Satu topik yang panas dibincangkan di hari raya ialah persoalan bilakah piliharaya umum akan berlangsung. Tahun ini atau tahun depan? sebelum atau selepas bulan haji? Soalan lain tentunya parti mana pilihan kita? UMNO, PAS, PKR atau DAP?
Bila bertandang di rumah kenalan yang lebih tua, pandangan kita tentunya sentiasa ditagih. Agaknya parti mana lebih kuat sekarang? Isu paling panas? Siapa pula akan merana? Siapa pula akan bersukaria menyambut kemenangan? Sebab itu sejak dahulu saya pasti tanpa gagal akan 'update' maklumat saya tentang perkembangan politik tanah air sebelum pulang ke kampung...
Setelah berbual dengan beberapa saudara dan kenalan, saya baru tersedar kali ini saya ambil posisi yang agak berbeza bila berbual tentang politik negara. Bukan lagi soal parti mana yang akan menang atau kalah? Atau ahli politik mana yang pasti menang atau kecundang? kali ini tanpa saya sedar saya banyak bercakap soal sikap, pengetahuan serta keupayaan pengundi pengundi semasa piliharaya.
Secara mudah saya mula melihat perkembangan politik tanah air memerlukan para pengundi yang lebih bijak dan berfikir. Saya tak katakan pengundi sekarang tidak bijak atau tidak berfikir tetapi tahap kebijakan harus ditingkatkan berkali ganda lagi berbanding dulu.
Perlunya kebijaksanaan dan budaya untuk berfikir dengan maklumat yang pelbagai akan mengurangkan ketaksuban tanpa sempadan. Memang kita sekarang banyak maklumat dari internet, surat khabar dan sebagainya tetapi apa yang diperlukan sekarang ialah keupayaan untuk meneliti, berfikir dan memahami maklumat yang dipaparkan oleh mana mana media.
Kita pasti menjadi seorang yang 'dungu' bila mula berfikir bahawa semua maklumat dari satu sumber sahaja sudah memadai untuk kita menjadi bijaksana. Lebih 'dungu dan bebal' lagi bila kita menolak maklumat dari semua sumber lain tanpa meneliti terlebih dahulu.
Politik 'dungu' ini akan menjadikan masyarakat kita tidak lagi faham makna demokrasi, freedom dan hak haknya sebagai seorang warganegara. Akhirnya ada rakyat yang akan taksub dengan sesuatu parti tanpa usul periksa, membenarkan apa sahaja yang dilakukan walaupun mereka tahu apa yang dilakukan adalah sesuatu yang buruk dan dihentikan. Sebagai contoh, semua orang tahu hiburan yang keterlaluan adalah sesuatu yang buruk dan tidak membawa kepada sebarang kebaikan, tetapi jika ia adalah sesuatu yang telah dibenarkan oleh pemimpin, ketaksuban pada pemimpin akan menutup kebijaksaaan dan rasional dalam diri seseorang. Begitu juga bila mencari kekayaan hidup dianggap sesuatu yang buruk oleh pimpinan parti tanpa sebab yang kukuh, ketaksuban pasti akan mengagalkan kehidupan duniawi para pengikutnya. Malah lebih malang bila ada parti yang menghalalkan pepecahan sesama Islam sebaliknya bersatu dengan pihak yang secara jelas menentang cara hidup Islam, maka amat sedih kerana ketaksuban kepada parti sebegini menutup pintu hati kita.
Maka itu, kita sebagai rakyat yang menjadi pemutus parti mana yang patut diberikan kuasa perlukan idea dan kebijaksana yang baru dalam melakukan pengundian. Malangnya di negara ini kita kekeringan kepimpinan yang boleh berdiri di tengah tengah untuk menyatukan ummah Melayu Islam. Kita masih tiada kepimpinan yang dapat melihat Islam lebih tinggi dari politik kepartian yang sempit. Politik 'menang jadi arang, kalah jadi abu' tidak akan menguntungkan masyarakat Islam di negara ini, walau sekuat manapun mereka berjuang dan berperang menjatuh 'lawan politik seagama' dengan mereka.
Seperti selalu, kita semua akan teruslah berdoa agar Allah izinkan perpaduan dan persaudaraan seagama akan menjadi kenyataan. Selain itu, tidak banyak yang dapat kita lakukan..lebih lebih lagi di saat piliharaya semakin hampir....