14 September, 2012

GMUKM Membunuh Demokrasi Pilihanraya Kampus UKM

Ini adalah comment yang saya terima dalam FB saya sekitar jam 11.00 pagi (14 Sept 2012)...

Hafidzan Idris GMUKM ni adalah penjenamaan semula IPU yang kami telah kalahkan tahun 2003. Daripada warna hijau langau bertukar kepada oren sunkist dan kini kepada ungu. Semasa Aspirasi baru ditubuhkan yang rata-rata dipimpin oleh pelajar tahun 2, kami diugut oleh senior IPU-MAMPU. Bilik saya dipecah masuk, cd ceramah PAS diletakkan dibawah pintu hampir setiap minggu, motor cabuk saya dipancitkan. itu belum lagi kes saya mendapat sms berbaur ugutan dan cercaan. bila dapat kemenangan, hanya Allah yang tahu perasaan ini..dan sekiranya Aspirasi dituduh dimenangkan oleh pentadbiran kenapa saya boleh mendapat undi tertinggi bagi peti undi Luar Kampus yang tidak dipengaruhi oleh HEP? Sebab majoriti pelajar dah muak dgn IPU yang terkenal dgn 2 benda iaitu demo dan hantar memorandum. Cakap je berdegar-degar, tapi habuk pun takde..


Saudara Hafidzan merupakan Presiden PMUKM dan YDP Jaksa Kolej Aminuddin Baki ketika belajar di UKM dulu. Sekarang beliau telah bekerja, berumahtangga dan sedang melanjutkan pelajaran di UKM. Kisah beliau ini mengingatkan saya betapa demokrasi di dalam piliharaya kampus mulai hilang dan terkikis akibat budaya politik GMUKM yang menghalalkan semua cara untuk mendapat kuasa politik di dalam PMUKM. Dulu sehinggalah hari ini.  Mereka yang mendapat sokongan dan dukungan dari pihak luar kampus telah diberikan latihan perang saraf dan dilatih supaya menggunakan cara cara halus untuk mendapatkan perhatian dan sokongan para pelajar, tentunya dengan menggunakan agama Islam sebagai modal politik. Pelajar yang tidak dapat melihat permainan politik GMUKM akan menganggap dan percaya GMUKM itu Islam dan Islam itu GMUKM. Sesiapa yang menentang GMUKM akan dikatakan menentang Islam. dan ini sedang dilakukan secara agresif oleh GMUKM di kampus UKM.

Bukan rahsia lagi untuk menyatakan gerakan haram GMUKM telah berjaya mematikan demokrasi di dalam kampus UKM. Mereka akan bertindak menakut nakutkan calon yang cuba memberikan saingan politik pada calon GMUKM. saya masih ingat saudara Shafiq Akram, YDP Jaksa Kolej Ibu Zain (sekarang KE MEP) terpaksa datang berlindung di rumah saya kerana tidak tahan diugut dan diganggu apabila biliknya diketuk jam 4 pagi setiap malam selepas beliau mencalonkan dirinya sebagai calon untuk memberikan persaingan kepada calon GMUKM. Beliau juga terpaksa pulang ke rumah meninggalkan kuliah dan mematikan handphone kerana tidak tahan menerima sms kononya bila beliau menjadi calon Aspirasi belaiu akan menempuh alam neraka. Ada beberapa pelajar GMUKM sampai duduk di depan biliknya membaca Yassin agar Allah turunkan bala kepadanya. 

Alhamdulilah, beliau menang dengan mendapat undi tertinggi untuk kawasan umum kerana ramai pelajar percaya beliau merupakan seorang calon yang berkualiti. Malah beliaulah orang yang paling banyak anjurkan program kerohanian dan kebajikan untuk pelajar semasa memegang jawatan di PMUKM. Oleh kerana beliau menang dengan banyak undi dan menjadi calon popular, pihak GMUKM telah berjumpa dan memohon maaf serta menyatakan itu semua adalah hal politik sahaja dan mengajak beliau berkerjasama dengan program anjuran ISIUKM ketika itu. Jika ada pelajar ingin kepastian saya tiada halangan untuk menemukan pelajar dengan beliau kerana beliau tinggal di Bandar Baru Bangi  dan ada bertandang ke rumah saya sebagai seorang sahabat. yang dulunya pelajar.

GMUKM melakukan ini semua kerana mereka tidak mahu budaya politik yang terbuka diamalkan dalam kampus UKM kerana ini akan memberikan saingan kepada keinginan mereka untuk berkuasa. Tetapi pada pelajar, mereka menggambarkan seolah mereka meraka sangat berpegang kepada kebebasan bersuara, menyanjung perpaduan dan pro mahasiswa. Mereka juga sentiasa mengambarkan seperti mereka bijak mentadbir.  Ramai pelajar UKM terpesona dengan strategi ini dan bersimpati dengan GMUKM. Dan itu semua tipu sahaja, Cuba tanya apa pencapaian PMUKM sesi ini di bawah mereka?

Sebaiknya pelajar berfikirlah secara terbuka apakah ini semua benar dalam kerja GMUKM sesi lepas. Pesta Konvokesyen rugi sampai hari ini tiada laporan yang dikeluarkan, ada peniaga yang menuntut kembali wang sewaan gerai kerana kegagalan urusetia menganjurkan pesta konvokesyen sesi lalu di bawah GMUKM. Malah untuk pertama kalinya dalam sejarah pesta konvo sejak sejak 10 tahun lalu, bila GMUKM memegang sahaja PMUKM dan anjurkan Pesta Konvo, semua penaja utama yang selalu bersama pesta konvo menarik diri kerana tidak yakin dengan kemampuan urusetia pesta konvo sesi lalu. Ini semua telah berlaku tidak diceritakan kepada para pelajar yang sememangnya berhak mengetahuinya.


GMUKM juga katakan mereka ingin perpaduan kaum dilaksanakan di bawah PMUKM sesi lalu. Cuba kita tanya pelajar Tiong Hua dan India, apakah kebajikan besar yang telah mereka perolehi dari GMUKM sesi lalu. Tiada! dan ini juga tidak pernah diceritakan pada para pelajar yang cintakan kesaksamaan dan keharmonian antara kaum di UKM.


GMUKM juga sering menggunakan taktik mencari salah pihak pengurusan UKM. Mereka menggunakan taktik ini bagi menunjukkan bahawa mereka berani dan pelajar perlu menyokong mereka. Sikap berlembut pengurusan UKM digunakan oleh GMUKM untuk merosakkan reputasi para pentadbir dari pengurusan tertinggi, pengurusan HEPA dan kepengetuaan kolej. Tetapi pernahkah kita secara rasinol berfikir dan melihat sendiri bagaimana bersungguh sungguhnya pentadbir UKM termasuklah pengetua kolej kediaman menguruskan kebajikan pelajar masing masing. Tanyalah pula apa yang telah GMUKM atau PMUKM sesi lepas lakukan untuk memastikan kebajikan pelajar terjaga? Mereka lebih sibuk menjaga kumpulan mereka sahaja dan bukannya pelajar UKM secara keseluruhannya.


Saya melihat gerakan GMUKM hari ini semakin agresif dan menakutkan. Mereka mula mengancam keselamatan para pelajar. Beberapa hari lalu ada pengurusan kolej melaporkan yang pelajar di kolej mereka didatangi oleh kumpulan GMUKM pada jam 3 pagi mengetuk bilik pelajar dan mengedarkan risalah secara haram. Peraturan kolej sudah jelas orang luar tidak dibenarkan berada di kawasan kolej selepas jam 12 malam, tujuannya supaya keselamatan pelajar dapat dijamin dari gangguan orang luar lebih lebih lagi ketika semua pelajar sedang tidur. GMUKM tidak mengendahkan peraturan ini malah telah melanggar peraturan sewenang wenangnya...apabila tindakan diambil oleh pengurusan kolej, GMUKM akan berkata "kami dianiaya" sedangkan ada sebab untuk pengurusan kolej bertindak sedemikian.


Saya mempunyai prinsip yang jelas tentang politik kampus. Saya sokong dan menggalakan pelajar terlibat dalam aktiviti pilihanraya kerana ia akan meningkatkan daya kepimpinan dan daya fikir. Saya juga ingin supaya pelajar aktif sebagai pengundi. Saya menyokong kebebasan dan berpolitik secara matang. Tidak ada yang terasa diancam jika ingin menjadi calon dan sebagainya.Tetapi saya menolak sama sekali sebarang usaha yang ingin merosakkan demokrasi piliharaya di kampus UKM. GMUKM adalah pertubuhan haram dan salah di UKM. Kumpulan ini adalah gerakan 'bawah tanah' yang secara halus menarik simpati pelajar dengan menggunakan agama. 


ISIUKM dan urusetia ASPIRASI adalah badan yang sah dan mendapat kelulusan pengurusan UKM. Mereka boleh menjalankan aktiviti dan seharusnya disertai oleh para pelajar. Oleh itu pelajar khususnya pelajar baru harus sedar dan faham situasi ini. Di IZISH, jangan salahlah pihak pengurusan kolej jika tindakan tatatertib diambil pada pelajar jika mereka terlibat dengan aktiviti haram GMUKM yang tidak mendaftar dengan pihak pengurusan UKM. Lebih lebih lagi bilan GMUKM melakukan sesuatu yang melanggar peraturan kolej.


Malah dengan sikap GMUKM yang suka memberikan ancaman pada orang yang tidak mahu bersama mereka, suka menghasut supaya pelajar bersikap jumud, saya yakin mereka yang bersimpati dengan GMUKM tidak sesuai untuk terus tinggal di Kolej Ibu Zain.