Hari ini saya mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Keselamatan UKM Lt.Kolonel (B) Jurry Sharipan di IZISH. Kami berbincang hampir sejam tentang berbagai isu berkaitan keselamatan kolej kolej kediaman di UKM. Paling utama tentunya gangguan binatang liar seperti anjing, monyet dan babi. Selain itu isu kecurian motosikal pelajar, isu kecurian di dalam blok seperti laptop dan barangan berharga yang lain.
Timbalan Pengetua, Ketua Felo dan pengurus kolej juga ikut serta dalam perbincangan ini. Pihak kolej telah menyampaikan beberapa aduan serta kerisauan pelajar tentang hal yang berkaitan dengan keselamatan. Sebagai usaha berterusan, pertemuan seperti ini akan diadakan secara berkala antara pihak IZISH dan bahagian keselamatan.
Beberapa cadangan juga telah dikemukakan oleh pihak kolej. Antaranya memohon supaya sistem membuat aduan oleh pelajar dipermudahkan oleh bahagian keselamatan. Selain itu dicadangkan (diterima dan akan segera dilaksanakan)supaya mewujudkan nombor HOTLINE yang bertindak secara bersepadu khususnya di pintu pintu masuk utama UKM untuk aduan kecurian motosikal dan gadjet seperti laptop atau jika timbul rasa curiga bila ada orang luar terutama waktu pelajar ke kuliah atau waktu malam berkeliaran di kawasan kolej.
Terima kasih pada bahagian keselamatan yang semakin prihatin dengan kebajikan pelajar. Data dari pihak keselamatan juga menunjukkan 'kecuaian' dan sikap tidak apa menjadi punca utama kehilangan barangan seperti motosikal dan laptop. Begitu juga dengan isu kemalangan dalam kampus. Semoga kampus UKM akan lebih sejahtera pada masa depan.
Di IZISH, kita akan mula melaksanakan program AMALAN KESEJAHTERAAN KOLEJ pada sesi depan. Program ini hasil bengkel Kesepaduan Sosial yang dianjurkan oleh pihak kolej bersama felo dan MEP pada bulan Disember 2011 yang lalu. Sekarang team felo IZISH sedang menyiapkan fasa akhir dokumen amalan kesejahteraan kolej di IZISH. Penguatkuasaan undang undang dan peraturan kolej hanyalah langkah paling akhir dalam menguruskan pelajar, pengurusan IZISH lebih cenderung menggunakan konsep pendidikan melalui perlaksanaan amalan terbaik di dalam membina kesejahteraan sosial di kolej. Pihak kolej sangat percaya pelajar IZISH sudah matang untuk menentukan langkah langkah yang terbaik di dalam memastikan kehidupan mereka di kampus menyokong kearah pencapaian akademik yang cemerlang.
Semoga berjaya..tentunya dengan sokongan seluruh warga IZISH.