19 October, 2013

Benarkah Calon GMUKM Tidak Dibenarkan Berkempen di Kolej-Kolej KediamanUKM?


Selesai solat jumaat tengahari semalam, ketua GMUKM telah memberikan ucapan (tanpa kebenaran pihak pusat Islam) di atas masjid UKM. Beliau secara terangan berkata pengetua kolej kediaman UKM tidak membenarkan calon calon GMUKM berkempen di kolej kolej kediaman.

Untuk memberikan ucapan, saya fikir apa salahnya. Kempen MPP UKM sudah bermula sejak tengahari Khamis lalu, bila semua nama calon telahpun disahkan oleh SPR UKM. Jadi bolehlah berkempen di mana sahaja asalkan tidak menimbulkan gangguan pada mana mana pihak lain.

Jika GMUKM menganggap masjid tempat yang sesuai untuk menjalankan kempen politik pada ketika waktu berkempen MPP diberikan, saya secara peribadi tiada halangan. Walaupun pada saya, itu kurang manis, Apatah lagi ucapan dalam masjid ini penuh dengan cercaan dan kata kata yang kurang sedap diucapkan. Tetapi itu hak masing masing, saya masih tidak ada halangan. Pada saya, minggu ini adalah minggu pilihanraya kampus UKM, maka semua kempen calon harus diraikan.

Persoalannya di sini dan apa yang ingin saya respons ialah Benarkan kolej kediaman tidak membenarkan calon GMUKM menjalankan kempen mereka sejak tempoh rasmi kempen bermula 12 tengahari (Khamis 18.Okt 2013)? Bila masanya mereka ditegah untuk berkempen di kolej? Di kolej mana? siapa yang menahan calon GMUKM dari berkempen? Siapa pula calon yang kena tahan? Adakah pengetua kolej terlibat? Atau mana mana staf, felo terlibat menahan calon tersebut? atau sebenarnya ini semua hanya satu fitnah yang sengaja dilakukan oleh ketua GMUKM di dalam masjid yang suci?

Saya sebagai wakil Majlis Pengetua UKM dan semua pengetua kolej kediaman tidak pernah sama sekali berhasrat untuk menghalang atau menyekat mana mana calon untuk berkempen samada Aspirasi mahasiswa atau pun GMUKM bermula 12 tengahari khamis lalu. Tidak ada sama sekali.

Malah pihak kepengetuaan telah mengambil inisiatif bagi membantu kempen semua calon supaya teratur dengan mencadangkan supaya SPR UKM menyediakan satu jadual kempen untuk semua calon yang ingin berkempen di kolej kolej UKM. 

Calon calon yang ingin berkempen boleh mengemukakan permohonan berkempen mereka di kolej kediaman dan para pengetua tiada halangan untuk meluluskannya. Permohonan ini bertujuan untuk pihak kolej memaklumkan pada pelajar kolej masa ketibaan calon calon dan juga untuk kakitangan membuat persediaan sistem siaraya (PA system) bagi digunakan oleh mana mana calon untuk menyampaikan kempen mereka. Mengapa difitnah di dalam masjid UKM kononnya kepengetuaan UKM menyekat calon GMUKM dari berkempen?

Janganlah dilemparkan fitnah sebegini walaupun saya tahu niatnya hanya untuk mendapat undi simpati. Saya mohon calon GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa kemukakan aduan rasmi pada SPR jika ada mana mana kolej yang di dapati menghalang calon berkempen. 

Tetapi saya juga mohon semua calon dan jentera telitikan terlebih dahulu di dalam buku peraturan Pemilihan MPP dan Buku Panduan Calon di mana dalam kawasan kolej yang boleh berkempen. Di blok pelajar adalah kawasan larangan berkempen. Itu adalah kawasan  peribadi pelajar. Bilik penginapan mereka. Kita kena hormati privasi mereka. Tetapi di kafetaria, di lobi kemudahan malah di kawasan umum kolej, calon dibenarkan untuk berkempen. Maka berkempenlah secara baik.

Bagi pihak kepengetuaan, sikap dan cara ketua GMUKM membuat fitnah sebegini tidak sesuai. Jangan kerana politik pemilihan pelajar setahun sekali, sampai mendidik kita sanggup membuat fitnah di dalam masjid yang suci. Saya secara peribadi memaafkan tuduhan ini yang dilemparkan kepada saya. Tetapi saya tidak pasti bagaimana perasaan para pengetua yang lain. Sedihkah mereka?



09 October, 2013

Fahamilah Dulu Mengapa GMUKM Itu Dikatakan Gerakan Haram di UKM.

1.Sejak beberapa hari lepas, saya menerima banyak pertanyaan berkaitan istilah gerakan haram GMUKM, persatuan berdaftar Aspirasi dan hubungannya dengan PRK UKM dari pelajar tahun satu. 

(2) Terima kasih atas soalan sedemikian. Pada saya, semakin ramai pelajar baru UKM kini yang ingin memahami politik kampus secara lebih evaluative dan tidak emosional.

3. Mengikut PERATURAN PERATURAN PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 2012, Perkara 17 (1) ada menyatakan " Semua calon yang bertanding di dalam pemilihan MPP hendaklah bertanding atas status atau kapasiti individu dan bukan mewakili mana-mana kumpulan atau platform di dalam dan di luar kampus". 

(3) Secara jelas peraturan ini tidak membenarkan, samada kumpulan itu berdaftar atau tidak berdaftar bertanding dalam pemilihan kampus. Semuanya tetap tidak dibenarkan dalam pemilihan MPP. hanya calon secara individu sahaja yang dibenarkan. Maknanya apa juga logo, simbol atau apa apa yang menunjukkan calon secara berkumpulan bertanding adalah melanggar peraturan.

(4)  Persoalannya, adakah di UKM, semua calon yang bertanding telah melanggar peraturan dalam perkara 17(1) ini bila dikatakan mereka bertanding atas parti GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa? Jawapannya setakat ini TIDAK. Mereka yakni calon, tidak melanggar peraturan tersebut kecuali mereka secara sengaja telah dibuktikan menggunakan logo, simbol atau apa apa yang boleh diterjemahkan sebagai bersifat berkumpulan. Sebab itu jika ada calon yang ada logo perkumpulan dan menjadikannya sebagai pengenalan semasa berkempen, maka perbuatan itu telah melanggar peraturan pemilihan kampus. hatta yang mudah sekalipun misalnya ada calon yang upload profile picture di facebook, instagram atau twitter dengan menggunakan logo, nama atau simbol perkumpulan, percalonan beliau boleh dibatalkan jika mendapat aduan atau bantahan.

(5) Pihak lawan politik boleh memohon percalonan seseorang calon dibatalkan jika terbukti mana mana calon secara sengaja bersekutu dengan apa apa yang bersifat simbol berkumpulan. Seingat saya,  belum ada setakat ini mana mana calon pun yang pernah melanggar peraturan ini kerana sebagai calon, mereka faham secara teknikal mereka bertanding atas tiket individu. 

(5) Sebab itu atas kertas undi hanya nama dan gambar mereka sahaja yang dicetak. Tidak pernah ada logo GMUKM atau Aspirasi atau sebagainya yang dicetak di kertas undi PRK UKM.

(6) Tetapi yang menjadi perdebatan ialah bolehkah wujud kumpulan GMUKM, kumpulan Aspirasi atau mana mana kumpulan yang menyokong calon calon tersebut. Dalam hal ini, tidak ada mana mana bahagian dalam Peraturan Pemilihan PRK yang melarang pelajar lain samada secara individu atau berkumpulan dalam memberikan sokongan kepada mana mana calon. 

(7) Malah Peraturan telah membenarkan wujudnya Pencadang dan Penyokong kepada calon dalam Perkara 19 (1-9) dan Perkara 20(1) berkaitan wakil calon " mana-mana calon boleh melantik di kalangan pelajar berdaftar yang berstatus aktif untuk menjadi wakil calon untuk dirinya bagi membantunya berkempen". Maksudnya Peraturan Pemilihan membenarkan calon disokong oleh sekumpulan pelajar lain untuk mengerakkan kempennya..

(8) Jadi mengapa saya menolak GMUKM aktif dalam piliharaya UKM? Jawabnya sebab GMUKM tidak berdaftar. Soal apa yang diperjuangkan atau apa ideologi mereka, itu tidak menjadi isu pada saya. Itu hak masing masing dan kebebasan untuk bersuara. 

(9) Tetapi untuk bergerak di dalam UKM, jika ingin berpersatuan dan berkumpulan, ada logo dan organisasinya, mestilah berdaftar dulu. Itu ada dalam peruntukan universiti. Jika pimpinan GMUKM tidak boleh mematuhi dan menghormati undang undang universiti dan negara yang sudah sangat jelas, wajarkah saya dan pihak pengurusan UKM menghormati mereka? 

(10) Saya tidak ada masalah jika persatuan pelajar yang berdaftar di UKM ingin memberikan sokongan dan berkempen secara terbuka untuk mana mana calon piliharaya kampus yang mereka percaya boleh memajukan kebajikan pelajar UKM, samada dari Aspirasi, ISIUKM, PMFPI, UPSM, Rakan Masjid atau sebagainya. 

(11) Tetapi saya tidak dapat menerima atau mengiktiraf mana mana kumpulan yang tidak berdaftar dan bergerak secara haram termasuklah GMUKM menjalankan kempen dalam PRK UKM. 

Ada implikasinya.

(12) Tanpa prejudis atau melihat dari kacamata politik sempit kampus, pada saya, membenarkan atau menutup 'sebelah mata' dengan membiarkan GMUKM berkempen samalah seperti kita di UKM membuka peluang wujudnya kumpulan haram yang lain mengambil kesempatan sebegini. 

(13) Bayangkan kalau pelajar dari kumpulan ajaran Syiah juga ingin berkempen memberikan sokongan pada mana mana calon PRK UKM pada masa depan. Ada logo Syiah dan organisasinya. Atau bagaimana pula jika ada kumpulan haram di kalangan pelajar yang bersimpati dengan Parti Komunis juga berhasrat akan berkempen untuk calon PRK UKM, atau kumpulan LGBT juga turut berkempen untuk mana mana calon di UKM? Apakah kita boleh menerima tindakan begitu?

(14) Apakah pihak UKM akan benarkan dan menutup sebelah mata jika kumpulan begini juga ingin berkempen? Atau apakah ketika itu baru kita di UKM terhantuk tergadah untuk menegah dan melarang kumpulan yang tidak berdaftar dari berkempen? Nanti pasti kita akan dipertikaikan tidak berlaku adil."Mengapa masa kumpulan GMUKM yang haram berkempen boleh, tapi kami dari kumpulan Syiah, LGBT atau komunis nak berkempen di UKM untuk calon yang kami sokong tapi tak boleh? Siapa nak jawab? Pada saya, kita harus hormati peraturan universiti. 

04 October, 2013

Siapalah Saya Berbanding Pemimpin GMUKM..

Isu air adalah isu kritikal untuk semua warga UKM. Tidak ada yang suka isu ini berlangsung untuk satu jangka masa yang panjang. Saya dan keluarga yang tinggal dalam kampus juga pasti akan  terbabit. Soalnya perlukah kita semua marah-marah, mengecam dan menyalahkan pengurusan UKM dalam hal ini. Atau kita semua bersama sama dengan pengurusan UKM melakukan apa yang terdaya. Sekurang kurangnya kita bertenang dan berdoa supaya ujian ini segera berakhir.

Malangnya pada pimpinan GMUKM, isu air tidak penting, yang penting bagaimana mereka boleh mempolitikkan kesusahan ini.

Cukup..cukuplah...



  • Tnchepa Ukm Di pihak pengurusan UKM, UKM telah melakukan apa yang boleh bagi mengatasi masalah bekalan UKM dan melibatkan kos yang agak tinggi (bukan sekadar mengumpul tandatangan  ) - namun masih berlaku gangguan bekalan disebabkan faktor2 luar kawalan. Perbincangan akan terus dibuat dengan pihak yang berwajib khususnya SYABAS bagi mengurangkan gangguan ini.. dengan izin Allah..
    2 hours ago · Like · 12
  • Tnchepa Ukm Mohon MEP setiap kolej yang menerima kesan gangguan air ini untuk melancarkan kempen berjimat cermat dalam menggunakan air. Bentuk "task force" bagi mengesan kebocoran paip sekiranya ada dan segera laporkan kepada pihak kolej/JPP untuk tindakan segera. Juga semak paras air di dalam tangki statik agar ianya sentiasa ada air - kalau tidak ada, hubungi JPP dan minta bekalkan air secukupnya....
  • Haziq Asyraf Ini suatu kegagalan. Yang saya pelik projek pembangunan di ukm sgt pesat dan menelan belanja yg tinggi termasuk projek permata pintar. Tetapi kenapa masalah air yg menjadi keperluan utama warga ukm tidak dapat diselesaikan sekian lama...pelik2x
  • Anuar Ahmad Salah satu cara berjimat yang telah diamalkan di KIZ dan di dapati berkesan ialah program menjimat air bila pelajar flush tandas. Caranya dengan mengisikan air dalam botol 500 ml dan masukan dalam tangki flush tandas. Perkiraan kasar yang telah dibuat di KIZ menunjukkan 500 ml (bersamaan sebotol air) dapat dijimatkan setiap kali pelajar menggunakan tandas (air kecil dan besar). Jika satu blok ada 100 pelajar, air yang dapat dijimatkan dalam sehari sekitar 50,000ml (dengan andaian minima seorang pelajar hanya sekali ke tandas sehari). dan jika kolej ada 2,000 pelajar, secara minima air dapat dijimatkan sekitar 1,000,000ml (bersamaan 1000 liter sehari)..bayangkan kalau semua flush tandas di UKM dimasukan botol plastik, jika 10,000 pelajar menggunakan tandas hanya sekali sehari, kita berjaya menjimatkan paling minima 5,000,000 ml (atau 5,000 liter) jika usaha ini dilakukan secara produktif kesannya tentu lebih ketara dari sekadar mengumpul 1,000 tandatangan "kami nak air"...
  • Syazwani Mohd Roslan Haziq Asyraf isu air di UKM memang sering berlaku dan saya juga sedia maklum bagaimana para pelajar rasa keperitan apabila air tidak ada. Kita boleh tangani sepenuhnya jika ianya di bawah kawalan UKM. Tetapi isu air ini adalah berpunca daripada pihak SYABAS, bermakna berlaku di luar kawalan UKM. Malah gangguan juga berlaku di kawasan sekitar termasuk Bandar Baru Bangi. Segalanya perlu diselesaikan oleh pihak SYABAS dan pihak pentadbiran UKM kita hanya boleh berusaha keras untuk tidak menjejaskan kebajikan para pelajar (sebab itu mereka terus meminta pihak SYABAS hantar lori air ke kolej-kolej kediaman). Mungkin kemudiannya juga boleh utarakan ke bahagian kerajaan Selangor untuk membuat penelitian terhadap SYABAS atau pun pihak berkenaan (tetapi setakat yang saya tahu sekarang, YB Ustaz Shafie Ngah sudah pun buat pemeriksaan ke Kolam Terminal Bangi Golf Resort (BGR) berhubung isu masalah gangguan bekalan air/ tekanan air rendah yang dialami oleh penduduk di Taman Kajang Utama, Vista Emas dan UKM).
  • Haziq Asyraf Anuar Ahmad, mmaf saya cakap. Berdasarkan komen anda, Mmg x layak anda digelar seorang ahli akademik...
  • Haziq Asyraf Kalau dahulu semasa PRU, dato zaidi menang mungkin perkara ni dh selesai...tak gitu Anuar Ahmad?
  • Anuar Ahmad Program penjimatan air yang saya cadangkan di atas telah diperkenalkan oleh seorang profesor di Universiti Tokyo. Felo KIZ telah membawa idea profesor tersebut ke KIZ untuk dilaksanakan. Alhamdulliah berjaya.

01 October, 2013

Alur Ilmu UKM Semakin Lesu?

Anak Sungai Cheonggyecheon, di tengah bandaraya Seoul, Korea Selatan.
Di bandaraya Seoul Korea, terdapat sebuah anak sungai kecil yang merentasi bandaraya ini dari timur ke barat, dan masyarakat Korea menamakan anak sungai sebagai Cheonggyecheon. Sejarahnya, selepas perang dunia kedua, sungai ini merupakan antara sungai paling tercemar di dalam dunia.  Industri berat dan budaya hidup tidak terurus penduduk Korea era pasca perang menyebabkan percemaran sungai ini sangat serius. Selama lebih 50 tahun tidak ada sesiapa yang ingin mengubah atau menyelesaikan isu percemaran sungai ini.

Tetapi mulai tahun 2003, transformasi mula dilakukan hasil usaha Dato Bandar Seoul Lee Myung Bak dengan sokongan ahli majlis pembandaran Seoul, kini sungai ini telah menjadi antara tarikan pelancungan di bandaraya ini. Telah mula di buka pada 2005, berbagai aktiviti street performance, pameran dan jualan diadakan sepanjang sungai ini. Bagaimana sebuah sungai yang dahulunya dibiarkan tercemar dan kotor kini telah ditransformasikan menjadi pusat rekerasi dan aktiviti masyarakat bandaraya Seoul dan pelancung, sememangnya sesuatu yang sangat mengagumkan. Ini juga melambangkan kegigihan dan perjuangan masyarakat Korea menghargai sesuatu yang menjadi milik bangsa mereka.

Di UKM, kita juga punyai anak sungai yang kita namakan Alur Ilmu. Merentasi dari Fakulti Sains Nuklear hinggalah ke pintu masuk utama UKM bersebelahan dengan Masjid UKM. Dulunya, ketika saya masih bergelar mahasiswa, Alur Ilmu ini sentiasa mengalirkan air yang jernih dan sering menjadi tempat pelajar beristirehat atau menunggu waktu kuliah seterusnya sambil melihat ikan ikan yang begitu banyak berenang. Nama Alur Ilmu juga sendiri secara jelas telah memberikan penghormatan kepada tradisi keilmuan yang disanjung di UKM. Itu dulu, hari ini Alur Ilmu sudah hilang penghormatannya. Kini Alur Ilmu Kotor, busuk dan memualkan. Ikan ikan juga sudah semakin pupus. Di beberapa kawasan, keadaan Alur Ilmu sangat menjijikkan.

Sebagai satu usaha, pada tahun ini Majlis Eksekutif Pelajar MEP cuba mencabar keupayaan mereka untuk berjuang memulangkan kembali sesuatu yang dahulunya menjadi milik warga UKM. Mereka impikan Alur Ilmu kembali bersih airnya dan suasana yang menenangkan disekelilingnya. Cabaran ini besar dan berat, tetapi jika masyarakat Korea boleh melakukannya, tentu sahaja dengan iltizam yang besar oleh pelajar ini akan mendapat sokongan warga UKM. Semua pihak punyai tanggungjawan untuk melakukan sesuatu dalam kapasiti masing masing untuk membangunkan semula Alur Ilmu ini. Jika buruk, busuk dan kotornya alur ilmu, kita semua warga kampus kena akui itulah sebahagian lambang keperibadian sebenarnya tentang kasih sayang kita pada institusi UKM.

Dua hari lepas (Ahad 29 September 2013) pemimpin pelajar MEP-KIZ (Tengku Adiduddin) menyelungsuri alur ilmu dan merakamkan foto foto ini untuk dikongsikan dengan semua warga UKM betapa lesunya Alur Ilmu UKM. 









































(Photo: Courtesy to Tengku Adiduddin, Ketua Eksekutif MEP KIZ)