19 October, 2013

Benarkah Calon GMUKM Tidak Dibenarkan Berkempen di Kolej-Kolej KediamanUKM?


Selesai solat jumaat tengahari semalam, ketua GMUKM telah memberikan ucapan (tanpa kebenaran pihak pusat Islam) di atas masjid UKM. Beliau secara terangan berkata pengetua kolej kediaman UKM tidak membenarkan calon calon GMUKM berkempen di kolej kolej kediaman.

Untuk memberikan ucapan, saya fikir apa salahnya. Kempen MPP UKM sudah bermula sejak tengahari Khamis lalu, bila semua nama calon telahpun disahkan oleh SPR UKM. Jadi bolehlah berkempen di mana sahaja asalkan tidak menimbulkan gangguan pada mana mana pihak lain.

Jika GMUKM menganggap masjid tempat yang sesuai untuk menjalankan kempen politik pada ketika waktu berkempen MPP diberikan, saya secara peribadi tiada halangan. Walaupun pada saya, itu kurang manis, Apatah lagi ucapan dalam masjid ini penuh dengan cercaan dan kata kata yang kurang sedap diucapkan. Tetapi itu hak masing masing, saya masih tidak ada halangan. Pada saya, minggu ini adalah minggu pilihanraya kampus UKM, maka semua kempen calon harus diraikan.

Persoalannya di sini dan apa yang ingin saya respons ialah Benarkan kolej kediaman tidak membenarkan calon GMUKM menjalankan kempen mereka sejak tempoh rasmi kempen bermula 12 tengahari (Khamis 18.Okt 2013)? Bila masanya mereka ditegah untuk berkempen di kolej? Di kolej mana? siapa yang menahan calon GMUKM dari berkempen? Siapa pula calon yang kena tahan? Adakah pengetua kolej terlibat? Atau mana mana staf, felo terlibat menahan calon tersebut? atau sebenarnya ini semua hanya satu fitnah yang sengaja dilakukan oleh ketua GMUKM di dalam masjid yang suci?

Saya sebagai wakil Majlis Pengetua UKM dan semua pengetua kolej kediaman tidak pernah sama sekali berhasrat untuk menghalang atau menyekat mana mana calon untuk berkempen samada Aspirasi mahasiswa atau pun GMUKM bermula 12 tengahari khamis lalu. Tidak ada sama sekali.

Malah pihak kepengetuaan telah mengambil inisiatif bagi membantu kempen semua calon supaya teratur dengan mencadangkan supaya SPR UKM menyediakan satu jadual kempen untuk semua calon yang ingin berkempen di kolej kolej UKM. 

Calon calon yang ingin berkempen boleh mengemukakan permohonan berkempen mereka di kolej kediaman dan para pengetua tiada halangan untuk meluluskannya. Permohonan ini bertujuan untuk pihak kolej memaklumkan pada pelajar kolej masa ketibaan calon calon dan juga untuk kakitangan membuat persediaan sistem siaraya (PA system) bagi digunakan oleh mana mana calon untuk menyampaikan kempen mereka. Mengapa difitnah di dalam masjid UKM kononnya kepengetuaan UKM menyekat calon GMUKM dari berkempen?

Janganlah dilemparkan fitnah sebegini walaupun saya tahu niatnya hanya untuk mendapat undi simpati. Saya mohon calon GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa kemukakan aduan rasmi pada SPR jika ada mana mana kolej yang di dapati menghalang calon berkempen. 

Tetapi saya juga mohon semua calon dan jentera telitikan terlebih dahulu di dalam buku peraturan Pemilihan MPP dan Buku Panduan Calon di mana dalam kawasan kolej yang boleh berkempen. Di blok pelajar adalah kawasan larangan berkempen. Itu adalah kawasan  peribadi pelajar. Bilik penginapan mereka. Kita kena hormati privasi mereka. Tetapi di kafetaria, di lobi kemudahan malah di kawasan umum kolej, calon dibenarkan untuk berkempen. Maka berkempenlah secara baik.

Bagi pihak kepengetuaan, sikap dan cara ketua GMUKM membuat fitnah sebegini tidak sesuai. Jangan kerana politik pemilihan pelajar setahun sekali, sampai mendidik kita sanggup membuat fitnah di dalam masjid yang suci. Saya secara peribadi memaafkan tuduhan ini yang dilemparkan kepada saya. Tetapi saya tidak pasti bagaimana perasaan para pengetua yang lain. Sedihkah mereka?