29 September, 2012

Selamat Berkhidmat dan Terima Kasih Buat IZISH ALERT TEAM (iA-TEAM)

Semester lepas, IZISH digemparkan dengan kes beberapa kecurian laptop di dalam bilik pelajar. Antara puncanya ialah tombol pintu bilik pelajar yang mudah di buka tanpa menggunakan kunci. Selain itu, siasatan bahagian keselamatan UKM juga  mendapati terdapat beberapa kes di mana ada pelajar sendiri yang cuai sehingga kehilangan barangan dan laptop mereka. Faktor kurangnya keprihatian ahli ahli blok menjaga keselamatan blok turut dikaitkan sebagai 'membuka jalan' kepada berlakunya kes kes tersebut.

Tindakan segera telah diambil oleh pengurusan IZISH dengan bantuan Ybhg TNC HEPA menyelesaikan masalah ini. Sekarang ini semua bilik pelajar telah dipasangkan kunci pendua. Malah IZISH merupakan satu satunya kolej di kampus UKM Bangi yang dipasang kunci pendua sepenuhnya  di bilik pelajar oleh pihak UKM. Ini tentunya melegakan perasaan pelajar IZISH.

Apa pun, kecuaian pasti akan mengundang bencana. Pelajar perlu diingatkan untuk sentiasa memastikan bilik mereka dikunci terutamanya bila mereka keluar untuk ke kuliah dan sebagainya.

Bagi tujuan tersebut, pengurusan IZISH pada semester ini telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan yang dipanggil sebagai IZISH ALERT TEAM (iA-TEAM) yang berindak sebagai satu pasukan pencegahan jenayah di IZISH.

Tiga teras utama aktiviti iA-TEAM untuk menjayakan pencegahan jenayah ialah teras pendidikan, teras pemantauan dan teras pengurusan 'bencana'.

Pertama, teras pendidikan merujuk kepada aktiviti kempen dan taklimat keselamatan (diri, aset dan persekitaran selamat). Begitu juga akan dianjurkan secara berkala forum dan dialog peningkatan kesedaran keselamatan diri. Ini termasuklan penganjuran pertahanan diri, petua mencegah dari menjadi mangsa jenayah dan juga latihan kebakaran yang akan dilaksanakan di IZISH.

Kedua, aktiviti teras pemantauan akan dilaksanakan melalui sistem rondaan oleh ahli di sekitar kolej di musim PRK kampus UKM, pada minggu peperiksaan dan sebagainya. Begitu juga akan dianjurkan perkhidmatan keselamatan diri pelajar di mana ahli pasukan ini boleh dihubungi oleh pelajar siswi IZISH memberikan khidmat membantu pelajar siswi IZISH yang terpaksa pulang berjalan kaki dari  PTSL atau program di PUSANIKA dan fakulti ketika lewat malam . Setiap pelajar siswi IZISH akan diminta menyimpan nombor nombor wakil wakil ahli pasukan ini sebagai langkah keselamatan di ri di dalam kampus. Pasukan ini juga akan diberikan tanggungjawab untuk memantau kehadiran bukan warga IZISH yang mencurigakan di dalam kawasan kolej.

Teras ketiga aktiviti iA-TEAM ialah berkaitan menguruskan 'bencana' yang mungkin berlaku pada pelajar IZISH. Pasukan ini akan membantu untuk pelajar IZISH membuat laporan keselamatan atau laporan polis jika diperlukan. Mereka juga akan menjadi pasukan yang bertindak pantas melaporkan kepada pihak bahagian keselamatan UKM, pusat kesihatan UKM atau kepada pihak pengetua kolej jika berlaku sesuatu perkara buruk yang menimpa kepada warga IZISH di dalam kawasan kampus UKM.

Semoga kumpulan ini akan menjadi satu pasukan yang bersedia untuk berkhidmat kepada warga IZISH. Atas kesukarelaan dan keikhlasan mereka membantu warga pelajar IZISH, pihak kolej ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih...

22 September, 2012

Selamat Datang Felo Akademik Kolej Antarabangsa Ibu Zain UKM

Ybhg. Profesor Dato' Dr Mohd Wahid Samsudin
Felo Akademik (Kepimpinan Pelajar) IZISH
Ybhg Dato' Dr. Shaharuddin Mohammad Ismail
Felo Akademik (Pendidikan Kelestarian) IZISH





















Kini warga IZISH sungguh berbangga kerana telah mempunyai dua Felo Akademik yang dilantik oleh pihak pengurusan HEPA UKM bagi membantu pembangunan pelajar di IZISH, Malah IZISH juga merupakan satu satunya kolej kediaman di UKM yang mempunyai felo akademik untuk membimbing para pelajar.

Dua tokoh ini ialah Ybhg Profesor Dato Dr Mohd Wahid Samsudin, profesor Fakulti Sains Teknologi UKM dan merupakan mantan Timbalan Naib Canselor HEPA UKM. Berasal dari Perak dan merupakan alumni UKM. Beliau akan memberikan sumbangan kepakaran, pemikiran dan program berkaitan kepimpinan pelajar untuk warga IZISH.  

Felo akademik IZISH yang kedua ialah Ybhg. Dato' Dr. Shaharuddin Mohammad Ismail, ahli akademik kanan di Institut Alam Sekitar (LESTARI) UKM. Beliau berasal dari Kedah dan akan memberikan sumbangan kepakaran beliau untuk membangunkan program kelestarian di IZISH.

Idea mewujudkan jawatan felo akademik bermula semasa saya diberikan tanggungjawab mengetuai Bahagian Akademik Kolej (2007-2010) di Pusat Pembangunan Pelajar (PAP sekarang). Bagi menjadikan sesebuah kolej mempunyai persekitaran akademik dan memastikan proses pembelajaran luar kelas berlaku di kolej kediaman, saya percaya dan penuh yakin ahli akademik yang berpengalaman, cemerlang dan berminat dengan kegiatan pelajar pasti akan bersama sama menyokong agenda ini. 

Dengan kehadiran dua tokoh ini menjadi warga IZISH, pelajar IZISH sungguh bertuah kerana berpeluang melakukan berbagai perkara yang dapat meningkatkan pembangunan diri di bawah bimbingan felo akademik khususnya dalam bidang kepimpinan dan kesedaran kelestarian. Saya bagi pihak seluruh warga IZISH ingin mengucapkan "Selamat datang ke IZISH" kepada Yang Berbahagia Prof Dato' Mohd Wahid Samsudin (pejabat Felo Akademik IZISH di K20A/304) dan Ybhg. Dato' Dr Shaharuddin Mohamad Ismail (pejabat Felo Akademik IZISH di K20A/305).

14 September, 2012

GMUKM Membunuh Demokrasi Pilihanraya Kampus UKM

Ini adalah comment yang saya terima dalam FB saya sekitar jam 11.00 pagi (14 Sept 2012)...

Hafidzan Idris GMUKM ni adalah penjenamaan semula IPU yang kami telah kalahkan tahun 2003. Daripada warna hijau langau bertukar kepada oren sunkist dan kini kepada ungu. Semasa Aspirasi baru ditubuhkan yang rata-rata dipimpin oleh pelajar tahun 2, kami diugut oleh senior IPU-MAMPU. Bilik saya dipecah masuk, cd ceramah PAS diletakkan dibawah pintu hampir setiap minggu, motor cabuk saya dipancitkan. itu belum lagi kes saya mendapat sms berbaur ugutan dan cercaan. bila dapat kemenangan, hanya Allah yang tahu perasaan ini..dan sekiranya Aspirasi dituduh dimenangkan oleh pentadbiran kenapa saya boleh mendapat undi tertinggi bagi peti undi Luar Kampus yang tidak dipengaruhi oleh HEP? Sebab majoriti pelajar dah muak dgn IPU yang terkenal dgn 2 benda iaitu demo dan hantar memorandum. Cakap je berdegar-degar, tapi habuk pun takde..


Saudara Hafidzan merupakan Presiden PMUKM dan YDP Jaksa Kolej Aminuddin Baki ketika belajar di UKM dulu. Sekarang beliau telah bekerja, berumahtangga dan sedang melanjutkan pelajaran di UKM. Kisah beliau ini mengingatkan saya betapa demokrasi di dalam piliharaya kampus mulai hilang dan terkikis akibat budaya politik GMUKM yang menghalalkan semua cara untuk mendapat kuasa politik di dalam PMUKM. Dulu sehinggalah hari ini.  Mereka yang mendapat sokongan dan dukungan dari pihak luar kampus telah diberikan latihan perang saraf dan dilatih supaya menggunakan cara cara halus untuk mendapatkan perhatian dan sokongan para pelajar, tentunya dengan menggunakan agama Islam sebagai modal politik. Pelajar yang tidak dapat melihat permainan politik GMUKM akan menganggap dan percaya GMUKM itu Islam dan Islam itu GMUKM. Sesiapa yang menentang GMUKM akan dikatakan menentang Islam. dan ini sedang dilakukan secara agresif oleh GMUKM di kampus UKM.

Bukan rahsia lagi untuk menyatakan gerakan haram GMUKM telah berjaya mematikan demokrasi di dalam kampus UKM. Mereka akan bertindak menakut nakutkan calon yang cuba memberikan saingan politik pada calon GMUKM. saya masih ingat saudara Shafiq Akram, YDP Jaksa Kolej Ibu Zain (sekarang KE MEP) terpaksa datang berlindung di rumah saya kerana tidak tahan diugut dan diganggu apabila biliknya diketuk jam 4 pagi setiap malam selepas beliau mencalonkan dirinya sebagai calon untuk memberikan persaingan kepada calon GMUKM. Beliau juga terpaksa pulang ke rumah meninggalkan kuliah dan mematikan handphone kerana tidak tahan menerima sms kononya bila beliau menjadi calon Aspirasi belaiu akan menempuh alam neraka. Ada beberapa pelajar GMUKM sampai duduk di depan biliknya membaca Yassin agar Allah turunkan bala kepadanya. 

Alhamdulilah, beliau menang dengan mendapat undi tertinggi untuk kawasan umum kerana ramai pelajar percaya beliau merupakan seorang calon yang berkualiti. Malah beliaulah orang yang paling banyak anjurkan program kerohanian dan kebajikan untuk pelajar semasa memegang jawatan di PMUKM. Oleh kerana beliau menang dengan banyak undi dan menjadi calon popular, pihak GMUKM telah berjumpa dan memohon maaf serta menyatakan itu semua adalah hal politik sahaja dan mengajak beliau berkerjasama dengan program anjuran ISIUKM ketika itu. Jika ada pelajar ingin kepastian saya tiada halangan untuk menemukan pelajar dengan beliau kerana beliau tinggal di Bandar Baru Bangi  dan ada bertandang ke rumah saya sebagai seorang sahabat. yang dulunya pelajar.

GMUKM melakukan ini semua kerana mereka tidak mahu budaya politik yang terbuka diamalkan dalam kampus UKM kerana ini akan memberikan saingan kepada keinginan mereka untuk berkuasa. Tetapi pada pelajar, mereka menggambarkan seolah mereka meraka sangat berpegang kepada kebebasan bersuara, menyanjung perpaduan dan pro mahasiswa. Mereka juga sentiasa mengambarkan seperti mereka bijak mentadbir.  Ramai pelajar UKM terpesona dengan strategi ini dan bersimpati dengan GMUKM. Dan itu semua tipu sahaja, Cuba tanya apa pencapaian PMUKM sesi ini di bawah mereka?

Sebaiknya pelajar berfikirlah secara terbuka apakah ini semua benar dalam kerja GMUKM sesi lepas. Pesta Konvokesyen rugi sampai hari ini tiada laporan yang dikeluarkan, ada peniaga yang menuntut kembali wang sewaan gerai kerana kegagalan urusetia menganjurkan pesta konvokesyen sesi lalu di bawah GMUKM. Malah untuk pertama kalinya dalam sejarah pesta konvo sejak sejak 10 tahun lalu, bila GMUKM memegang sahaja PMUKM dan anjurkan Pesta Konvo, semua penaja utama yang selalu bersama pesta konvo menarik diri kerana tidak yakin dengan kemampuan urusetia pesta konvo sesi lalu. Ini semua telah berlaku tidak diceritakan kepada para pelajar yang sememangnya berhak mengetahuinya.


GMUKM juga katakan mereka ingin perpaduan kaum dilaksanakan di bawah PMUKM sesi lalu. Cuba kita tanya pelajar Tiong Hua dan India, apakah kebajikan besar yang telah mereka perolehi dari GMUKM sesi lalu. Tiada! dan ini juga tidak pernah diceritakan pada para pelajar yang cintakan kesaksamaan dan keharmonian antara kaum di UKM.


GMUKM juga sering menggunakan taktik mencari salah pihak pengurusan UKM. Mereka menggunakan taktik ini bagi menunjukkan bahawa mereka berani dan pelajar perlu menyokong mereka. Sikap berlembut pengurusan UKM digunakan oleh GMUKM untuk merosakkan reputasi para pentadbir dari pengurusan tertinggi, pengurusan HEPA dan kepengetuaan kolej. Tetapi pernahkah kita secara rasinol berfikir dan melihat sendiri bagaimana bersungguh sungguhnya pentadbir UKM termasuklah pengetua kolej kediaman menguruskan kebajikan pelajar masing masing. Tanyalah pula apa yang telah GMUKM atau PMUKM sesi lepas lakukan untuk memastikan kebajikan pelajar terjaga? Mereka lebih sibuk menjaga kumpulan mereka sahaja dan bukannya pelajar UKM secara keseluruhannya.


Saya melihat gerakan GMUKM hari ini semakin agresif dan menakutkan. Mereka mula mengancam keselamatan para pelajar. Beberapa hari lalu ada pengurusan kolej melaporkan yang pelajar di kolej mereka didatangi oleh kumpulan GMUKM pada jam 3 pagi mengetuk bilik pelajar dan mengedarkan risalah secara haram. Peraturan kolej sudah jelas orang luar tidak dibenarkan berada di kawasan kolej selepas jam 12 malam, tujuannya supaya keselamatan pelajar dapat dijamin dari gangguan orang luar lebih lebih lagi ketika semua pelajar sedang tidur. GMUKM tidak mengendahkan peraturan ini malah telah melanggar peraturan sewenang wenangnya...apabila tindakan diambil oleh pengurusan kolej, GMUKM akan berkata "kami dianiaya" sedangkan ada sebab untuk pengurusan kolej bertindak sedemikian.


Saya mempunyai prinsip yang jelas tentang politik kampus. Saya sokong dan menggalakan pelajar terlibat dalam aktiviti pilihanraya kerana ia akan meningkatkan daya kepimpinan dan daya fikir. Saya juga ingin supaya pelajar aktif sebagai pengundi. Saya menyokong kebebasan dan berpolitik secara matang. Tidak ada yang terasa diancam jika ingin menjadi calon dan sebagainya.Tetapi saya menolak sama sekali sebarang usaha yang ingin merosakkan demokrasi piliharaya di kampus UKM. GMUKM adalah pertubuhan haram dan salah di UKM. Kumpulan ini adalah gerakan 'bawah tanah' yang secara halus menarik simpati pelajar dengan menggunakan agama. 


ISIUKM dan urusetia ASPIRASI adalah badan yang sah dan mendapat kelulusan pengurusan UKM. Mereka boleh menjalankan aktiviti dan seharusnya disertai oleh para pelajar. Oleh itu pelajar khususnya pelajar baru harus sedar dan faham situasi ini. Di IZISH, jangan salahlah pihak pengurusan kolej jika tindakan tatatertib diambil pada pelajar jika mereka terlibat dengan aktiviti haram GMUKM yang tidak mendaftar dengan pihak pengurusan UKM. Lebih lebih lagi bilan GMUKM melakukan sesuatu yang melanggar peraturan kolej.


Malah dengan sikap GMUKM yang suka memberikan ancaman pada orang yang tidak mahu bersama mereka, suka menghasut supaya pelajar bersikap jumud, saya yakin mereka yang bersimpati dengan GMUKM tidak sesuai untuk terus tinggal di Kolej Ibu Zain.

13 September, 2012

Antara Politik Kotor, Politik Sempit dan Politik Matang

Kononnya tarikh PRK UKM semakin dekat. Tarikhnya jika dirujuk dalam suratkhabar arus perdana adalah antara 20 Sept hingga 25 Sept 2012. Walaupun belum diumumkan secara rasmi 'demam'nya semakin terasa di kampus induk UKM. Kewujudan media online menambahkan lagi kemeriahan acara tahunan ini. Atas nama mendidik anak anak muda tentang erti demokrasi, hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara, PRK UKM diadakan pada setiap tahun. Atas nama melahirkan pelapis pemimpin untuk kesinambungan kemajuan negara, PRK UKM tanpa gagal dilaksanakan. Walaupun pelbagai peristiwa buruk dan negatif pernah berlaku di waktu yang lepas dalam minggu minggu PRK kerana gagal emosi dan gejala provokasi, atas nama pendidikan agar mahasiswa celik politik, PRK UKM tetap diadakan. UKM percaya kesan baiknya jauh lebih besar berbanding kesan kesan negatifnya. Itulah prinsip yang dipegang oleh pihak pengurusan UKM bagi memastikan negara terus mempunyai pelapis menerajui negara Malaysia pada masa depan.

Maka itu, atas kebijaksanaan pertimbangan para pengundilah untuk memilih dan menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin mereka. Jika mereka secara majoriti memilih pemimpin yang bijak dan berkarisma maka keberuntungan itu balik kepada para pengundi. Jika majoriti pelajar memilih di kalangan pimpinan yang lemah, taksub, jumud dan tidak bijak maka kerugian itu juga akan terpulang kepada para pengundi.

Saya ingin kongsi beberapa perkara yang saya simpulkan sebagai politik kotor, politik sempit dan politik matang, dan tentunya dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami oelh semua. Walaupun banyak kajian di negara ini dan di luar negara yang membincangkan hal hal ini, saya lebih suka menggunakan apa yang berlaku dalam politik pelajar UKM sebagai rujukan perbincangan.

Politik kotor bermaksud tidak mengamalkan prinsip prinsip murni peradapan dan kebudayaan manusia di dalam berpolitik (Kymlicka.2002). Sekitar tahun tahun 1980 sehinggalah sepanjang dekad pertama abad 21, budaya politik kotor kuat mencengkam cara ahli politik meraih undi di negara ini.

Penggunaan perkataan kotor berbaur lucah, pembohongan yang ketara, memaki hamun tanpa alasan yang kukuh, penggunaan ayat suci al Quran secara sewenang-wenangnya untuk disesuaikan dengan tujuan kotor berkempen, menabur fitnah, memprovokasi dengan tujuan menaikkan amarah pada lawan politik. Ini beberapa contoh yang dikatakan sebagai budaya politik kotor.

Cuba kita lihat sejarah seorang ahli politik dalam sebuah parti yang menggunakan ideologi Islamisme di dalam perjuangannya. Dulu beliau berjaya mengumpulkan puluhan ribu untuk datang mendengar ceramah politiknya. Ceramahnya penuh dengan maki hamun, nista penggunaan bahasa yang kasar dan berbaur lucah. Ceramahnya sangat digemari orang ramai ketika itu hatta para JKKK yang kononnya menentang perjuangannya pun ada yang datang untuk mendengar ceramahnya.

Itu dulu, selepas 2008, masyarakat semakin muak dan benci dengan ceramah ceramah sebegini. ahli politik tersebut juga sudah tidak lagi mengamalkan ceramah sedemikian rupa kerana beliau juga tahu citarasa masyarakat sudah berubah dan bencikan ceramah sedemikian.

Malah kajian akademik menunjukkan pengundi terutamanya wanita menolak pemimpin politik yang suka menggunakan pentas ceramah untuk berpolitik secara sembrorono dengan maki hamun. Malah hari ini di kalangan anak anak muda, mereka juga menolak dan sangat benci pada ahli politik yang berceramah politik tanpa isi yang kuat dan logik. Walaupun anak muda masih mendengar ceramah 'murahan' sebegini tetapi mereka sudah  tidak ada rasa hormat pada pemimpin sebegini.

Kita ingin sekali supaya politik kotor dibuang jauh jauh dari arus perdana politik negara. Biar siapapun pemimpin politik samada dari UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, melakukan dan mengamalkan politik kotor adalah sesuatu yang tidak beradab dan harus dihapuskan terus budaya ini.

Dalam kampus juga harus sama. Jika ada mana mana calon PRK UKM nanti yang menggunakan amalan politik kotor, menggunakan perkataan yang kotor, mengaibkan, menfitnah (tuduhan tanpa bukti), menghasut emosi pelajar lain, menanamkan rasa benci dan seumpamanya, para pengundi harus menolak dengan tidak memberikan undi mereka pada calon calon sebegini.

Pengamalan politik kotor secara jelas menunjukkan betapa hina dan rendahnya sahsiah, pemikiran dan kesantunan seseorang calon PRK. Jika ada yang masih memberikan undi mereka pada calon sebegini, selayaknya mereka juga berada dalam kelompok rendah moral yang sama dengan calon tersebut.

Kategori kedua ialah amalan politik sempit (Andrea.2000). Berbeza dengan politik kotor, politik sempit mungkin tidak menggunakan bahasa yang kasar, kotor dan lucah dalam berkempen. Mereka juga tidak mengamalkan politik yang mengaibkan orang lain. Politik sempit bermaksud "hanya kami sahaja yang tahu", 'hanya kami sahaja yang betul' dan 'hanya kami sahaja yang sangat benar'.

"Orang lain yang berbeza pandangan dengan kami adalah salah, jahil dan harus ditentang". Amalan politik ini masih ada dan kuat dalam budaya politik kampus. Jika mereka memegang kuasa di PUSANIKA, mereka hanya bersama dengan kumpulan mereka sahaja kerana mencampuri dengan orang yang bukan dalam satu semangat yang sama dengan mereka adalah sesuatu yang salah.

Pimpinan juga tidak mahu ahli bawahanya terlalu banyak bersoal dengan cara dan keputusan yang telah mereka putuskan. Ini selalu dikatakan sebagai tidak bersifat istiqamah dalam perjuangan. Mereka menolak sepenuhnya pandangan orang lain termasuklan pandangan pihak  pengurusan UKM yang sentiasa berusaha untuk berbaik baik dengan mereka demi kebajikan pelajar UKM seluruhnya.

Kita ingin bangunkan politik matang (Kymlica:2002) di kampus UKM. Politik yang terbuka, menerima pandangan orang lain dan menghormati perbezaan pandangan. Menjadikan usaha menjaga nama baik UKM, memelihara falsafah UKM dan kebajikan mahasiswa sebagai asas untuk berpolitik dan menjadikan pengurusan UKM sebagai rakan kongsi mereka di dalam memeberikan perkhidmatan terbaik pada pelajar.

Seterusnya bersama sama menjadikan UKM universiti yang ternama di dalam dan luar negara. Mungkin ada keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan UKM yang pada mereka tidak sesuai, maka mereka boleh memberikan pandangan dan mencadangkan pilihan atau alternatif yang baru.

Inilah politik matang. Bila dibangunkan manifesto, mereka bukan hanya berjanji akan buat itu dan ini, tetapi secara objektif dan sistematik menjelaskan bagaimana proses untuk menunaikan janji manifesto akan dilaksanakan.

Pada masa yang sama mereka tidak memburukkan manifesto lawan politik sebaliknya menghormati para pengundi untuk berfikir dan membuat pilihan. Sebagai contoh, jika mereka berjanji perjuangan mereka adalah perjuangan berlandaskan Islam, maka secara objektif dan terang dijelaskan bagaimanakah Islam itu akan dimurnikan dalam kehidupan masyarakat pelajar kampus, tanpa perlu menuduhkan orang lain tidak Islam, hanya kami sahaja yang Islam.

Jika mereka ingin memperjuangkan supaya pelajar mempunyai jatidiri kebangsaan maka secara jelas mereka menjelaskan bagaimana proses tersebut ingin dilaksanakan. Sebagai contoh mudah, apabila IZISH ingin jadikan kolej tersebut mesra alam maka dibangunkan agenda kelestarian kolej. Dibangunkan pelan strategik kolej untuk membina agenda kelestarian.

Di didik dan dipupuk budaya menghargai dan memelihara alam. Dilakukan secara bersungguh sungguh dalam masa yang lama tanpa perlu berkata "hanya kami yang sayang alam, orang lain semua tidak sayangkan alam"

Maka pengundi berhak menyoal para calon PRK UKM  nanti apakah janji mereka jika menang PRK UKM dan yang lebih penting tanyalah bagaimana manifesto tersebut hendak dijayakan. Jika jawapan yang diberikan tidak menyakinkan, itu tandanya mereka tidak bersedia untuk tunaikan janji mereka. Jangan percaya sekadar berjanji dalam manisfesto kerana bila bila menang tidak pula berupaya mejayakan janji tersebut. Satu kerugian besar pada para pengundi PRK UKM.

Sumber
Kymlicka W. (2002), Contemporary Political Philosophy. 2nd Oxford University Press.
Brown A (1986), Modern Political Philosophy: Theories of Just Theory. Penguin Press. London




11 September, 2012

ASPIRASI-UKM Milik Semua Mahasiswa UKM

Saya masih ingat dengan jelas pada pertengahan tahun 2002, jabatan HEPA UKM yang dipimpin oleh TNC Prof Dato Salleh Mohd Yassin (sekarang Tan Sri) telah merasmikan urusetia Aspirasi UKM di pusanika.

Matlamat penubuhan Aspirasi UKM kukuh dan mendalam maknanya. Urusetia ini memikul amanah untuk memastikan semua pelajar merasa sayang dan cinta kepada UKM. Tidak ada batasan kaum, agama, bahasa atau maksud politik di dalam menubuhkan urusetia ASPIRASI ketika itu. Saya dapat melihat wakil wakil pelajar dari pelbagai fakulti ada di dalam urusetia ASPIRASI. Dari pelajar di fakulti Undang Undang di hujung kampus induk UKM sehinggalah ke Fakulti Pengajian Islam di hujung sebelah lagi.

Semua AJK ASPIRASI ketika itu merasakan inilah satu satunya persatuan yang boleh menjadi wadah dalam memartabatkan usaha meningkatkan kesayangan semua pelajar pada UKM tanpa mengira latarbelakang politik mereka. Saya sendiri sempat hadir beberapa program urusetia ASPIRASI bertemakan Islam dan Ummah bersama TNC HEPA yang dianjurkan oleh pelajar di Fakulti Pengajian Islam pada tahun 2003 dan juga hadir dalam beberapa program Aspirasi yang dianjurkan oleh wakil pelajar Tiong Hua.

Walaupun di UKM ada pelbagai kelab, persatuan dan JAKSA, masing masing punyai matlamat serta program yang tersendiri. Walaupun semuanya adalah pelajar UKM dan program di semua organisasi ini juga untuk UKM, kewujudan urusetia ASPIRASI lebih istimewa kerana wadahnya bertunjangkan falsafah Universiti dan menyokong kecemerlangan UKM.

Maka itu lagu ILMU, MUTU dan BUDI dijadikan lagu rasmi untuk dinyanyikan setiap kali diadakan perhimpunan atau program urusetia ASPIRASI. Visi urusetia ialah memartabatkan UKM yang berasaskan falsafah gabungan  iman, ilmu dan amal yang menjadi teras dalam falsafah UKM.

Seingat saya berbagai program dianjurkan oleh urusetia ini. Ada satu ketika, urusetia ASPIRASI mengedarkan riben kecil berwarna biru pada semua pelajar untuk disematkan di baju di dalam kempen "KAMI SAYANG UKM" yang dianjurkan selama seminggu di Pusanika.

Urusetia ini banyak menganjurkan program yang berusaha membentuk pelajar memahami sejarah penubuhan UKM, perjuangan membina UKM yang berindentitikan kebangsaan dan sejarah pemimpin awal UKM sejak dari tercetus idea menubuhkan sebuah universiti berbahasa pengantar bahasa Melayu pada tahun 1917 lagi.

Urusetia ini juga banyak menganjurkan aktiviti membina kefahaman kenegaraan seperti perbincangan tentang perlembagaan negara, kontrak sosial, politik semasa dan perjuangan Islam dalam masyarakat hari ini. Dengan menggunakan warna biru UKM sebagai warna rasmi urusetia, beberapa program di luar kampus juga berjaya dianjurkan atau disertai khususnya yang bersifat khidmat masyarakat. Banjir besar di Johor juga disertai oleh urusetia Aspirasi ketika itu. Masih saya ingat saya dan pegawai HEPA UKM bersama pasukan Palapes UKM merupakan pasukan pertama mahasiswa IPTA yang bergerak ke Pagoh dan Panchor dan kemudiannya di susuli oleh berbagai persatuan UKM lain termasuklah urusetia ASPIRASI.

Bagaimanapun keadaan mula berubah apabila beberapa pimpinan ASPIRASI ketika itu mengambil keputusan untuk bertanding kerana mereka dilihat mempunyai kewibawaan yang tinggi untuk memimpin pelajar UKM, maka bermulalah episod ASPIRASI mula berpolitik dalam PRK-UKM. Sebelumnya hanya kumpulan TSB dan MAMPU (sekarang telah ditukar nama kepada GMUKM) berlawan politik di kampus UKM.

Mulai 2003, calon calon urusetia ASPIRASI telah secara individu menawarkan diri sebagai calon. Oleh kerana prestasi yang baik serta falsafah perjuangan calon urusetia aspirasi yang berteraskan UKM, calon calon urusetia ASPIRASI telah berjaya menawan hari pelajar UKM. Mereka berjaya menguasai PMUKM dengan mengalahkan MAMPU yang tidak bersedia berkerjasama dengan kalangan pelajar bukan Islam ketika itu.

Kisah ini sudah sepuluh tahun berlalu. Telah banyak yang berubah pada hari ini. Urusetia ASPIRASI juga sudah menjadi wadah politik sepenuhnya. Hari ini tiada lagi mana mana badan pelajar yang bersedia menjadi barisan hadapan dalam menganjurkan program yang secara langsung bertujuan membina rasa sayang, bangga serta  bersyukur kerana berpeluang menjadi warga dan alumni UKM. malah lebi sedih bila ada persatuan pelajar yang sanggup memburukan nama UKM demi mengiakan arahan 'dalang dalang' politik mereka di luar kampus.

ASPIRASI harus kembali menjadi satu urusetia pelajar yang mengangkat martabat UKM. Mereka harus menjadi penyokong kuat segala usaha pengurusan UKM untuk meningkatkan citra UKM di dalam dan luar negara. Mereka juga harus menjadi 'orang kuat' yang akan berhadapan dengan sesiapa sahaja yang cuba memburukkan nama UKM. Mereka harus kembali membawa wadah dan matlamat utama penubuhan urusetia ASPIRASI UKM.

Saya merindui aspirasi yang dulu...semangat aspirasi yang mengatasi kepolitikan sempit dan mengutamakan citra UKM. Rindu ketika mana pelajar tahu membezakan antara kewajiban menjaga nama baik UKM dengan permainan dalam agenda pilihanraya kampus. Rindu ketika mana kepimpinan pelajar samada dari TSB atau MAMPU-GMUKM tidak akan sesekali membenarkan nama UKM dicemar oleh sesiapa juga hatta di kalangan ahli politik luar kampus.

Saya mendoakan akan ada pelajar yang berazam dan  akan bersedia membawa wadah memartabatkan UKM demi masa depan dan kecemerlangan universiti yang kita cintai ini...tanpa mengira samada mereka penyokong tegar TSB atau GMUKM...




07 September, 2012

Murnikah Politik Kampus UKM?


Kisah memijak dan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas gambar YAB Perdana Menteri telah mula masuk episod baru. Pelakunya telah ditahan atas perbuatan mereka. Kita sebagai manusia yang waras dan diberikan didikan agama pasti mengeleng kepala melihat perlakuan sesetengah warga negara seperti ini. Malah kelakuan tidak senonoh mereka juga menerima tempelak dari 'musuh politik' YAB DS Mohd Najib terutama YAB Dato' Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Kedua pemimpin ini bersetuju bahawa apabila mereka berpolitik,  mestilah politik itu  diasaskan kepada prinsip murni dan tidak merosakkan nama baik orang lain.

Kita juga diajarkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW tentang aturan dan prinsip berpolitik. Malah baginda juga telah mengariskan penting umat Islam mempunyai prinsip hatta ketika berperang dengan musuh Islam. Walaupun dalam peperangan, Islam tetap menekan soal prinsip dan menghormati musuh. Maka itulah sebabnya Islam menjadi agama yang berkembang dengan begitu cemerlang. Nabi mengajarkan pada kita bahawa Islam adalah agama yang suci dan sebagai cara hidup dan Islam itu bukan satu ideologi. Islam dan Islamisme adalah dua benda yang sangat berbeza. Yang pertama bersifat syumul dan yang kedua bersifat 'political order'.

Saya ingin membawa situasi ini dalam perlakuan kepolitikan mahasiswa di UKM. Semakin hari seolah olah semakin jelas bilakah tarikh piliharaya kampus UKM akan dilaksanakan pada sesi ini. Maka itu jagoan muda politik pelajar mula muncul di facebook, blog dan berlatih untuk bergaya untuk bergambar semasa menyerahkan memorandum pada pihak berkuasa universiti.

Apa yang pasti isikandungan memorandum itu tidaklah penting sangat, sekadar isu 'perang dectar' yang akan tamat sepenuhnya esok malam, tetapi jagoan muda politik kampus telah mendapat 'milieage politic' bila berpeluang bergambar bersama pihak pengurusan UKM. Itu yang ingin mereka mahukan, publisiti percuma sebagai calon pilihanraya UKM nanti. Apa pun, usaha itu telah menunjukan mereka sedang berusaha dan tindakan itu adalah sesuatu yang tidak menjadi kesalahan dalam berpolitik di kampus. Mereka bijak mencuri peluang untuk mendapat perhatain pelajar.

Sepatutnya lebih banyak memorandum diutuskan, misalnya (sebagai satu contoh) pemimpin pelajar menghantar memorandum untuk mengesa supaya diadakan siasatan mengapa pesta konvokesyen sesi lalu gagal dilaksanakan dengan baik dan siapakah yang bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut. Itu juga bukan satu kesalahan, tak kisah juga samada siasatan akan dijalankan atau tidak tetapi sekurang kurangnya penghantar memorandum tersebut berpeluang mempromosikan wajahnya sebagai bakal calon PRK sesi ini.

Berbalik isu prinsip berpolitik di kampus, kita mungkin kecewa kerana mahasiswa UKM yang ingin berpolitik telah menggunakan sepenuhnya kerangka berpolitik seperti di luar kampus. Kita sedih melihat kepolitikan luar kampus yang sudah hilang prinsip prinsip murni berpolitik. Penggunaan perkataan yang tidak senonoh, serangan yang membawa kepada pergaduhan, kata mengata, fitnah yang tidak berkesudahan, surat layang dan email layang yang mengaibkan musuh politik begitu berleluasa sekali diluar sana

Politik kampus UKM nampaknya turut mengambil kerangka ini. Maka kita dengan rasa sedih melihat sesama pelajar kata mengata, fitnah menfitnah, memburukan peribadi antara satu sama lain dan sebagainya. Facebook menjadi medan menabur fitnah dan mengaibkan orang lain.

Maka itu kepolitikan mahasiswa UKM harus kembali kepada prinsip prinsip murni dalam berpolitik dalam kampus. Utamakan idea, hujah dan fakta. Bukannya emosi, pembohongan, fitnah serta mengapi-apikan perasaan para pelajar UKM semata mata untuk mendapatkan undi. Elakan mengaibkan orang lain apatah lagi merosakkan nama baik orang lain.

Saya tidak pasti bilakah ini akan berjaya dilaksanakan. melihat senario politik luar kampus, sepertinya tidak akan berjaya dilaksanakan. Kita akan terus berharap dan berdoa....sekurang kurangnya bsaya melihat politik kampus UKM hari ini masih belum murni lagi... tidak sepenuhnya...






05 September, 2012

ISIUKM vs PMIUPM: Adakah ‘CHEERS’ perlu dibantah?

Berikut adalah pandangan rasmi Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) http://pmiupm.net/index.php/2011/08/26/sudut-pandang-pmiupm-adakah-cheer-perlu-dibantah/

Sudut Pandang PMIUPM: Adakah ‘CHEERS’ perlu dibantah?

August 26, 2011 in ARTIKELKepimpinan
Mengikut budaya dan kebiasaan, pada musim orientasi pelajar baru di mana-mana kampus akan adanya sorakan/cheersbagi mewakili kolej kediaman masing-masing. Suasana kelihatan meriah dengan sorakan yang berbalas. Bagaimanakah kedudukan cheers ini sebenarnya? Adakah ia dibolehkan atau perlu ditolak?
Ayuh kita kupas sejauh mana sesuatu perkara seperti ini perlu dibahaskan. Secara kasar budaya cheers tidak salah dan tidak perlu dibantah. Cheers atau sorakan/ teriakan ini juga berlaku di dalam perang sebenarnya. Sebelum bermula sesuatu perlawanan antara pihang musuh, tentera-tentera muslimin akan melaungkan sorakkan dengan kobaran semangat jihad. Paluan gendang dan semboyan jihad dimainkan. Teriakan dan laungan takbir bergema. Manakala, di pihak musuh kadang-kala semboyan perang dimainkan dengan kerincing loceng seperti tentera Kristian. Melihat kepada matlamat teriakan dan sorakan ketika perang itu adalah untuk menaikkan semangat jihad para pahlawan. Tiada unsur lagho, jatuh menjatuhkan sesama lain dan tiada pergaulan bebas.
Berbalik kepada isu budaya cheers ketika Minggu Perkasa Putra atau minggu orientasi bagi pelajar baru, Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) mempunyai pandangan bahawa ia tidak perlu dibantah atau dimusnahkan terus budaya ini, cumanya ia perlu dimurnikan semula. Memang diakui bahawa tujuan cheers dibuat ketika Minggu Perkasa Putra adalah untuk mewujudkan semangat ‘kekolejan’ dan memperkenalkan identiti kolej masing-masing. Jadinya bagaimana cara pemurniaan yang perlu diambil?
Pertamanya kepada badan yang bertindak dan pihak pengurusan Minggu Perkasa Putra perlu perbetulkan semula tujuan atau matlamatcheers dan sorakan. Boleh sahaja matlamatnya adalah untuk menanamsemangat atau motivasi kepada pelajar tentang nilai-nilai ilmu dan semangat menuntut ilmu di kampus. Sambil diterapkan bahawa nilai mencari ilmu itu adalah salah satu jihad dan bukannya setelah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading bermakna satu kejayaan. Isu keilmuan adalah isu universal. Ia tidak menyentuh kepada perkauman mahupun keagamaan. Lagipula, kita faham ketika Minggu Perkasa Putra ada sahabat non muslim. Jadinya tidak sesuailah untuk dibawa pendekatan cheer untuk melaungkan berunsur keagamaan.
Mengenai isu pergaulan bebas, sepanjang pemerhatian ianya masih terkawal, kerana tempat duduk lelaki dan perempuan masih diasingkan, tetapi yang mengecewakannya ialah apabila ada Latihan Dalam Kumpulan (LDK), mahasiswa mahupun mahasiswi dengan senang lenangnya bertepuk tampar sesama mereka, bukan setakat mereka yang baru mendaftar. Malahan, pembantu universiti sendiri yang sudah lama jadi senior di kampus turut serta bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan tanpa segan silu. Bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim adalah HARAM hukumnya.
Daripada Ma’qil B. Yasar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bermaksud:
Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu. (Hadis Riwayat ath-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 20/211-212, no. 486 & 487)
Ada sesetengah pihak melihat cheers ini seperti budaya yang tidak elok kerana terjerit-jerit dengan semangat asobiyah/kekitaan kolej. Melihat kepada akhlak yang sebegitu sebagai seorang muslim memang sangat mengecewakan. Oleh itu, pihak universiti sebagai badan intelek dan pusat ilmu sewajarnya membimbing mahasiswa kearah keintektualan dan bermoral. Jadinya, PMI mencadangkan kepada pihak universiti supaya memurnikan semula isi kandungan cheers dan melakukan sedikit penambahbaikkan bentuk pembawaan cheerssupaya tidak terjadi kelakuan-kelakuan yang tidak senonoh sebagai mahasiswa.
Walaubagaimanapun, diakui ianya agak sukar sebagai permulaan dan ada setengah pihak mengangap ianya agak mustahil untuk dibuat pemurniaan. Oleh kerana  itu, adanya cadangan untuk membantah budaya cheers. PMI melihat isu ranting seperti ini cuma perlu  diperbetulkan kerana hanya golongan-golongan intelek serta pihak yang berkuasa sahaja mampu membetulkan budaya yang salah supaya menjadi ikutan warga diluar sana. Jikalau semua perkara harus yang lagho/lalai dibantah, ia menunjukkan tiada usaha untuk membetulkan keadaan sedangkan Islam itu indah dan universal. Malahan dalam Islam itu sendiri ada muzik dan hiburan, tetapi ada batasannya agar kemurnian dan keindahan hidup dapat dijaga.
Secara tuntasnya, PMI menggesa pihak berwajib universiti  untuk mengambil tindakan dan membimbing para mahasiswa. Tidak semua perkara perlu dibantah kalau kita tidak cuba berusaha memperelokkanya terlebih dahulu. Islam adalah cara hidup maka mengapa tidak dalam cheer ada Islamnya. Maka, marilah sama-sama kita ikir-fikirkan. - PMIUPM

PMIUPM ”Your Excellent Partner”

Facebook Comments

0 comments