29 May, 2013

MAJLIS EKSEKUTIF PELAJAR (MEP) KOLEJ DAN ANDA



Kewujudan JAKSA di kolej kediaman UKM  bertujuan menjaga kebajikan pelajar kolej. Pada peringkat awal, JAKSA bertanggungjawab memastikan semua pelajar yang tinggal di dalam kolej mengenali antara satu sama lain. Kecuali Kolej Ibu Zain yang menggunakan Majlis Eksekutif pelajar sejak 1996 (sejak mula didiami pelajar) semua kolej lain menggunakan nama JAKSA sehingga tahun 2012. 

Mulai Februari 2013, nama JAKSA telah ditukarkan kepada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) di semua kolej kediaman UKM. Nama MEP telah disahkan sebagai nama rasmi bagi jawatankuasa pelajar di peringkat kolej kediaman UKM oleh pihak pengurusan UKM. Ini tentunya sesuai mengambil semangat dengan usaha transformasi UKM ke arah sebuah universiti yang terbilang menjelang 2018. 

MEP adalah sebuah JAWATANKUASA yang dilantik. Oleh itu sifatnya adalah eksekutif. Fungsinya ialah sebagai pembantu-penyokong- malah boleh dianggap sebagai ‘kakitangan kolej’ yang membantu pihak kepengetuaan untuk mengurus tadbir kolej. Ini berbeza dengan PERSATUAN yang melalui proses pengundian melalui pemilihan dalam mesyuarat agung. 

MEP yang dilantik ditugaskan secara jelas untuk melaksanakan tugasan yang diberikan kepada mereka oleh pihak pengurusan kolej dan pihak pengurusan UKM. Jika JAKSA merujuk kepada fungsi kebajikan pelajar kolej, MEP mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan besar. Konsep kebajikan pelajar tidak lagi hanya berkisar soal bilik penginapan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan tetapi telah melangkaui kepada persoalan kebolehpasaran, pembangunan softskills, jaringan industri dan khidmat sosial kepada komuniti luar kampus. 

Konsep Majlis Eksekutif Pelajar adalah bermaksud membuka ruang -ruang baru dalam meningkatkan kebolehupayaan pelajar tanpa meninggalkan urusan menjaga kebajikan asas pelajar di kolej kediaman. Istilah Majlis Eksekutif juga menuntut badan ini menjadi lebih sistematik, profesional dan berintegriti tinggi. Dokumentasi menjadi sesuatu yang sangat penting dan diutamakan. Bagi membantu proses memperkasakan dokumentasi MEP, IZISH telah menubuhkan unit dokumentasi di uPIN. Dalam jangka masa terdekat, bila sistem dokumentasi telah mantap, urusan ini akan diserahkan sepenuhnya kepada MEP untuk menguruskannya. Dokumentasi aktiviti, pengiktirafan, persijilan, menyertai pertandingan dan penganugerahan akan dilakukan oleh MEP pada masa akan datang. 

Majlis ini juga diberikan peruntukan one-off setiap tahun oleh pengurusan kolej. Sebagai sebuah majlis, ahli ahli eksekutif akan membuat keputusan sendiri bagaimana menggunakan peruntukan tersebut secara optima dan berhemah di dalam penganjuran aktiviti pelajar. Di IZISH, pihak pengetua tidak masuk campur dalam urusan penentuan bagaimana peruntukan yang disediakan akan digunakan. Itu sebabnya mulai 2013, MEP IZISH telah membuat keputusan yang tepat bila buat pertama kalinya di kalangan kolej kediaman, mereka akan membentangkan pencapaian serta laporan kewangan MEP sepanjang sesi ini pada semua pelajar. 

Ini merupakan langkah yang bijak dalam membina integriti dalam MEP. Ini bukanlah sesuatu yang WAJIB mereka lakukan sebagaimana persatuan atau MPPUKM yang mendapat mandat melalui pengundian, tetapi lebih sebagai satu proses memperkasakan integriti MEP di mata pelajar. 

UKM sudah menyediakan pelan strategiknya dan kita sedang berada di 60 meter terakhir larian 100 meternya. Setakat ini cahaya kejayaan sudah mula bersinar di hujung penamatnya. Rangking UKM semakin meningkat dan dengan unjuran yang ada sekarang, kita yakin UKM boleh mencapai tahap yang disasarkan pada 2018. Semua pihak dari pengurusan UKM, pensyarah, tenaga penyelidik dan kakitangan pentadbiran sedang bekerja keras sekarang. Maka kita akan sentiasa mendengar pelbagai program pengurusan kualiti, mod pengajaran baru (termasuk ifolio), learning Contract, program keusahawanan dan berbagai-bagai lagi sedang dilaksanakan. 

Jika kita tidak memahami kepesatan ini adalah satu isyarat bahawa UKM sedang maju ke depan dengan laju, kita pasti akan terpinga-pinga dan mengalah. Kita akan merungut dan menidakkan apa yang sedang dilaksanakan. Kita menjadi kelu dan seperti tidak bersedia untuk sama -sama berlari dengan visi UKM 2018. Inilah juga yang menjadikan MEP diangkat menggantikan JAKSA. Kita mengharapkan perubahan nama ini bukan sekadar perubahan kulit semata-mata tetapi juga isinya. Roh MEP dan roh JAKSA tidak boleh sama. Cara MEP bekerja dan Jaksa bekerja juga tidak boleh sama. Malah pemikiran serta budaya MEP juga tidak lagi boleh di kongkong sebagai mana Jaksa bekerja. 

MEP bekerja berasaskan tuntutan pemegang taruh (stakeholder) termasuklah pengurusan UKM dan pengurusan kolej. MEP harus bekerja meningkatkan keupayaan pelajar UKM selari dengan keperluan majikan dan aspirasi masyarakat.Majikan perlukan graduan yang kompeten, berdaya saing, mahir berkomunikasi dalam sekurang kurang dwi bahasa, bijak membuat keputusan yang tepat, rasional dan boleh bekerja dalam satu pasukan untuk mencapai matlamat syarikat. Majikan juga perlukan graduan yang cemerlang akademiknya serta inovatif. 

Di atas segala gala ini mereka perlukan graduan yang mempunyai bakat (talent). MEP punya peranan mencungkil kemahiran soft skills, pengetahuan dan bakat rakan -rakan mereka di iZISH. Ini peranan kedua selepas menjaga kebajikan kehidupan pelajar di kolej.Oleh itu sebagai warga iZISH, anda berhak mengambil tahu akan perancangan dan pencapaian setiap eksekutif MEP yang telah dilantik oleh pihak pengurusan HEPA. 

Begitu juga sebagai penghuni iZISH anda berhak tahu bagaimana usaha MEP menjana kewangan untuk menjayakan program-program iZISH sepanjang satu sesi yang lalu. Anda juga mempunyai hak untuk mencadangkan program- program yang anda fikirkan berfaedah untuk pelajar iZISH. Malah yang tidak kurang pentingnya, anda juga harus sentiasa bersama pasukan MEP untuk menjayakan aktiviti -aktiviti yang telah dirancangkan.

(Ini merupakan teks ucapan pengetua sempena ucapan serah tugas dan watikah perlantikan MEP iZISH 2013-2014 (Rabu 29 Mei 2013 di iZISH Arena). 

28 May, 2013

Bakal Felo Kolej UKM: Sila Tunjukkan Keupayaan Anda...

Felo yang hidup bersama pelajar dalam kampus pasti memahami
keperluan dan aspirasi pelajar UKM.
UKM sekarang mempunyai kira kira 150 orang felo. Setiap felo dibayar saguhati sebanyak RM300 sebulan dan disediakan penginapan fully furnished (rumah atau bilik). Ini bermaksud UKM membelanjakan RM45,000 sebulan atau RM540,000 setahun untuk felo. Tentunya pengurusan UKM khususnya pengurusan HEPA mengharapkan pelaburan ini memberikan hasil terbaik untuk kesejahteraan para pelajar di kolej kediaman.

Jika anda telah mengisi borang permohonan untuk menjadi seorang felo kolej kediaman UKM, anda tentu mengetahui bahawa bermula minggu lepas dan akan berterusan dalam beberapa minggu akan datang, para calon felo telah dan akan melalui sesi temuduga bersama pengurusan HEPA UKM. Ini adalah syarat utama sebelum anda layak dilantik sebagai seorang felo kolej kediaman. Ini amalan yang telah lama dijalankan di UKM, juga dihampir semua IPTA lain.

Tentu sahaja sebagai bakal felo, anda telah tahu apakah peranan asas felo. tentunya yang paling utama ialah tanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di bawah jagaan anda. Ada kolej UKM yang menggunakan sistem blok sebagai 'sempadan tugas' seseorang felo menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar kolej. tetapi ada juga tidak begitu, disebabkan bentuk fizikal bangunan kolej yang tidak dibina rumah felo di setiap blok pelajar.

Selain tugas asas ini ini,  felo juga diberikan tanggungjawab hakiki untuk membangunkan kemahiran insaniah pelajar di kolej. Mereka perlu tahu dan faham konsep LC, 8 kemahiran insaniah dan 7 bidang teras aktiviti pelajar. Selain itu mereka juga harus mengambil tanggungjawab sentiasa menyedarkan pelajar dalam semua aktiviti akan peripentingnya softskills dalam kerangka kebolehpasaran selepas graduan. Dalam menjayakan peranan felo menjaga kebajikan, keselamatan dan pembangunan insaniah pelajar di kolej, tidak dapat tidak setiap felo seharusnya mempunyai beberapa kemahiran asas.

Pertama, mereka harus berupaya membina karisma untuk mendapatkan rasa hormat pelajar kepada mereka. Tentu sahaja seseorang felo yang bertingkahlaku buruk, nakal, selekeh dan tidak menonjol watak sebagai seorang  pemimpin tidak sesuai menjadi seorang felo. Jika sekalipun mereka dilantik, mereka akan melalui satu keadaan yang sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang felo bila tidak dihormati oleh pelajar. Karisma felo juga boleh diperolehi dari sikap mengambil berat, penyayang serta sentiasa ikhlas membimbing pelajar.

Kedua, tanggungjawab felo untuk menjayakan pembangunan pelajar di kolej masing masing memerlukan mereka mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kemahiran berorganisasi ketika belajar dahulu di peringkat pra siswazah. Seorang bakal felo yang mempunyai kemahiran berorganisasi, cekap mengatur dan menyelaraskan kerja, memahami prosedur dan peraturan mesyuarat, bijak membantu pelajar menyediakan proposal dan laporan projek serta  keupayaan berkomunikasi secara formal akan mempunyai banyak ruang untuk membangunkan pelajar. Manakala felo yang dulunya ketika belajar adalah seorang yang pasif, tidak beraktiviti, suka menyendiri, tidak bijak berkomunikasi serta tiada keupayaan memimpin tidak akan banyak membantu dalam usaha UKM memajukan pembangunan diri para pelajarnya. Jika pun mereka dilantik sebagai felo, mereka kurang berjaya memberikan input kepada keberkesanan penganjuran program peljar di kolej.

Program Kelestarian IZISH...
Ketiga, seorang felo yang baik juga merupakan mereka yang memahami perubahan masa. Jika dahulu di zaman mereka kebanyakkan projek bersifat dalaman dan kekeluargaan seperti hari keluarga dan lawatan sambil belajar, hari ini teras program pelajar mestilah berimpak tinggi. Misalnya program harus dibentuk secara jelas memberikan impak yang tinggi kepada pembangunan diri, penjenamaan nama baik UKM serta memberikan kesan kepada komuniti.

Oleh itu bakal felo perlu memahami aspirasi pemegang taruh graduan (ibubapa, majikan dan masyarakat) akan apakah bentuk graduan UKM yang ingin dihasilkan. Felo juga punya peranan yang besar dan memenuhi harapan mereka. Berdasarkan data terkini di JPPEL, program kerjaya, khidmat masyarakat, kesukarelewanan, keusahawanan dan kepimpinan semakin mendapat tempat di hati pelajar UKM.

Keempat, seperti mana mana institusi dan organisasi lain, walaupun felo adalah jawatan sukarela
(dengan saguhati disediakan oleh UKM), para felo tertakluk kepada peraturan serta etika kerja yang digariskan oleh UKM pada semua kakitangannya. Oleh itu menguasai serta memahami peraturan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan sebagai seorang felo adalah penting. Soal integriti, profesionalisme serta kecekapan tidak boleh dikesampingkan oleh mana mana felo yang dilantik oleh pihak UKM.

Kelima, perubahan masa juga menyebabkan keupayaan mahasiswa berfikir pada hari ini lebih baik dan terbuka. Felo harus bersedia untuk menguruskan kepelbagaian pelajar kerana latarbelakang mereka sekarang semakin rencam. UKM bukan sahaja mempunyai pelajar dari pelbagai kaum, etnik dan agama, tetapi juga mempunyai pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang tinggal di kolej. Memahami budaya dan corak pemikiran pelajar hari ini sangat diperlukan dalam usaha menjadikan urusan felo lebih berkesan. Malah kita juga akan semakin ramai pelajar siswazah di kolej kolej kediaman dalam masa terdekat.

Jika anda berminta untuk berkhidmat sebagai seoramng felo, ambillah sedikit masa untuk fikirkan tentang tiga persoalan di bawah ini;
  1. Mengapakah pelajar UKM perlukan anda sebagai felo mereka? Apakah anda seorang yang boleh dijadikan 'role model'?
  2. Apakah keunikan dan kelebihan utama anda yang secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan pelajar? janganlah berikan jawapan yang umum misalnya "saya baik hati" atau "saya seorang penyayang", bimbang anda diminta buktikan nanti! Jika anda menyatakan anda seorang sukakan cabaran dan boleh menyumbang kepada program 'outdoor" di kolej, buktikanlah apakah pencapaian peribadi anda. Mungkin anda sudah ke kemuncak Gunung Tahan, Gunung Kinabalu atau sebagainya. Ini akan banyak membantu anda nanti.
  3. Apakah input baru-inovasi-pendekatan yang akan anda cadangkan jika anda dilantik sebagai felo nanti? Jika anda seorang yang 'passionate'  bekerja untuk pembangunan pelajar UKM, pastinya anda akan ada banyak idea dan cadangan membangunkan pelajar UKM...
Di bawah pelan transformasi, UKM berazam akan menjadi antara universiti terbilang di dunia menjelang 2018. Masa yang ada sangat pendek, sekitar 5 tahun dari sekarang. Pelajar yang akan mendaftar di UKM pada September tahun ini akan menjadi kumpulan pertama bergraduan pada 2018, jika mereka melakukan pengajian empat tahun. Di sinilah para felo perlu diperkasakan sebagai wadah membangunkan pelajar yang akan menyambut 2018 nanti.

Oleh itu para bakal felo kolej UKM yang akan menghadiri temuduga...Sila tunjukkan keupayaan anda...

15 May, 2013

Gaya Hidup Pelajar Kolej UKM..Sejahterakah Anda?

Saya sekarang mula bertugas di Jabatan yang baru di Fakulti Pendidikan, Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti. Dulunya saya di Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan selama hampir 12 tahun.Teras kami jabatan baru ini ialah mengkaji, menyelidik dan mendidik berkaitan bagaimana amalan kesejahteraan komuniti dibangunkan.

Pelajar yang tinggal di kolej juga adalah satu komuniti. Mereka datang dari pelbagai negeri, daerah, etnik, budaya dan sebagainya. Ada juga kolej yang mempunyai pelajar antarabangsa. Kepelbagaian ini memerlukan satu bentuk pendidikan yang formal dan juga tidak formal tentang bagaimana membina kesejahteraan untuk hidup bersama.

Ada lima teras kesejahteraan yang sering diteliti oleh para pengkaji kesejahteraan komuniti. Pertama berkaitan keselamatan (individu, intelektual dan material). Di dalam teras keselamatan ini ada beberapa sub-teras lain misalnya 'trust', equality (persamaan), keadilan, toleransi, hak bersuara, kebebasan akademik, jaminan undang undang mendapat pelindungan, keselamatan psikologi, emosi dan sebagainya. Setiap pelajar kolej seharusnya diberikan input berkaitan soal keselamatan ini dan mengamalkannya demi kesejahteraan hidup dikampus dan di kolej.

Teras kesejahteraan yang kedua ialah gaya hidup dan kesihatan (fizikal, esteem dan mental). Pelajar di kolej perlukan input tentang apa itu amalan pemakanan yang sihat, cara cara senaman dan kegiatan fizizkal yang betul, tips menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal dan sebagainya. Mereka juga seharusnya mendapat input berkaitan penyakit akibat gaya hidup dan pemakanan. Kesihatan juga bermaksud mendapat tidur yang cukup. banyak kajian yang menunjukkan pelajar yang tidak mempunyai tidur yang baik merosot prestasi akademiknya. Mereka juga cepat murung dan sensitif berbanding pelajar yang menjaga serta mempunyai tidur yang cukup dalam kehidupan mereka. Pelajar biasanya mengambil mudah soal tidur yang cukup.

Teras ketiga ialah perhatian yang perlu diberikan untuk kumpulan minoriti/kurang upaya dan tidak berupaya. Kolej yang mengutamakan soal kesejahteraan komuniti akan memberikan perhatian kepada kumpulan ini dan membina budaya agar semua pelajar kolej tersebut juga memberikan perhatian dan tidak meminggirkan kumpulan minoriti dan OKU dalam aktiviti, kemudahan serta perancangan kolej masing masing. Kumpulan yang tidak berupaya seperti miskin, lemah prestasi akademik, tidak menguasai, bahasa kedua juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Teras keempat ialah pembangunan kerohanian dan sivik. Kesejahteraan hidup dalam kolej akan lebih bermakna bila budaya kerohanian, mendekati agama untuk membangunkan insan diberikan peluang sebaiknya. Perlakuan sivik yang salah seperti meletak motosikal di tempat yang tidak dibenarkan, membuang sampah sehingga mengotorkan kawasan, tidak menggunakan tandas dengan baik,  membuat bising dalam blok penginapan, berpakaian tidak sopan juga akan menyebabkan kesejahteraan hidup di kolej terganggu. Mematuhi undang undang akan meningkatkan kesejahteraan untuk semua pelajar tinggal di kolej.

Teras kesejahteraan yang ke lima ialah saling menghormati dan mengamalkan kesepaduan sesama warga kolej. Oleh kerana warga kolej rencam sifatnya, saling mengetahui adat, budaya dan sejarah etnik lain adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Oleh itu input tentang orang Cina dan India adalah penting untuk difahami oleh orang Melayu, begitulah sebaliknya. Malah dengan keberadaan pelajar antarabangsa, input input kerencaman warga kolej semakin bertambah lagi. Ini semua memerlukan pihak kolej merencanakan aktiviti yang dapat meningkatkan kefahaman sesama warga kolej.

Hidup di kolej akan memberikan satu pengalaman yang baru dan baik untuk semua pelajar. Di kolej lah mereka belajar tentang orang lain. Pengalaman ini pastinya banyak membantu kehidupan mereka bila bergraduan kelak.

Semoga anda akan sentiasa sejahtera....

13 May, 2013

Melayu dan Islam...

Di akhir Majlis Anugerah Tahunan IZISH dua hari yang lalu (10 mei 2013), saya menerima hadiah yang istimewa dari seorang pelajar senior IZISH. Senaskah tafsir Al Quran dalam bahasa Inggeris. Terima kasih.

Al Quran pada muslim adalah panduan hidup, bukan untuk tujuan keraian atau ceremonial. Maka Al Quran selain di baca dalam Arabic, juga harus ditelaah dalam bahasa yang kita mahir dan cekap penguasaanya.

Orang Melayu sejak dahulu telah kenal Al Quran. Tetapi seperti yang pernah di sebut oleh R.O Winstead, penyelia pendidikan Malaya dan Pengetua MPSI, semasa beliau membuat kajian berkaitan sistem pengajian agama di kalangan orang Melayu,  anak anak Melayu yang mengaji Al Quran kebanyakannya tidak faham apa yang mereka baca, sekadar menghafal semata mata. Mereka berusaha membaca Al Quran dengan lancar, kemudian menghafal dari juzuk ke juzuk, tetapi dalam kehidupan seharian mereka lebih banyak meniru kehidupan para guru dan ulama tanpa memahami secara ilmiah mengapa sesuatu perilaku itu dianjurkan atau diharamkan dalam agama Islam.

 Saya tidak katakan semuanya begitu, kerana pada pelajar yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, penguasaan bahasa Arab yang baik menyebabkan mereka menjadi pakar rujuk kepada masyarakat apabila mereka tamat pengajian dan pulang ke tanah air. Tetapi ketika itu, pelajar yang belajar agama di tanah air, penguasaan bahasa Arab mereka masih lemah dan tidak banyak membantu memahami Al Quran. Itulah pandangan orientalis berkaitan orang melayu dan pendidikan agama mereka. Kita boleh berbeza pandangan dengan beliau, tetapi pada saya, pemerhatain beliau ada kebenarannya.

Kaedah lama pengajian agama harus berubah. Sebaiknya bukan satu hala, tetapi dua hala. Ini mungkin menjelaskan mengapa kebelakangan ini ceramah selebriti agama seperti Ustaz Azhar Idrus telah mendapat sambutan yang baik. Kerana konsep pengajarannya yang berbeza dengan para penceramah yang lain.

Saya harap lebih banyak usaha pelajar muslim IZISH untuk mendekati Al Quran dalam kehidupan seharian mereka. Jika kita boleh habiskan berjam jam lamanya membaca facebook, apalah salahnya jika kita membaca tafsir alquran sepuluh minit. Bukan sekadar membaca tetapi juga cuba berfikir dan bersyukur dengan apa yang ditunjukkan dalam Al Quran sebagai panduan kita seharian.

Orang Melayu itu bermaksud tiga perkara. Pertama Islam, kedua bahasa dan budaya melayu dan ketiganya raja Melayu. Dalam konteks Melayu Nusantara, Hilang Islam, hilanglah Melayu, hilang budaya dan bahasa maka hilanglah Melayu. Dalam konteks Melayu Malaysia, hilang raja maka hilanglah identiti Melayu.

Maka kekuatan Islam akan mengukuhkan identiti Melayu. Membaca Al Quran adalah asas kekuatan ummah. Jika semakin kurang orang Melayu membaca Al Quran, semakin lemahlah ummah.

Pada senior IZISH  yang telah menghadiah senaskah tafsir Al Quran pada saya. Terima kasih atas cenderahati yang sangat besar maknanya..semoga anda sekeluarga  juga mendapat keberkatan...


12 May, 2013

Tujuh Fokus Pengurusan Kolej Untuk Warga IZISH Sesi Depan...

Saya sudahpun mempunyai beberapa idea awal tentang apakah fokus untuk saya laksanakan pada sesi depan di IZISH. Saya kongsikan dengan izihians secara ringkas di sini;

Pertama: IZISH akan berusia 18 tahun pada sesi depan. Maksudnya beberapa prasarana yang disediakan sejak ditubuhkan pada 1996 sudah tidak berfungsi dengan baik lagi. Bumbung Skylight banyak yang telah bocor. Begitu juga dengan keadaan bilik air dan tandas di blok pelajar. Ini fokus utama saya. Surat memohon peruntukan untuk meningkatkan kembali kondisi prasarana ini telah dilakukan. Akan selalu 'follow up' bagi membuktikan kemudahan ini perlu diperbaiki dengan segera.

Kedua: satu perkara yang sejak dulu penting pada saya ialah sistem perkongsian maklumat dan berita. Kolej boleh berperanan sebagai unit penyedia dan penyampaian maklumat yang berkesan untuk para warganya. Maklumat tentang akademik, aktiviti, peraturan, peluang mobiliti, kesihatan, gaya hidup kampus, maklumat pembangunan pelajar dan maklumat kerjaya. Oleh itu laman web IZISH telah dibentuk semula agar lebih berkesan menyampaikan maklumat pada para izishians. Saya yakin jika para izishians diberikan secara up to date maklumat kampus dan kerjaya, mereka akan mendahului rakan rakan mereka yang tidak berada di IZISH. Timbalan Pengetua, sdr Nik dan pasukan majlis felo IZISH telah diamanahkan membangunkan semula laman web IZISH yang baru dengan tumpuan diberikan kepada penyampaian maklumat yg berkesan untuk semua warga izish. Kita akan gunakan web ini pada sesi hadapan.

Ketiga: Saya insaf cabaran paling besar graduan masakini ialah mendapatkan pekerjaan. Empat cabaran yang harus didepani ialah kehebatan komunikasi, kecemerlangan akademik, penguasaan bahasa Inggeris yang baik dan jaringan dengan pihak majikan. Oleh itu tumpuan aktiviti sesi akan ditumpukan kepada empat teras kebolehpasaran graduan ini. Pengurusan Izish akan berusaha meneraju usaha ini semampu mungkin.

IZISH ARENA perlukan semangat baru...
Keempat: satu agenda yang baru di IZISH yang akan dimulakan sesi depan ialah memulakan amalan kesejahteraan IZISH. Empat teras utama kesejahteraan ialah (a) peningkatan amalan keselamatan kolej, (b) amalan gaya hidup sihat (pentingnya tidur yg cukup, pemakanan yang sihat, fizikal yang aktif , (c) amalan kesaksamaan warga (meningkatkan hubungan inter etnik, local dan international dan pada masa yang sama berusaha menghapuskan apa juga bentuk prejudis, elemen rasis etc) dan (d) peningkatan aktiviti membangunkan amalan kerohanian dan sivik.

Kelima: Penghasilan aktiviti berimpak tinggi: Sangat penting untuk IZISH memulakan aktiviti yang memepunyai nilai tambah dalam aktiviti pelajar kolej. Empat kriteria utama ialah penjanaan kewangan, tahap program yang melibat banyak pihak luar UKM, liputan media dan bersifat berterusan. Tidak perlu banyak aktiviti tetapi biarlah berkualiti.

Keenam: Menyediakan persekitaran kolej yang menyokong pencapaian akademik. Lebih banyak ruang perbincangan/ study group akan dibangunkan. Kafetaria akan dirancang sebagai 'tempat lepak utama' pelajar izish sesi depan. Kita akan lebih berhati hati dalam memilih pihak kafetaria baru yang akan mengantikan kafetaria yg sekarang (tamat pada 27 Mei 2013).

Terima kasih rakan rakan felo IZISH...proud of you..
Ketujuh: Meningkatkan sistem pengiktirafan pelajar IZISH. Setakat ini kita telah mulakan dengan sijil, transkrip dan surat penghargaan. Sesi depan, kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar izish akan dimaklumkan secara bersurat sebagai penghargaan rasmi pada ibubapa. Pihak kolej merasakan kejayaan anak anak adalah hadiah paling berharga buat ibubapa dan penjaga, dengan cara ini kejayaan pelajar akan dikongsi oleh ramai orang yang tersayang. Kita juga akan mula membangunkan "wall of fame" di Izish untuk menghargai kecemerlangan para izishians...

Bersama timbalan pengetua, rakan rakan felo, pasukan pentadbiran kolej dan MEP akan datang...sama samalah kita doakan usaha ini dimakbulkan...oleh NYA.


09 May, 2013

Orang Melayu, Orang Cina dan Orang Malaysia....

Hasil perbualan dengan rakan rakan rapat dari kaum Cina berkisar tentang pilihanraya 13, menjadi satu ramalan bahawa trend pengundi Cina untuk mula cenderung mengundi calon Cina akan berlaku, itulah yang saya dapat rasakan. Dan selepas keputusan piliharaya keluar nampaknya ia seperti ada sedikit sebanyak kebenarannya.

Sebenarnya trend ini bukan satu kesalahan, sebagai warganegara, sesiapa sahaja bebas untuk memberikan undi mereka kepada mana mana calon yang bertanding. Oleh itu untuk mengatakan orang Cina yang mengundi calon Cina dan tidak mengundi calon Melayu sebagai satu tindakan yang rasis, adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali.

Pembesar Melayu...
Seperti dijangka, kerana undi Cina tidak lagi menunjukkan sokongan kepada parti melayu-Islam (UMNO dan PAS) secara siknifikan, tuduhan dan hujah melalui media massa dilemparkan kononnya orang Cina sudah menolak calon Melayu.

Saya masih belum dapat menerima hujah ini kerana tiada fakta yang spesifik menunjukkan keadaan ini benar benar berlaku. dan jika sekalipun berlaku, yakni orang Cina hanya mengundi calon Cina, itu tidak pernah dilihat sebagai satu kesalahan dalam apa juga dimensi nilai dan norma demokrasi yang dipraktikan di negara ini. itu hak individu.

Mereka harus menginsafi bahawa hak mengundi adalah hak kebebasan individu yang dijamin oleh perlembagaan negara. Hak mengundi bukan hak berdasarkan bangsa, etnik, suku kaum atau berkumpulan, hak mengundi dan hak untuk memilih adalah hak individu. kerana sifat individu itulah, terma 'undi anda adalah rahsia' terus dipertahankan intergritinya dalam mana mana piliharaya.

Jadi saya lebih suka melihat keputusan PRU 13 sebagai titik mula anjakan bahawa "orang melayu perlu mempertahankan hak dan maruah mereka, tetapi sama sekali tidak perlu menyerang hak dan kebebasan orang lain". Maksudnya jika pemimpin Melayu (PAS dan UMNO) merasakan parti mereka sudah tidak mendapat kepercayaan masyarakat Cina, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk merangka bagaimana dengan semangat yang ada untuk segera mempertahankan hak dan maruah orang melayu, tetapi tidak boleh sama sekali menyerang atau menyalahkan orang lain (bukan Melayu) yang tidak memberikan undi kepada mereka.

Orang Melayu harus melihat isu kelemahan parti Melayu sebagai isu perpecahan antara mereka. Sebenarnya ini tidak ada kena mengena dengan orang bukan Melayu. Cumanya dalam kemajmukan politik, kelihatannya ada timbal balik antara politik orang melayu dan politik bukan Melayu. Eloklah orang Melayu menyelami kembali sejarah dan menginsafi 'kelemahan' mereka sebelum sewenang wenangnya menyalahkan mana mana pihak termasuklah pengundi bukan Melayu.

Secara sejarahnya, orang Melayu adalah penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia kemudiannya). Orang Cina hadir sebagai pedagang, kemudiannya atas kesungguhan bekerja, mereka mula diberikan peluang ekonomi oleh raja dan pembesar melayu untuk meneroka lombong lombong bijih timah, membuka ladang ladang lada hitam, getah dan sebagainya. Kerana kesungguhan dan kerja kuat mereka, orang Cina yang mulanya berdagang, mula diberikan peluang memulakan perniagaan di Tanah Melayu. Ini bukan diberikan secara percuma, mereka dikenakan bayaran berupa cukai dan sewaan oleh raja raja dan pembesar melayu.

Budaya kerja keras orang Cina dalam bidang ekonomi
di Tanah Melayu sejak dahulu sudah diakui para pengkaji
Bila Inggeris menguasai Tanah Melayu, peniaga Cina juga perlu membayar cukai kepada pihak kolonial Inggeris. Malah hasil cukai (state revenue) yang dibayar oleh pelombong dan peniaga Cina inilah kemudiannya telah digunakan oleh pihak kolonial untuk membina jalanraya dan pusat pentadbiran kerajaan. Ini fakta sejarah, kita tidak boleh nafikan sumbangan orang Cina dalam pembangunan Tanah Melayu.

Oleh kerana orang Cina bekerja kuat mereka berjaya menguasai ekonomi dan mula membina jaringan perniagaan di seluruh Tanah Melayu. Orang Cina sejak abad ke 18 telah berjaya menubuhkan ribuan persatuan perniagaan Cina di negara ini. Tujuannya untuk membantu ahli-ahli persatuan menjalankan perniagaan. Hasil permuafakatan ini, masyarakat Cina berjaya menguasai kuasa majoriti dalam ruang ekonomi Tanah Melayu sehinggalah hari ini.

Sehingga di satu peringkat, sebelum perang dunia kedua, mereka menguasai lebih 50% kekayaan Tanah Melayu, selebihnya dikuasai oleh kolonial dan sebahagian kecil oleh kelas elit Melayu. Kadar cukai yang dibayar oelh mereka juga semakin besar, dan telah digunakan untuk meningkatkan kemudahan untuk masyarakat Tanah Melayu, khususnya di kawasan bandar.

Perang dunia kedua merencatkan penguasaan ekonomi mereka, dan hanya mula kembali berkembang selepas perang. Jika mereka berjaya menguasai ekonomi dari hasil usaha mereka, mengapa pula orang Melayu perlu marah dan cemburu pada mereka? Betul orang Melayu penduduk asal Tanah Melayu, tetapi dalam usaha menguasai kekayaan, sesiapa juga yang berusaha akan mendapat hasilnya!

Cumanya orang Cina harus insaf bahawa walaupun mereka berjaya menguasai ekonomi Tanah Melayu, kejayaan mereka ketika itu bermula dengan sifat berlapang dada dan menerima dengan tangan terbuka oleh orang Melayu untuk mereka membina kejayaan. Jika ini dihayati, sifat saling bersyukur berterimakasih akan meningkatkan hubungan antara orang Melayu dan Cina di negara ini.

Itu kisah penguasaan ekonomi. Bagaimana dengan penyertaan politik orang Cina? Penglibatan politik oleh orang Cina di negara ini hanya bermula apabila British memperkenalkan Malayan Union (MU) pada 1946. Bermula bila idea memberikan kerakyatan kepada orang Cina secara 'jus soli' dimasukkan dalam cadangan pelaksanaan Malayan Union. Walaupun MU gagal kerana ditentang hebat oleh orang Melayu, idea pemberikan kerakyatan kepada orang Cina tetap diteruskan. Menurut Tun Dr Mahathir, lebih sejuta orang Cina mendapat kerakyatan secara automatik hasil dari Perjanjian Persekutuan 1948.

Sebagai tanda terima kasih kerana orang Melayu sudi menerima orang Cina sebagai 'saudara senegara', orang Cina pula bersetuju supaya hak istimewa orang Melayu diwujudkan dalam perjanjian Persekutuan 1948 dan Perlembagaan Malaysia 1957. Dengan ini kedua pihak, Cina dan Melayu mempunyai hak keistimewaan masing masing. Orang Cina sejak 1948 sehingga bila bila pun akan terus menjadi rakyat Malaysia dari satu generasi ke generasi, dan orang Melayu pula diberikan hak keistimewaan sebagai penduduk asal (bumiputera) dalam perlembagaan negara.

Mesyuarat Membina Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
pada tahun 1948 di Hotel King House Kuala Lumpur
Dengan pemberikan kerakyatan, orang Cina dan orang Melayu sama sahaja tarafnya. Mereka boleh mengundi, mereka juga boleh menjadi ahli politik dan mana mana yang terpilih akan masuk ke Parlimen atau DUN untuk membina dasar dan perundangan negara. Maka kewarganegaraan yang diperolehi oleh orang Cina dan India yang dipersetujui oleh orang Melayu telah menjadikan kuasa politik negara ini bukan milik orang melayu sahaja, tetapi dikongsi oleh orang Cina dan juga India.

Jika di abad 18 dan 19 orang Cina telah berjaya menguasai ekonomi Tanah Melayu atas usaha kuat mereka dan disokong dengan tangan terbuka oleh orang melayu, bermula pilihanraya pembandaran 1955, orang Cina juga telah bersama sama dalam membina lanskap politik negara ini. Kini, sejak merdeka pada 1957, samada anda Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Siam dan sebagainya, anda semua adalah sama sahaja. anda warganegara Malaysia. Itu asasnya.

Tetapi kerana politik, asas ini mula dipertikaikan. Pada anda yang mahu berfikir, anda akan memahami pertikaian ini. Namanya pun bermain politik, maksudnya  satu "permainan seni mempengaruhi untuk mendapatkan kuasa". Masing masing ahli politik cuba meraih undi dari rakyat. Tentulah berbagai cara harus digunakan.

Tetapi semakin 'celik politik' di kalangan rakyat, akan semakin sukar untuk ahli politik sewenangnya 'mempengaruhi' rakyat. Jika dulu dengan hanya ceramah berdegar-degar, rakyat sudah 'terbeli' untuk memberikan undi, hari ini rakyat sudah mampu mempersoalkan mana hujah, mana fakta, mana sumber dan apakah implikasinya kepada kehidupan mereka kepada ahli politik?

Jika dulu rakyat tunduk bila berhadapan dengan pemimpin politik, hari ini rakyat sudah faham pemimpin politik adalah 'hamba' kepada kesejahteraan rakyat, bukan lagi tuan. Mana mana pemimpin politik yang berkhidmat sambil lewa, sombong, tidak jujur, kurang cekap dan membazir akan pasti ditolak oleh rakyat. Oleh keran untuk mempengaruhi rakyat, soal hubungan orang melayu dan orang Cina tidak pernah sunyi dalam permainan politik Malaysia.

Ahli politik yang tidak bertanggungjawab suka menggunakan isu perkauman untuk membina kebencian antara kaum di negara ini. Strategi "divide and rule" dengan menggunakan isu perkauman sejak dahulu seringkali menguntungkan mereka, walaupun jangka panjangnya merugikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Jika anda bertanya apakah akan terjadi selepas ini, saya akan secara tegas mengatakan, semua ini perlukan anak anak muda Malaysia untuk memberikan 'nasihat' kepada generasi ahli politik tua yang suka menggunakan isu perkauman dalam berpolitik. Anak anak muda harus bertegas menolak politik perkauman, dan berusaha membina 'trust' antara anak muda Cina, Melayu dan India demi masa depan mereka sendiri.

Nyata, zaman mereka sudah berbeza dengan zaman ahli politik yang sudah berusia lanjut. Politik perkauman mungkin sesuai di era 70an dan 80an, tetapi tidak sesuai lagi di era ini. Dulu orang Melayu di kampung bertani, orang Cina di bandar berniaga dan orang India di estet, sebagai buruh ladang. Mereka tidak bertemu secara aktif seperti mana hari ini.

Hari ini orang Melayu, Cina dan India sudah bercampur gaul di pejabat, di kedai kedai dan juga bekerja di syarikat syarikat. malah juga di media sosial. Mereka juga telah gunakan bahasa Inggersi sebagai bahasa komunikasi yang seperti sudah berjaya membina perpaduan antara mereka (kita pastinya sangat kecewa kerana bahasa Malaysia masih tidak jelas kejayaanya sebagai bahasa komunikasi harian untuk perpaduan pada generasi muda Malaysia, BM nampaknya hanya sekadar berjaya menjadi bahasa rasmi sahaja).

Maka pada orang India, orang Melayu dan orang Cina... insaflah dan sama samalah kita menjadi orang Malaysia...jika itu yang anda benar benar mahukan.







01 May, 2013

Mengapa Pesta Pantun UKM Semakin Hilang Serinya?

Malam tadi (29 April) telah berlangsung Pertandingan Akhir Pesta Pantun UKM 2013. Pesta Pantun merupakan salah satu aktiviti pelajar UKM yang panjang sejarahnya dan dianjurkan secara tradisi hampir setiap tahun, seingat saya sejak tahun 1985.

Dulu Piala Pusingannya adalah sumbangan Profesor Dato Dr Ismail Hussein (kini piala tersebut sudah menjadi milik IZISH setelah menjadi juara tiga kali berturut turut), kemudiannya Piala Pusingan kedua disumbangkan oleh Profesor Dr Noriah Mohammad (ATMA) dan sekarang piala pusingannya adalah sumbangan Ybhg Dato Seri Utama Rais Yatim.

Dulu acara ini adalah acara pertandingan interkolej. Sejak dua tahun kebelakangan ini formatnya diubah kepada pertandingan bersifat terbuka yang boleh disertai oleh pelajar melalui  fakulti atau pasukan pelajar yang tidak wakili kolej atau fakulti. Asalkan pesertanya adalah pelajar UKM.

Seingat saya, acara Pesta Pantun ini sangat meriah dan ditunggu tunggu. Setiap kali pelajar baru mendaftar di kolej, para senior (khususnya JAKSA kebudayaan) akan mula mencari bakat bakat baru untuk mewakili kolej dalam Pesta Pantun UKM. Mereka berlatih saban minggu kerana Pesta Pantun menggunakan format yang unik, di mana peserta perlu membalas pantun yang 'dijual' secara spontan, tanpa bantuan pen dan kertas.

Semuanya dilakukan dalam minda secara bayangan. Cukup-cukup mengujakan bila masa yang diperuntukan bagi 'membeli' pantun hanya 80 saat sahaja. Mana nak bina ayat maksud, mana nak cari ayat pembayang, juga mesti memilih tidak kurang 9 dan tidak lebih 11 sukukata dan rima yang mesti memenuhi hukum dalam berpantun.

Malah lebih mencabar bila pemilihan perkataan mesti ada logiknya..seperti tidak boleh "pokok rotan tegak berdiri (sebab pokok rotan menjalar!) atau jika pembayangnya menggunakan frasa-frasa yang sedih, tetapi ayat maksudnya tidak boleh menonjolkan rasa ria dan riang...dan banyak lagi hukum hukum pantun yang lain.

Oleh itu Pesta Pantun adalah acara berprestig yang bukan sahaja mengangkat budaya bangsa Melayu tetapi juga mencabar kreativiti serta keupayaan berfikir para mahasiswa. Tidak salah jika saya katakan seni berpantun adalah antara seni budaya Melayu yang mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi dan pada masa yang sama juga bersifat membangunkan nilai moral dan kreativiti yang hebat sesuai dengan apa juga zaman.

Malangnya suasana malam semalam di Panggung Seni UKM agak 'sunyi' dan hambar berbanding suatu ketika dulu. Bilangan penyertaan pasukan pantun yang dulunya mencecah 16 pasukan (ada beberapa kolej termasuk IZISH yang menghantar 2 pasukan) sekarang hanya disertai oleh enam pasukan sahaja. Tiga kolej sahaja yang menghantar pasukan mereka. Selain IZISH, hanya Kolej Aminudin Baki dan Kolej Tun Syed Nasir sahaja yang mengambil bahagian sedangkan UKM mempunyai 12 buah kolej. Tiga lagi pasukan datangnya dari fakulti.

Jumlah penonton pertandingan akhir malam semalam juga sangat kurang berbanding dulu. Saya masih ingat dulu, gegak gempita Panggung Seni UKM dengan sorakan setiap kumpulan penyokong kolej yang bertanding apabila pasukan kolej mereka berjaya 'membeli'  pantun pihak lawan.

Suasana hangat berpesta pantun sudah tiada lagi. Tepukan penonton juga semakin malap dan lesu. Walhal, saya akui persiapan dan komitmen pihak Pusat Kebudayaan UKM sekarang jauh lebih hebat berbanding dulu. PUSKEB telah menyediakan pentas yang begitu cantik dengan konsep era 60an, diselang seli dengan persembahan nyanyian, yang dulunya langsung tidak ada. Begitu juga dengan hadiah yang lebih besar dan menarik. Sekalung tahniah buat Pusat Kebudayaan UKM yang telah memberikan sokongan kuat kepada penganjuran Pesta Pantun UKM.

Saya melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang membimbangkan. Saya setuju dengan pandangan rakan saya yang menjadi ketua Juri Pesta Pantun UKM, Encik Abdullah Che Ya, pensyarah UKM yang melihat penyertaan yang semakin berkurang sebagai sesuatu yang membimbangkan (Beliau ialah Naib YDP Persatuan Mahasiswa Persuratan Melayu FSSK ketika saya sebagai YDP persatuan tersebut. Persatuan PPM ini telah saya hidupkan kembali atas bimbingan Prof Dr Sahlan Mohd Saman yang ketika itu Timbalan Dekan FSSK, dan sekarang persatuan ini terus aktif dengan nama baru Persatuan Mahasiswa Pengajian Melayu FSSK).

Apa puncanya sekarang, Pesta Pantun UKM semakin kurang sambutan dari pelajar kolej kediaman UKM. Saya berikan dua sebab utama. Anda boleh bersetuju atau boleh juga tidak bersetuju, kedua-duanya saya raikan. Pertamanya, pada saya inilah kesan 'kebijaksanaan' pelajar mengendalikan Kontrak Pembelajaran (LC), keduanya ini adalah kesan bila format pertandingan yang dibuka kepada bukan kolej.

Isu LC telah beberapa kali saya bincangkan. Semakin hari pelajar UKM semakin 'bijak' dalam mengaturkan bagaimana mereka menyelesaikan beban ko-kurikulum 8 kredit mereka melalui LC. Mereka mula tahu dan selalu diajarkan oleh para senior mereka supaya dalam melaksanakan LC, lakukan yang mudah mudah dan yang senang senang sahaja. Misalnya, mereka 'dinasihatkan' oleh para senior supaya dapatkan LC untuk projek lawatan amal, atau anjurkan hari keluarga di kolej (biasanya akan ramai pelajar menjadi 'penumpang' atau 'sleeping partner' di dalam program tersebut), dan jangan sekali kali cuba untuk terlibat dengan aktiviti yang berat tanggungjawabnya serta memerlukan komitmen masa dan tenaga yang tinggi.

Misalnya, pelajar seboleh bolehnya tidak akan sertai untuk  menjadi pembahas, penari kesenian, pelakon teater atau pemantun. Juga jangan menjadi atlet yang memerlukan latihan yang intensif untuk mewakili kolej atau universiti. Atau pelajar cuba mengelak dari menganjurkan aktiviti seperti seminar atau bengkel yang memerlukan pelajar membentangkan kertas kerja dan sebagainya. Ini semua adalah program yang sangat berat dan mengambil masa. Lebih baik lakukan program yang mudah dan one-off sahaja.

Akibatnya, 'kebijaksanaan' yang dilakukan ini telah menjadikan aktiviti pelajar UKM mula bersifat remeh, picisan dan tidak lagi berterusan. Sifatnya sudah ad-hoc dan semakin dilakukan secara ringkas dan tidak lagi berimpak tinggi.

Tetapi saya juga akui masih ada segelintir aktiviti di mana pelajar UKM yang benar benar memahami bahawa mereka seharusnya bukan melengkapkan LC, tetapi yang lebih diutamakan mengapa mereka menganjurkan aktiviti untuk meningkatkan softskills. Secara langsung ini juga akan melengkapkan LC mereka.

Maka kumpulan yang faham tujuan dan prinsip LC yang sebenar akan terus menganjurkan aktiviti yang berkualiti tinggi, mempunyai impak yang baik kepada pembangunan softskill, berorientasikan kebolehpasaran dan meningkatkan reputasi dan nama baik UKM. Tetapi jumlah aktiviti sebegini semakin mengecil di UKM.

Sebab kedua mengapa Pesta pantun semakin sunyi ialah jika dulu progranm ini bersifat interkolej kini tidak lagi. Kita harus faham, salah satu yang agak unik di kalangan kolej kediaman ialah semangat pertandingan yang cukup tinggi antara mereka. Semangat bersaing secara positif ini menjadi satu motivasi kepada semua kolej berusaha untuk bertanding dan melihat kolej mana yang paling hebat.

Tetapi bila format ini diubah sejak dua tahun lalu, membenarkan pasukan bukan kolej juga terlibat, penyertaan kolej menjadi semakin kurang. Apatah lagi sejak dua tahun lepas yang menjadi johannya bukan dari kalangan kolej kediaman lagi tetapi yang mewakili fakulti. Ini juga menjadi faktor yang mengurang motivasi pasukan kolej dalam pertandingan  Pesta Pantun UKM.

Kita sangat berharap Pesta Pantun ini akan kembali subur di UKM. Sekurang kurangnya sebagai sebuah universiti bertaraf kebangsaan, Pesta pantun melambangkan citra UKM dalam memartabatkan pantun warisan bangsa.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa