membina budaya agar semua pelajar kolej tersebut juga memberikan perhatian dan tidak meminggirkan kumpulan minoriti dan OKU dalam aktiviti, kemudahan serta perancangan kolej masing masing. Kumpulan yang tidak berupaya seperti miskin, lemah prestasi akademik, tidak menguasai, bahasa kedua juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Teras keempat ialah pembangunan kerohanian dan sivik. Kesejahteraan hidup dalam kolej akan lebih bermakna bila budaya kerohanian, mendekati agama untuk membangunkan insan diberikan peluang sebaiknya. Perlakuan sivik yang salah seperti meletak motosikal di tempat yang tidak dibenarkan, membuang sampah sehingga mengotorkan kawasan, tidak menggunakan tandas dengan baik,  membuat bising dalam blok penginapan, berpakaian tidak sopan juga akan menyebabkan kesejahteraan hidup di kolej terganggu. Mematuhi undang undang akan meningkatkan kesejahteraan untuk semua pelajar tinggal di kolej.

Teras kesejahteraan yang ke lima ialah saling menghormati dan mengamalkan kesepaduan sesama warga kolej. Oleh kerana warga kolej rencam sifatnya, saling mengetahui adat, budaya dan sejarah etnik lain adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Oleh itu input tentang orang Cina dan India adalah penting untuk difahami oleh orang Melayu, begitulah sebaliknya. Malah dengan keberadaan pelajar antarabangsa, input input kerencaman warga kolej semakin bertambah lagi. Ini semua memerlukan pihak kolej merencanakan aktiviti yang dapat meningkatkan kefahaman sesama warga kolej.

Hidup di kolej akan memberikan satu pengalaman yang baru dan baik untuk semua pelajar. Di kolej lah mereka belajar tentang orang lain. Pengalaman ini pastinya banyak membantu kehidupan mereka bila bergraduan kelak.

Semoga anda akan sentiasa sejahtera....