31 August, 2012

Wujudkah "Political Literacy" di kalangan Mahasiswa UKM?

Saya berpeluang menjadi moderator dalam forum kemerdekaan malam semalam di DECTAR UKM. Ahli panel forum ialah Prof Ulung Datuk Shamsul Amri dan Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said. Satu pengalaman yang berharga bila berpeluang bersama dua tokoh negara.

Salah satu isu yang menarik telah disentuh oleh Prof Ulung Dr Shamsul ialah tentang 'political literacy' atau celik politik yang semakin berkembang dalam masyarakat negara ini. Tidak seperti waktu dulu yang mana masyarakat melihat politik sekadar aktiviti membuang undi lima tahun sekali dan usaha menjadi ahli mana mana parti politik. Mereka ketika itu tidak ada upaya untuk membicarakan soal kepolitikan negara secara kontrusktif.

Itu dulu, sekarang semua mula berubah. Hari ini sudah kelihatan tak kira masyarakat bandar atau desa mula berupaya menilai, mengkritik serta menyatakan pandangan mereka tentang perancangan, perlakuan serta idea yang diberikan oleh mana mana parti politik atau ahli politik; dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dulu, pemikiran mengkritik akan dikatakan sebagai pemikiran untuk menentang dan menolak. Hari ini budaya mengkritik sudah mula diterima sebagai sebahagian daripada isyarat bahawa rakyat ingin bersama sama dalam kepolitikan. Misalnya bila seseorang memberikan teguran atau kritikan itu tidak bermakna ia menolak dan tidak mengundi parti tersebut, tetapi kerana beliau ingin terlibat dalam kepolitikan parti tersebut. Hari ini, seseorang yang mengkritik parti UMNO, PAS atau PKR atau apa juga parti tidaklah boleh dikatakan menentang parti yang dikritik secara total sebaliknya ini satu dimensi baru kepada budaya celik politik.

Di UKM, adakah hal seperti ini sedang berlaku? Saya kira tidak berlaku, atau lebih tepat masih belum berlaku. Mengapa? tentunya kerana budaya untuk mengalakkan mahasiswa celik politik masih belum dilakukan. Mereka masih tidak menunjukan sikap ingin turut serta dalam kepolitikan tanah air. Pada saya tahap celik politik mahasiswa masih rendah. Tetapi tidak semuanya!

Tentu ada yang tidak bersetuju dengan saya. Apakah dengan sebegitu banyak program politik yang disertai mahasiswa, sebegitu banyak demonstrasi jalanan, begitu banyak piliharaya kampus di jalankan masih belum membuktikan mahasiswa cukup celik politiknya?

Saya ini katakan, fahami dahulu antara celik politik, buta politik dan kuda tunggangan politik. Secara ringkas celik politik boleh membawa maksud faham dan jelas tentang sejarah perkembangan politik tanah air, sedar dan tahu tentang undang undang khususnya perlembagaan negara, jelas dan tahu tentang dasar serta perjuangan setiap parti politik, faham akan halatuju, matlamat serta aspirasi masyarakat untuk masa depan dan kemudiananya berupaya meletakkan pilihan masing masing ditempat yang sesuai. Menjadi kuda tunggangan politik tentunya lebih seronok dan mudah untuk mahasiswa. Mereka tidak perlu tahu semua apa yang telah saya sebutkan di atas, tiada sejarah, tiada pelembagaan dan sebagainya. Cukup sekadar hadir beberapa program parti politik, dibenamkan dengan semangat perjuangan dan kembali ke kampus sebagai 'jentera' yang kononya mereka sanggup mati untuk parti politik yang dicintai.

Mahasiswa tidak berani untuk menyatakan pandangan sendiri apatah lagi jika pandangan tersebut mungkin berbeza dengan pandangan parti politik pujaan mereka. Mereka menjadi buta politik walaupun sangat aktif sebagai 'jentera'. Mereka menunggu untuk disogokkan dengan maklumat dan kata kata semangat dari parti yang mereka sokong sahaja tanpa ingin pun menyelidik, meneliti dan memikirkan apakah kebaikan dan keburukan tindakan mereka. Dan lebih sedih lagi bila mereka mula melihat ketaksuban mereka memberikan sokongan akan membuka peluang untuk mereka diberikan tempat atau 'jawatan kecil' dalam parti politik di luar sana.

Sudah sampai masanya mahasiswa berdiri sendiri sebagai satu kumpulan intelektual di negara ini. Mereka harus mempunyai idealisme dan prinsip perjuangan yang kukuh dan jelas. Dasar idealisme mahasiswa seharusnya meletakkan iman, ilmu, amal sebagai dasar perjuangan mahasiswa. Mempunyai keupayaan untuk memberikan pandangan secara konstruktif kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Tentunya tidak semua apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu buruk dan tidak semua apa yang dilakukan oleh parti pembangkang itu semuanya baik. Mahasiswa seharus berupaya menelitinya secara bijaksana dan rasional. Apakah ini sedang berlaku? Apakah setelah begitu luas keterbukaan pihak kerajaan di dalam menerima pandangan mahasiswa, mereka telah gunakan sebaiknya? Saya fikir masih banyak ruang yang belum diterokai oleh mahasiswa pada hari ini.

Maka itu pimpinan mahasiswa harus lebih membina budaya celik politik dalam kampus agar mahasiswa yang keluar dari UKM mempunyai kesedaran tentang pentingnya kertelibatan mereka dalam kepolitikan negara. Jika tidak, tidak ada bezanya mahasiswa yang bertahun tahun belajar di menara gading dengan orang lain!



27 August, 2012

Krisis Kecairan Idealisme Mahasiswa: Antara 'Celik Politik' dan 'Celik Parti' di IPT

Pindaan seksyen 15 AUKU 2012 secara langsung telah membenarkan pelajar di semua IPT negara ini berpolitik. Walaupun secara jelas pindaan ini masih tidak membenarkan parti politik masuk kampus, pelajar dibenarkan untuk berpartisipasi dalam politik di luar kampus. Mungkin nampak mudah di atas kertas untuk memahami fenomena ini tetapi di alam nyata adalah sangat sukar untuk membina sempadan apa yang dimaksudkan "pelajar boleh aktif berpolitik di luar kampus tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan parti politik masuk ke dalam kampus". Kiasannya "seorang anak boleh menghisap rokok di luar rumah tetapi tidak boleh bawa rokok masuk ke rumah". Bukankah kesannya sama sahaja? Sekadar cukup kalau ibubapa tidak nampak perlakuan merokok anak anak, itu dianggap memadai?

Sejak dulu saya setuju AUKU di pinda. Malah itulah perjuangan mahasiswa pro kerajaan dan pro pembangkang sejak era 1970an lagi. Janganlah kita lupa sejarah ini seolahnya perjuangan ini hanya dimulakan oleh mahasiawa era 2000 semata mata.

Tetapi saya tak sepenuhnya bersetuju AUKU dipinda sehingga membawa kepada wujudnya budaya politik luar kampus menjangkiti politik dalam kampus. Pada saya, pindaan AUKU seperti tidak menyokong semangat sebuah universiti sebagai pusat ilmu dan pusat mendidik warganya. AUKU 2012 menyebabkan IPT sebagai institusi 'pendidikan politik' hilang peranannya.

Oleh itu pindaan  AUKU harus dalam bentuk mengangkat maksud universiti sebagai sebuah pusat pendidikan yang terhormat. Pindaan itu bukan sekadar untuk mencelikkan mahasiswa kepada mengenali parti politik tetapi yang lebih besar maksudnya ialah pindaan AUKU 2012 seharusnya mencelikkan mahasiswa tentang konsep ideologi politik, demokrasi, tanggungjawab, hak dan keamanan (social cohesion) atau ummah. Ini lebih besar dari sekadar masuk aktif dalam politik luar kampus. Apabila mahasiawa celik politik (bukan sekadar celik tentang parti politik), mereka akan mempunyai perspektif sendiri kepada apa juga isu dan dasar yang dilaungkan oleh pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Mereka akan berdiri atas dasar dan prinsip yang jelas iaitu pemeliharaan hak, tanggungjawab, demokrasi dan keamanan ummah.

Kini pindaan AUKU akan membenarkan apa yang dulunya dilakukan secara bersembunyi, dilakukan secar terbuka. Hari ini semua parti politik sedang berlumba lumba membuka 'cawangan' di dalam kampus. Sebelum pindaan AUKU, hal ini juga telah berlaku tetapi secara 'senyap-senyap'.. Tujuannya menarik mahasiswa menjadi ahli parti mereka. Kesannya, mahasiswa mula hilang idealisme mereka tetapi akan menunggang idealisme parti parti politik di luar kampus. Ini satu krisis idealisme mahasiswa yang sangat menyedihkan. Mereka dalam jangka panjang akan hilang identiti perjuangan kemahasiswaan tetapi sekadar 'melukut di tepi gantang' dan menjadi pengikut mana mana parti politik sahaja.

Saya suka memanggil fenomena ini sebagai KRISIS KECAIRAN IDEALISME MAHASISWA dan bersedih dengan apa yang berlaku.

23 August, 2012

Politik Dungu Menjelang Piliharaya

Satu topik yang panas dibincangkan di hari raya ialah persoalan bilakah piliharaya umum akan berlangsung. Tahun ini atau tahun depan? sebelum atau selepas bulan haji? Soalan lain tentunya parti mana pilihan kita? UMNO, PAS, PKR atau DAP?

Bila bertandang di rumah kenalan yang lebih tua, pandangan kita tentunya sentiasa ditagih. Agaknya parti mana lebih kuat sekarang? Isu paling panas? Siapa pula akan merana? Siapa pula akan bersukaria menyambut kemenangan? Sebab itu sejak dahulu saya pasti tanpa gagal akan 'update' maklumat saya tentang perkembangan politik tanah air sebelum pulang ke kampung...

Setelah berbual dengan beberapa saudara dan kenalan, saya baru tersedar kali ini saya ambil posisi yang agak berbeza bila berbual tentang politik negara. Bukan lagi soal parti mana yang akan menang atau kalah? Atau ahli politik mana yang pasti menang atau kecundang? kali ini tanpa saya sedar saya banyak bercakap soal sikap, pengetahuan serta keupayaan pengundi pengundi semasa piliharaya.

Secara mudah saya mula melihat perkembangan politik tanah air memerlukan para pengundi yang lebih bijak dan berfikir. Saya tak katakan pengundi sekarang tidak bijak atau tidak berfikir tetapi tahap kebijakan harus ditingkatkan berkali ganda lagi berbanding dulu.

Perlunya kebijaksanaan dan budaya untuk berfikir dengan maklumat yang pelbagai akan mengurangkan ketaksuban tanpa sempadan. Memang kita sekarang banyak maklumat dari internet, surat khabar dan sebagainya tetapi apa yang diperlukan sekarang ialah keupayaan untuk meneliti, berfikir dan memahami maklumat yang dipaparkan oleh mana mana media.

Kita pasti menjadi seorang yang 'dungu' bila mula berfikir bahawa semua maklumat dari satu sumber sahaja sudah memadai untuk kita menjadi bijaksana. Lebih 'dungu dan bebal' lagi bila kita menolak maklumat dari semua sumber lain tanpa meneliti terlebih dahulu.

Politik 'dungu' ini akan menjadikan masyarakat kita tidak lagi faham makna demokrasi, freedom dan hak  haknya sebagai seorang warganegara. Akhirnya ada rakyat yang akan taksub dengan sesuatu parti tanpa usul periksa, membenarkan apa sahaja yang dilakukan walaupun mereka tahu apa yang dilakukan adalah sesuatu yang buruk dan dihentikan. Sebagai contoh, semua orang tahu hiburan yang keterlaluan adalah sesuatu yang buruk dan tidak membawa kepada sebarang kebaikan, tetapi jika ia adalah sesuatu yang telah dibenarkan oleh pemimpin, ketaksuban pada pemimpin akan menutup kebijaksaaan dan rasional dalam diri seseorang. Begitu juga bila mencari kekayaan hidup dianggap sesuatu yang buruk oleh pimpinan parti tanpa sebab yang kukuh, ketaksuban pasti akan mengagalkan kehidupan duniawi para pengikutnya. Malah lebih malang bila ada parti yang menghalalkan pepecahan sesama Islam sebaliknya bersatu dengan pihak yang secara jelas menentang cara hidup Islam, maka amat sedih kerana ketaksuban kepada parti sebegini menutup pintu hati kita.

Maka itu, kita sebagai rakyat yang menjadi pemutus parti mana yang patut diberikan kuasa perlukan idea dan kebijaksana yang baru dalam melakukan pengundian. Malangnya di negara ini kita kekeringan kepimpinan yang boleh berdiri di tengah tengah untuk menyatukan ummah Melayu Islam. Kita masih tiada kepimpinan yang dapat melihat Islam lebih tinggi dari politik kepartian yang sempit. Politik 'menang jadi arang, kalah jadi abu' tidak akan menguntungkan masyarakat Islam di negara ini, walau sekuat manapun mereka berjuang dan berperang menjatuh 'lawan politik seagama' dengan mereka.

Seperti selalu, kita semua akan teruslah berdoa agar Allah izinkan perpaduan dan persaudaraan seagama akan menjadi kenyataan. Selain itu, tidak banyak yang dapat kita lakukan..lebih lebih lagi di saat piliharaya semakin hampir....


10 August, 2012

Hargai Kebebasan Akademik


Pada tahun 2005, seorang profesor fizik di University Ottawa, Dr Dennis Raincourt telah menulis sebuah artikel bertajuk "Academic Squatting-A Democratic Method of Curriculum Design". Antara isi penting artikel ini ialah menolak kaedah pengajaran dan pelaksanaan kurikulum yang diamalkan oleh pihak universiti di mana beliau bertugas. Beliau sebaliknya melakukan kaedah pengajaran yang berbeza dengan apa yang diamalkan  yang dikatakan sebagai 'unconventional'. Misalnya beliau hanya memberikan gred lulus atau gagal sahaja kepada pelajar yang mengikuti kelasnya tanpa sebarang markah

Hujahnya "I think the purpose of a university education is to allow independent thinkers to develop and flourish-and the only way you can hope to categorize independent thinkers is to give them freedom" 

Tambah beliau " The system's indoctrination would have us believe that we have to confine ourselves simply to our dicipline. That in a physics course you can only talk about physics. In fact, that's not true at all. This whole exercise of regurgitating on command and trying to guess the professor's mind and being evaluated with grades as a carrot stick apporach-to me that is anti-educational. Responsible citizens need to have the capacity to think independently. But is independent thought taught in university? Absolutely not!. Itu kata kata oleh Prof Dr. Dennis Raincourt (Centretown News, Friday, February 20, 2009). 

Akibatnya beliau telah digantung tugas kerana tidak mematuhi sistem sedia ada di universiti berkenaan.  Kes ini telah mendapat liputan meluas media di sana. Perdebatan berterusan kerana ini dikatakan berkaitan dengan isu kebebasan akademik dan tujuan mengapa sesebuah universiti diwujudkan. Siapa yang sebenarnya berada di pihak yang benar? Profesor Dr. Dennis atau pihak pengurusan University Ottawa?

Apabila sesebuah universiti ditubuhkan, roh kepada universiti tersebut ialah kebebasan akademik. Nyawa kepada roh kebebasan akademik pula ialah mencari kebenaran. Apa maksudnya? Universiti ialah satu institusi sosial dalam sesebuah masyarakat yang berfungsi mencerna pemikiran, menyuarakan pemikiran demi mencari kebenaran. Universiti wajib meraikan setiap individu warganya untuk berlatih dan diberi peluang sepenuhnya untuk mengamalkan budaya kebebasan akademik.

Dua perkara asas kepada keluhuran kebebasan akademik ialah a) tiada sekatan untuk seseorang memberikan pandangan atau menyuarakan sesuatu pendapat dengan syarat pandangan dan suaranya didasarkan kepada maklumat, penyelidikan serta fakta yang sahih. Kedua, semua pandangan yang disuarakan atas nama kebebasan akademik harus disekalikan dengan mengambil pertanggungjawaban sepenuhnya oleh pemilik pandangan tersebutl. Maka keluhuran kebebasan akademik menolak sepenuhnya budaya fitnah, surat layang, dengar cakap, andaian umum, serta apa juga pandangan yang tidak disertakan dengan siapa yang akan mengambil tanggungjawab terhadap pandangan tersebut.

Dua perkara asas ini saling lengkap melengkapi. Tanpa sekatan ancaman ancaman seseorang akan berpeluang memberikan pandangan secara terbuka yang disertakan dengan bukti serta fakta yang menyokong pandangan. Pada masa yang sama juga sikap tidak bertanggungjawab seperti mengamalkan budaya fitnah dan surat layang juga akan merosakkan amalan keterbukaan dan kebebasan akademik. Tentunya jika budaya surat layang dan fitnah berleluasa, tindakan melakukan sekatan harus dilakukan untuk mengelakkan kerosakaan yang lebih buruk dilakukan sewenangnya.

Makanya dua asas ini harus diraikan sepenuhnya. Pada ketika sekatan bersuara ditiadakan malah semua pandangan diraikan, budaya fitnah dan surat layang juga harus ditamatkan sepenuhnya. Kebebasan akademik bukan sahaja kepada warga ahli akademik di universiti tetapi juga terpakai kepada para pelajarnya.

Dalam konteks pelajar, selain budaya kebebasan akademik di dewan kuliah, budaya kebebasan akademik ini juga  sangat rapat dengan aktiviti berpersatuan dan juga aktiviti pilihanraya kampus. Semangat piliharaya kampus sendiri adalah untuk melatih, menanamkan dan meraikan makna demokrasi berasaskan kebebasan bersuara ke dalam jiwa pelajar. Oleh itu kebebasan akademik boleh diterjemahkan dalam maksud hak kebebasan bersuara untuk para pelajar. Sekali lagi hak ini mesti disekalikan dengan sikap bertanggungjawab sepenuhnya oleh pelajar.

Oleh itu apabila beraktiviti di dalam piliharaya kampus, amalan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab yang diasaskan oleh fakta dan bagi tujuan mencari kebenaran adalah sesuatu yang harus dihormati. Pelajar samada sebagai calon piliharaya kampus, agen atau penyokong kepada calon harus mempunyai intergriti di dalam menyuarakan pandangan mereka secara jujur dan bertanggungjawab.

Para pengundi juga harus mendidik diri mereka untuk merasa keji dan hina pada sebarang perbuatan perbuatan menfitnah, amalan surat layang dan sebagainya. Jika pengundi seorang yang bijak san celik politik, mereka tahu bahawa perlakuan politik yang menggunakan amalan fitnah dan surat layang merupakan satu amalan yang tidak baik dan harus dielakkan.

Berpolitiklah secara sihat dan terbuka. Nyatakan perancangan dan juga penambahbaikan yang ingin dilakukan jika diberi peluang untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin. Tunjukan usaha untuk bekerja secara jujur dan berkredibiliti. Usahakan untuk sentiasa bekerjasama denganm semua pihak hatta lawan politik sekalipun lebih lebih lagi setelah memenangi piliharaya. Jadikan pemimpin pelajar yang unggul dan bersantun/sivil tinggi.

Kebebasan akademik/bersuara juga harus diraikandengan sikap toleransi dan keterbukaan dengan perbezaan pandangan oleh orang lain. Tidak semua akan bersetuju dengan pandangan kita, oleh itu raikan dan hormati pandangan mereka. Elakkan dari menggunakan sebarang cara samada secara paksaan, ugutan, psikologi, 'brainwash' dan sebagainya untuk mendapatkan sokongan atau simpati orang lain. Ini termasuklah menggunakan sentimen agama, kaum, keistimewaan dan sebagainya yang menyebabkan seseorang dalam keadaan rasa 'bersalah' jika tidak menyokong pandangan kita. Semua orang harus diberikan peluang untuk menerima input, mendengar pandangan dan seterusnya membuat pilihan secara bijaksana tentang apa yang baik dan buruk. Ini menyokong kepada kesburan budaya kebebasan akademik, kebebasan bersuara dan juga budaya intelektual itu sendiri.

Sudah banyak dekralasi di peringkat antarabangsa yang menyatakan pentingnya kebebasan akademik dan kebebasan bersuara ini diraikan. Antaranya oleh AAUP atau Persatuan Profesor USA yang menyatakan pentingnya kebebesan akademik melalui 1915 Declaration of Academic Freedom and Tenure dan juga Declaration of Human Right 1945 di peringkat Bangsa Bangsa Bersatu.

Mengamalkan kebebasan akademik secara sihat akan meningkatkan kualiti kepimpinan mahasiswa UKM. Malah jika ingin pergi jauh, pelajar UKM sendiri boleh membuat dekralasi mereka sendiri di dalam menyokong usaha kebebasan akademik ini. Pemimpin pelajar di IZISH boleh sahaja menjadi peneraju kepada usaha murni ini di peringkat UKM. lakuakan secara hikmah dan penuh inteletektual. Ini akan menjadi yang pertama seumpamanya di IPT Malaysia atau mungkin  pertama seumpamanya di peringkat ASEAN.

UKM tentunya akan terus menerus menjayakan usaha meningkatkan kesedaran kebebasan akademik ini.  Semakin tinggi kualiti budaya kebebasan akademik maka semakin hebat dan tinggilah imej sesebuah institusi ilmu di mata masyarakat.