27 April, 2012

IZISH Bangunkan Unit Pembangunan Insaniah (UPIN)

 UPIN@IZISH
Minggu ini IZISH telah mula membuka pintu Unit Pembangunan Insaniah (UPIN) untuk para pelajarnya. Terletak di lobi kolej, unit ini merupakan yang pertama seumpamanya di kalangan kolej kolej UKM. UPIN mempunyai dwifungsi utama. Pertama sebagai pejabat felo Kolej Antarabangsa Ibu Zain.  Kedua, sebagai ''one stop center" kepada semua urusan pembangunan pelajar di IZISH.

Sebagai pejabat felo, unit ini mempunyai sistem file penganjuran projek, sistem file profil pelajar IZISH, sistem file pengiktirafan dan anugerah, sistem file rekod peraturan/ tatatertib dan unit ini turut menyediakan semua borang yang berkaitan dengan penganjuran aktiviti pelajar.

Sebagai 'one stop center' pula unit ini menyediakan perkhidmatan bimbingan penganjuran projek kepada semua pelajar, bimbingan kontrak pembelajaran (LC) dan sebagainya.

Penubuhan UPIN ini secara langsung memenuhi Pelan Strategik IZISH 2011-2013 khususnya berkaitan teras kedua: pembangunan pelajar IZISH. Bagi menjayakan usaha ini, unit ini juga telah dilengkapkan beberapa komputer untuk digunakan oleh pelajar bagi Sistem Pembangunan Insaniah (SPI). Turut disediakan scanner dan printer untuk tujuan pelajar merekodkan aktiviti mereka dalam sistem SPI. Unit ini juga menyediakan ruang rujukan (sudut sumber) penganjuran projek, di mana semua laporan dan rekod projek projek terdahulu yang berkualiti dipamerkan untuk dirujuk oleh para pelajar IZISH.

Semoga UPIN akan meningkatkan lagi usaha memperkasakan kemahiran insaniah pelajar IZISH. Terima kasih rakan rakan di pengurusan IZISH dan juga pasukan felo IZISH yang telah bekerja keras.

26 April, 2012

Bila Monyet Juga Boleh Mendidik Kita di UKM


Entah mengapa isu monyet memang dekat di hati saya. Mungkin sejak sekian lama saya sering memerhati dan meneliti rutin kehidupan primat unik ini. Cara mereka berinteraksi sesama mereka, stail kepimpinan kelompok, cara mempertahankan kelompok sehinggalah kepada berpeluang meneliti bila dan di mana selalu mereka mendapat sumber rezeki 'halal' mereka. Saya katakan halal kerana di sinilah 'kampung halaman dan rumah asal' mereka sebelum kita datang merubah segalanya.

Kadang kala saya kesian melihat keadaan mereka. Setelah tempat mereka diceroboh, kita telah gagal mengharmonikan kehidupan kita dengan mereka. (Tentunya juga saya lebih bersimpati dan sedih bila ada pelajar yang menjadi 'mangsa' gangguan mereka).

Setelah semua sumber makanan mereka kita rosakkan dengan agenda besar kita untuk membina bangunan dan jalan-jalan raya dalam kampus, kita labelkan mereka sebagai penganggu kehidupan kita. Mereka sebenarnya telah terperangkap dan mula terputus sumber makanan dari habitat semulajadi mereka.

Percaya atau tidak, sudah banyak kali saya melihat 'ibu-ibu' memastikan anak-anak yang kecil makan dahulu, setelah anak-anaknya meninggalkan makanan tersebut, sisa makanan tersebut baru diambil dan dijamah oleh si ibu. Itupun kalau sisa makan tersebut masih berbaki, kalau tidak maknanya si ibu terpaksa menahan kelaparan sehingga terjumpa makanan di tempat lain, itupun kalau masih ada.

Soalnya bagaimana kita, sebagai insan yang diangkat sebagai khalifah di mukabumi ini dapat membantu menyelesaikan masalah 'sekecil' ini. Sejauh mana keinsanan kita boleh membantu kita untuk menyatakan kepada diri sendiri  'marilah kita hidup bersama secara berkongsi di bumi UKM ini".

Sebab itu saya sangat teruja bila ada kalangan felo dan pelajar IZISH merangka program "Food Waste Phase Out". Secara ringkas program ini mendidik pelajar mengasingkan sisa makanan di dalam satu bekas khas yang tertutup di blok pelajar, seterusnya sisa makanan tersebut dikumpulkan bersama sisa bahan bahan makanan dari kafetaria (buahan-buahan dan sisa makanan pepejal) dan diletakkan di beberapa tempat yang dikenalpasti menjadi laluan utama kumpulan monyet memasuki kawasan kolej.

Monyet datang hanya atas satu matlamat, mencari makanan. Bila pihak pelajar berjaya menguruskan program ini dengan baik dan berkesan, hasilnya tentu memuaskan.

Malah keberadaan kumpulan monyet monyet ini secara positifnya mendidik kita (termasuk saya sekeluarga) sekurang kurangnya TIGA perkara yang kita tidak akan dapat di tempat yang lain;

1. Secara berterusan dan kreatif, kita telah di didik dan berpeluang berfikir bagaimana untuk membantu pihak pengurusan UKM dan juga rakan rakan dalam menyelesaikan isu gangguan monyet yang tidak pernah selesai sejak sekian lama.
2. Kita pasti akan di didik menghargai alam fauna yang ada di UKM, yang saya percaya memori ini akan dirindui oleh pelajar IZISH apabila sudah bergraduan kelak.
3. Isu ini mendidik kita makna disiplin dalam kehidupan di kolej. Sebagai contoh mudah, mengunci tingkap bila ke kuliah, memastikan penutup tong sampah ditutup secara kemas setiap masa, pintu blok dipastikan tertutup dan sebagainya. Jika kita gagal menjalani hidup secara berdisplin, mengapa monyet yang tiada akal kita salahkan. Saya juga belajar tentang perkara yang sama kerana rumah pengetua betul-betul dalam kawasan mereka!

Tentulah gangguan monyet sesuatu sangat merbahaya dan mesti dielakkan. Maka disinilah kewaspadaan diperlukan oleh setiap pelajar. Malah saya sering mengambarkan sesuatu yang positif pada anak-anak saya tentang kewaspadaan ini. Misalnya apakah di luar sana, di bandaraya, di bangi atau kajang, atau di mana-mana sahaja tidak ada makhluk 'manusia' yang lebih hina dari monyet memerhatikan kealpaan kita ? Bukankah isu monyet telah mendidik dan membina latihan kewaspadaan dalam diri kita?

Pada team 'Food Waste Phase Out' tahniah atas usaha anda. pastinya mendidik kawan kawan untuk menjayakan hal ini bukan sesuatu yang mudah. Sekurang kurangnya anda telah berusaha melakukannya..bukan sekadar mampu mengeluh, mengadu atau menyampaikan aduan semata mata.

24 April, 2012

Career Expo UKM 2012 Anjuran IZISH

Tanggal 18 Mei 2012, UKM akan menyambut ulangtahunnya yang ke 42. Pada tarikh yang sama IZISH melalui Biro Pengantarabangsaan MEP (JAKSA) akan menganjurkan Career Expo UKM di DECTAR UKM buat julung julung kalinya. Malah ini juga buat kali pertama dalam sejarah kolej kolej kediaman UKM akan menganjurkan acara sebegini. Tahniah buat pasukan 'Career Expo UKM' IZISH

Menariknya Career Expo UKM anjuran IZISH kerana ia mendapat kerjasama daripada JPPEL (HEPA) dan juga Pejabat Hubungan Industri (HEJIM). Kerjasama ini sebagai satu sinergi bagi memberi peluang untuk pelajar UKM di tahun akhir bertemu dengan bakal bakal majikan mereka. Berbagai acara telah disusun dan tentunya pameran syarikat menjadi program utamanya.

Pihak penganjur mensasarkan 50 buah syarikat swasta dan GLC ikut serta dalam program ini. Walaupun menerima banyak permintaan, pihak urusetia telah menetapkan hanya pihak syarikat yang benar benar memberikan pekerjaan yang baik sahaja yang dijemput. Maknanya syarikat yang 'merekrut' pelajar untuk menjual insurans atau juga syarikat MLM tidak akan ikut serta.  Seperkara lagi, career Expo menumpukan penyertaan syarikat dan GLC sahaja tidak jabatan jabatan kerajaan. Secara prinsipnya, pihak urusetia menumpukan usaha untuk meningkatkan citra pelajar UKM bahawa mereka juga sebenarnya boleh bersaing untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat swasta dan GLC.

Nampaknya sasaran bilangan syarikat  ini akan dapat dicapai mendasarkan maklumbalas yang positif di kalangan pihak syarikat. Malah kini sudah ada beberapa  penaja utama seperti Maybank yang telah bersetuju untuk ikut serta.

Ini sebahagian usaha pemimpin pelajar dan felo IZISH di dalam menganjurkan aktiviti yang benar benar memberikan manafaat pada pelajar UKM. Tentunya penganjuran Career Expo penuh cabaran terutama di dalam menyakinkan pihak syarikat untuk ikut serta, apatah lagi ni adalah program anjuran pelajar dari kolej kediaman yang kecil, bukannya kalangan persatuan pelajar yang besar di UKM!

Selain pameran akan turut diadakan sesi temuduga, ceramah tokoh (usahawan berjaya dan CEO syarikat). Turut akan dianjurkan sesi penyediaan CV untuk pelajar tahun satu, dua dan tiga.

Lebih menarik bila Menteri Pengajian Tinggi sendiri telah bersetuju untuk hadir dan merasmikan program ini pada 18 Mei 2012 nanti. Ini menunjukkan keperihatian pihak KPT di dalam menyokong usaha-usaha kebolehpasaran mahasiswa khususnya di UKM.

Sama-sama kita nanti..semua dijemput memeriahkan Career Expo UKM 2012 anjuran Kolej Antarabangsa Ibu Zain dengann kerjasama HEPA dan Hejim.

20 April, 2012

Apa Sebenarnya Peranan Felo Kolej Kediaman di UKM?


Felo IZISH bersama JAKSA (MEP) dalam
Bengkel Kesepaduan Sosial Kolej 2012
UKM kini mempunyai 165 orang felo kolej kediaman. Dulunya jawatan ini adalah satu jawatan yang bersifat sukarela tanpa sebarang bayaran saguhati. Bagaimanapun sekarang, walaupun jawatan ini masih bersifat sukarela, telah diwujudkan proses permohonan, temuduga dan penilaian prestasi pada setiap tahun. Semua ini dilakukan untuk memastikan pelajar yang tinggal di kolej UKM mendapat perkhidmatan yang lebih baik dari masa ke semasa. Felo juga diberikan saguhati sebagai penghargaan di atas peranan serta usaha mereka oleh pihak pengurusan UKM.

Peranan felo sangat penting, terutama dalam hal berkaitan kebajikan, keselamatan serta pembangunan pelajar. Felo hari ini tentunya lebih sibuk berbanding felo lima tahun dahulu. Bertugas 24/7, mereka mengambil tanggungjawab membantu kolej menguruskan aktiviti pelajar, menjaga keselamatan, mengadakan kaunseling dan rundingan, memastikan peraturan dan disiplin pelajar terkawal.

Sewajarnya semua pelajar memberikan ucapan penghargaan pada felo yang penuh dedikasi menjalankan tanggungjawab mereka, sebaliknya 'menasihatkan' kalau ada felo yang alpa di dalam melaksanakan tugas yang sepatutnya mereka laksanakan. Jika itu juga tidak berkesan laporkan sahaja pada pihak pengetua kolej secara rasmi dan bertanggungjawab agar tindakan susulan dapat dilakukan. Sebagai satu panduan di bawah ini adalah senarai rasmi terma tugasan yang juga disebut Term of Reference (ToR) untuk membantu pelajar mengenali dan memahami peranan serta tugasan seorang felo di kolej kediaman. 


TOR FELO KOLEJ KEDIAMAN

1.  Membantu pihak pentadbiran kolej dalam aktiviti pelajar bagi membina keupayaan kemahiran insaniah dan akademik pelajar kolej kediaman.

2.   Memantau dan memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar kolej kediaman berada dalam keadaan baik.

3.   Membantu pihak pentadbiran kolej dalam memantau masalah kebajikan pelajar kolej kediaman.

4.   Menyelia dan memantau program dan aktiviti pelajar yang dilaksanakan melalui   kolej kediaman.

5.   Menjadi penasihat kepada JAKSA kolej kediaman.

6.   Menjadi Ahli Jawatankuasa Tatatertib Pelajar kolej kediaman.

7.   Memberi khidmat nasihat akademik kepada pelajar kolej kediaman.

8.  Melapor kerosakan kemudahan dan pasarana kolej kediaman kepada pihak pengurusan kolej.

9.   Menjadi pegawai insiden kolej kediaman.

10. Menjalankan tugas-tugas seperti yang diarahkan oleh pengetua kolej kediaman dari masa ke semasa. 

16 April, 2012

Formula IZISH Memperkasa Institusi Felo Kolej Kediaman

Felo Kolej Kediaman di UKM sekarang berjumlah kurang lebih 150 orang. Ada yang telah berkhidmat lebih lima tahun dan ada pula yang masih baru sebagai felo. Dulu, di zaman saya sebagai pelajar, dan kemudiannya menjadi felo sehinggalah Ketua Felo, ketika kolej masih dengan nama lamanya iaitu Kamsis (Kampung Siswa) kami sebagai felo mempunyai dua peranan utama iaitu a) menjaga keselamatan blok dan b) menjaga kebajikan pelajar.


Di bawah dua peranan ini terkumpullah beberapa aktiviti seperti mengadakan mesyuarat keselamatan blok dengan pelajar setiap bulan, membuat 'spot-check' setiap dua bulan sekali, membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bila ada laporan kecurian, menghantar, menunggu dan membawa pulang pelajar dari hospital Kajang bila ada kecemasan berkaitan kesihatan atau kemalangan dan membuka, mengambil kunci bilik, menunggu di pejabat dan menulis buku laporan bila ada kes pelajar tertinggal kunci di dalam bilik sebelah malam. Inilah rutin seharian sebagai felo. Tanpa sebarang bayaran elaun. semuanya atas perbelanjaan felo sendiri!

Bila Kamsis bertukas menjadi Kolej, peranan felo juga bertambah. Selain rutin di atas, felo bertanggungjawab untuk  membimbing dan memantau aktiviti pelajar. Maka menjadi felo bermakna kita semakin sibuk dan kadang kala melelahkan. Bayangkan setiap kolej menganjurkan 25 hingga 30 projek setiap tahun. Semua projek ini perlu dibimbing dan dipastikan kelancaran perancangannya.
Apabila ko-kurikulum mula menggunakan sistem SPKG,  felo sekali lagi diberikan peranan tambahan iaitu memastikan kelancaran aktiviti pelajar. Tetapi pengenalan SPKG membawa kepada bermulanya bayaran elaun felo diperkenalkan oleh pihak UKM. Tujuan elaun itu sebagai ganjaran atas bantuan dan tugasan seseorang felo membimbing pelajar di kolej masing-masing.


Kini UKM mempunyai ko-kurikulum berasaskan kontrak pembelajaran (LC) menggantikan SPKG. Pelaksanaan LC memenuhi amalan dasar pembelajaran menyeluruh UKM dan juga mengiktiraf kampus UKM sebagai sebuah eko sistem ilmu. Dengan kata lebih mudah, di mana-mana sahaja asalkan seseorang pelajar berada di dalam kampus, proses pembelajaran dan pencarian ilmu sedang berlaku dalam dirinya. Jika di padang, ilmu berkaiatan sukan sedang berlaku, bila di Pusat Kebudayaan, ilmu kesenian yang diterima.

Begitu juga dengan halnya di kolej. Ilmu berkaitan sosialisasi, interaksi, perpaduan dan sebagainya pula diterima. LC memberikan peluang untuk pelajar menganjurkan apa juga program yang mereka minati. Tetapi sebagai memenuhi matlamat penganjuran aktiviti bertujuan meningkatkan softskills pelajar, institusi felo mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar. Misalnya membimbing pelajar tentang keberkesanan di dalam softskills, prosedur penganjuran aktiviti dan juga pengurusan risiko di dalam penganjuran sesuatu aktiviti.

Melihat kepada pelbagai perubahan yang telah dan sedang berlaku, sudah semestinya pemerkasaan felo kolej kediaman di lakukan. Apa yang telah dilakukan di IZISH, biar saya kongsikan di sini. Kami di IZISH percaya tunggak kejayaan membangunkan softskills para pelajar adalah tergantung kepada keupayaan pasukan felo kolej kediaman. Semakin kuat pasukan felo kolej maka akan semakin tinggi pembangunan softskills pelajar dapat dicapai. Semua pemikiran ini telah pun dihasratkan di dalam Pelan Strategik IZISH 2011-2013.

Secara individu:
  1. Pelantikan felo di IZISH berasaskan multi etnik, multi fakulti dan juga 'kepakaran' yang berbeza-beza.
  2. Felo yang di lantik telah dikenalpasti mempunyai bukti bukti yang menunjukkan mereka ada pengalaman yang mendalam di dalam penganjuran projek pelajar.
  3. Setiap felo mempunyai 'niche' masing masing yang menyumbang kepada pembangunan pelajar di IZISH. 
  4. Felo juga adalah mereka yang dikenalpasti mempunyai  kemahiran komunikasi, sahsiah serta kefahaman yang baik tentang pembangunan pelajar.
Secara institusi
  1. Timbalan Pengetua diberikan tanggungjawab membangunkan aktiviti pelajar di IZISH. Beliau akan dibantu oleh felo IZISH.
  2. Sebuah majlis felo IZISH ditubuhkan sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan pembangunan pelajar IZISH. Majlis ini bertanggungjawab menyediakan garispanduan aktiviti, prosedur serta memantau pelaporan semua aktiviti pelajar. Majlis ini juga bertanggungjawab menyediakan dokumen pengiktirafan, penghargaan, sijil dan sebagainya.
  3. Sebuah pejabat felo diwujudkan. Di IZISH pejabat ini telah dinamakan Unit Pembangunan Insaniah (UPI-IZISH). Di sini pelajar akan memgadakan perjumpaan dengan felo untuk bimbingan penganjuran projek.
  4. Felo membuka jalan  kepada pelajar berkaitan penganjuran aktiviti yang dikenalpasti berimpak tinggi. Di IZISH aktiviti kelestarian dan kesepaduan sosial adalah usaha berterusan untuk membudayakan aktiviti berimpak tinggi. Maka program kelestaraian seperti Green Planet Ventures, Karnival Alam Sekitar dan program Kesepaduan sosial seperti Minggu hak Asasi Manusia dan Festival Kesenian (FESKIB) yang berteraskan kebudayaan  nasional telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar.
Oleh itu sudah sampai masanya sebahagian besar urusan menjaga keselamatan blok harus diserahkan pada JAKSA dan ketua blok. Begitu juga dengan urusan kebajikan pelajar yang kini boleh diuruskan oleh exco kebajikan di bawah JAKSA Kolej. Felo seharusnya melihat perkara lain yang menjadi semakin penting seperti pembangunan akademik pelajar kolej, pembangunan softskills serta hal hal berkaitan tatatertib.

Semoga institusi felo kolej kediaman UKM akan lebih mantap di dalam mendepani cabaran semasa dan juga mendatang....

12 April, 2012

IZISH Terus Berusaha Tingkatkan Tahap Keselamatan Pelajar Kolej

Hari ini saya mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Keselamatan UKM Lt.Kolonel (B) Jurry Sharipan di IZISH. Kami berbincang hampir sejam tentang berbagai isu berkaitan keselamatan kolej kolej kediaman di UKM. Paling utama tentunya gangguan binatang liar seperti anjing, monyet dan babi. Selain itu isu kecurian motosikal pelajar, isu kecurian di dalam blok seperti laptop dan barangan berharga yang lain.

Timbalan Pengetua, Ketua Felo dan pengurus kolej juga ikut serta dalam perbincangan ini. Pihak kolej telah menyampaikan beberapa aduan serta kerisauan pelajar tentang hal yang berkaitan dengan keselamatan. Sebagai usaha berterusan, pertemuan seperti ini akan diadakan secara berkala antara pihak IZISH dan bahagian keselamatan.

Beberapa cadangan juga telah dikemukakan oleh pihak kolej. Antaranya memohon supaya sistem membuat aduan oleh pelajar dipermudahkan oleh bahagian keselamatan. Selain itu dicadangkan (diterima dan akan segera dilaksanakan)supaya mewujudkan nombor HOTLINE yang bertindak secara bersepadu khususnya di pintu pintu masuk utama UKM untuk aduan kecurian motosikal dan gadjet seperti laptop atau jika timbul rasa curiga bila ada orang luar terutama waktu pelajar ke kuliah atau waktu malam berkeliaran di kawasan kolej.

Terima kasih pada bahagian keselamatan yang semakin prihatin dengan kebajikan pelajar. Data dari pihak keselamatan juga menunjukkan 'kecuaian' dan sikap tidak apa menjadi punca utama kehilangan barangan seperti motosikal dan laptop. Begitu juga dengan isu kemalangan dalam kampus. Semoga kampus UKM akan lebih sejahtera pada masa depan.

Di IZISH, kita akan mula melaksanakan program AMALAN KESEJAHTERAAN KOLEJ pada sesi depan. Program ini hasil bengkel Kesepaduan Sosial yang dianjurkan oleh pihak kolej bersama felo dan MEP pada bulan Disember 2011 yang lalu. Sekarang team felo IZISH sedang menyiapkan fasa akhir dokumen amalan kesejahteraan kolej di IZISH. Penguatkuasaan undang undang dan peraturan kolej hanyalah langkah paling akhir dalam menguruskan pelajar, pengurusan IZISH lebih cenderung menggunakan konsep pendidikan melalui perlaksanaan amalan terbaik di dalam membina kesejahteraan sosial di kolej. Pihak kolej sangat percaya pelajar IZISH sudah matang untuk menentukan langkah langkah yang terbaik di dalam memastikan kehidupan mereka di kampus menyokong kearah pencapaian akademik yang cemerlang.

Semoga berjaya..tentunya dengan sokongan seluruh warga IZISH.

Apa bezanya Penasihat Aktiviti Pelajar dengan Penyelia Pembangunan Pelajar di UKM?

Aktiviti pelajar di UKM sekarang agak unik. UKM satu satunya universiti yang melaksanakan dasar 'student centred' sepenuhnya di dalam ko-kurikulum. Dasar ini dilaksanakan melalui kaedah Kontrak Pembelajaran (Learning Contract). Bagi sesi 2011-2012, kaedah ini sepenuhnya berlaku dalam ko-kurikulum yang menawarkan 8 kredit.

Menarik bila dasar baru ini digabungjalin dengan dasar lama. Misalnya di dalam dasar lama dilantik penasihat projek samada pensyarah ko-kurikulum, pengetua kolej atau felo kolej. Manakala di dalam dasar baru diwujudkan pula jawatan penyelia pelajar. Oleh itu sekarang ini bagi setiap satu projek pelajar yang di luluskan oleh JPPEL dan diiktiraf oleh PAP sebagai projek di bawah LC, pasti akan ada seorang (kadangkala dua orang penasihat projek) dan seorang lagi penyelia projek. Boleh jadi orang yang sama, tetapi mungkin juga orang yang berlainan.

Maka ada pelajar yang keliru apa peranan penasihat projek dan apa pula peranan penyelia pelajar. Andaian awal mereka penasihat projek tentulah kerjanya memberikan bimbingan dan nasihat bagaimana projek itu sepatutnya dilaksanakan. Bermula dari menyediakan proposal, mengadakan mesyuarat agihan kerja, mesyuarat perasmian hinggalah mesyuarat 'post mortem'. Itulah kerja penasihat projek pada pandangan pelajar.

Bila diwujudkan pula jawatan penyelia projek, bagaimana pula beliau memainkan peranannya. Jika beliau memberikan markah, apakah perkara yang harus di nilai? Berasaskan komitmen pelajar kepada kejayaan projek (biasanya memberikan markah kepada pengarah lebih tinggi daripada AJK) atau berasaskan 'progress' softskills yang telah ditunjukkan oleh pelajar (maknanya pemberian gred dinilai setara untuk semua tanpa mengira samada sebagai pengarah atau AJK kecil).

Setiap orang yang terlibat dalam pelaksanaan LC (penyelia dan pelajar), harus sangat sedar bahawa walaupun penganjuran projek penting tetapi ianya tidaklah sepenting memastikan berlakunya 'progress' dalam softskills pelajar. Oleh yang demikian penilaian dalam LC harus jelas dan mempunyai validity bahawa yang dinilai adalah 'softskills progress' dan bukannya komitmen kejayaan projek semata-mata.

Soalnya bagaimana untuk menilai progress jika jumlah pelajar yang harus dinilai berjumlah 50 orang? Bagaimana untuk memastikan gred yang diberikan benar benar mengambarkan progress memang telah berlaku dalam diri pelajar? Apakah setara gred yang diberikan pada seorang pelajar yang mengikuti program A iaitu lawatan sambil belajar setengah hari ke kilang Proton berbanding seorang pelajar yang terlibat berbulan dengan projek B seperti mengumpulkan dana beribu ribu ringgit untuk disumbangkan kepada kumpulan yang memerlukan? Apakah memadai dengan pemberian 2 kredit pada projek A dan 3 kredit bagi projek B?

Menarik bukan.....

08 April, 2012

Tahniah Majlis Eksekutif Pelajar, Tahniah Team Green Planet Ventures! Tahniah IZISHIAN

Seperti kita di IZISH sedia maklum, Green Planet Ventures atau GPV telah dianugerahkan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Pelajar bagi kategori Penyelidikan dan Inovasi Pelajar. Walaupun ada beberapa lagi kategori lain, kategori yang GVP menang agak istimewa kerana berkaitan penyelidikan dan inovasi, Lebih lebih lagi selari dengan niche IZISH menjayakan kelestarian. Tentunya kemenangan ini kemenangan buat team GPv dan pada semua MEP yang terlibat secara langsung dalam mengasaskan idea penganjuran projek ini. Tentu juga pada timbalan pengetua dan para felo IZISH yang banyak membimbing pelajar. Anugerah ini adalah bukti kerja keras semua pihak di IZISH.

Kita menang satu, itu sangat memadai untuk tahun pertama kita masuk bertanding. Paling saya bangga bila Majlis Eksekutif IZISH merupakan persatuan pelajar yang paling banyak menghantar pencalonan, mengalahkan semua persatuan fakulti, utusetia, anak negeri dan semua kolej yang lain. Malah mengalahkan PMUKM sendiri yang merupakan badan induk persatuan pelajar di UKM. Itu satu kemenangan yang SANGAT BESAR pada saya. Tahniah IZISH-ian. Itu juga bermakna IZISH sentiasa aktif dan mempunyai banyak program untuk pembangunan para pelajarnya. Walaupun kewangan yang sangat terhad, tenaga kerja yang kecil, pelajar IZISH buktikan mereka adalah pelajar yang hebat.

Melihatkan projek tahun 2012 yang akan dicalonkan pada 2013 nanti, IZISH nampaknya lebih bersedia. Dengan penganjuran FESKIB, HAM, EXPLORACE, SILANG BUDAYA, CAREER EXPO dan IZISH CORNER dan beberapa projek lain khususnya berkaitan kelestarian, saya jangkakan lebih banyak kemenangan akan dicapai pada tahun hadapan. Mungkin elok juga program dalam kategori perpaduan juga boleh diadakan pada tahun hadapan oleh pihak penganjur.

Apa pun tujuannya, matlamat bertanding bukan untuk mengejar kemenangan semata mata. Tujuan yang paling besar untuk membangunkan diri mahasiswa. Bukan juga kemenangan itu akan membawa riak, sebaliknya sebagai pencetus semangat untuk lebih gigih berusaha.

Jika ada pertandingan percalonan paling banyak, pasti IZISH akan mendapat tu lagi kemenangan tahun ini..

TAHNIAH BUAT SEMUA WARGA IZISH...LOVE IZISH...

03 April, 2012

Tiga Matlamat Utama Tranformasi Aktiviti Pelajar UKM

  1. Sejak di tubuh lebih 45 tahun yang lalu, UKM memang dikenali sebagai universiti yang banyak menganjurkan aktiviti pelajar. Sebagai contoh, dimaklumkan pada sesi ini sahaja sudah lebih 1,000 program dianjurkan oleh pelajar UKM. 
  2. Sejak UKM ditubuhkan juga telah berbagai perubahan berlaku di dalam penganjuran aktiviti pelajar. Sejak dulu hingga sekarang sudah EMPAT fasa tranformasi aktiviti pelajar berlaku secara terancang. 
  3. Fasa pertama aktiviti sebagai aktiviti rekreasi masa senggang. Maknanya aktiviti dilakukan oleh pelajar samada secara individu atau persatuan/kelab sebagai mengisi masa lapang yang terluang secara bermanafaat. Misalnya gotong royong, hari keluarga, lawatan dan sebagainya.
  4. Fasa kedua ( +1991-1998) bila pihak pengurusan UKM bersetuju supaya aktiviti pelajar diiktiraf sebagai ko-kurikulum (ada yang tersalah konsep dengan menyamakannya dengan ko-kurikulum sekolah). Maknanya semua pelajar diwajibkan melibatkan diri di dalam aktiviti ko-kurikulum ini. Ketika ini kegiatan dan aktiviti pelajar memang meriah. Mereak terlibat tetap[i tidak dinilai untuk tujuan penijazahan. ketika itu, di padang, di pusat kebudayaan, di pusanika, di kolej kediaman dan di fakulti sibuk dengan berbagai aktiviti pelajar. Apatah lagi tiada internet, tiada facebook atau twitter yang mengekang pelajar beraktiviti.
  5. Fasa ketiga ( +1998-2009) berlaku bila ko-kurikulum mula dinaiktaraf dengan pemberian kredit. Maka semua aktiviti ko-kurikulum telah distruktur sebagai kursus yang wajib diambil oleh pelajar. Bermula dengan 2 kredit akhirnya bertambah sehinggalah menjadi 8 kredit ko-kurikulum. (UKM adalah IPT yang menwarkan paling banyak kredit untuk ko-kurikulum. Kebanyakan pihak universiti lain menawarkan 2-6 kredit untuk ko-kurikulum di IPT masing masing.
  6. Sekarang UKM berada di fasa ke empat tranformasi aktiviti pelajar (2009-kini). Atas dasar 'trust' dan menghormati minat dan kecenderungan pelajar, sistem yang dikenali sebagai kontrak pembelajaran diperkenalkan di dalam ko-kurikulum (saya telah bincangkan apa itu kontrak pembelajaran atau Learning Contract (LC) dalam penulisan yang lalu di blog ini). Melalui LC pelajar berhak memilih aktiviti yang mereka suka, seterusnya menamakan penyelia yang akan menyelia mereka. Konsep ini menjadikan UKM adalah IPT pertama seumpamanya di negara ini yang melaksanakan LC sebagai mekanisme pembelajaran. LC telah lama dilaksanakan di IPT US dan juga negara Eropah sebagai salah satu mod pembelajaran. Banyak kajian menunjukkan kaedah LC ini beruapaya memberikan kesan yang baik kepada pembangunan seseorang mahasiswa dengan syarat mereka tahu apa yang sedang dilakukan semasa akativiti dilaksanakan dan secara sedar juga berusaha mempelajari sesuatu yang baru untuk meningkatkan softskills mereka.
  7. Persoalannya sekarang apakah input sebagai panduan kepada pelajar untuk memilih aktiviti yang baik dan berupaya membina kemahiran mereka. Apakah pula matlamat/objektif yang harus mereka letakkan sebelum mula menganjurkan aktiviti? 
  8. Secara jelas, saya letakkan TIGA Matlamat Utama (3MU) yang harus diteliti, difahami dan dilaksanakan sebelum seseorang pelajar mengadakan aktiviti. Pertama apakah aktiviti yang akan dianjurkan/libatkan diri ini akan meningkatkan kebolehpasaran (marketability) ? Kedua, apakah aktiviti yang akan dianjurkan/libatkan diri ini akan meningkatkan nilai dan kemahiran kewarganegaraan/kemasyarakatan (citizenship skills) dan ketiga apakah aktiviti yang akan  dianjurkan/libatkan diri ini akan meningkatkan personaliti/sahsiah (intelektual, moral, etika dan integriti) dalam diri pelajar? Jika jawapannya adalah ya bagi satu atau lebih bagi semua soalan di atas, teruskan untuk anjurkan aktiviti aktiviti tersebut. Jika jawapannya ialah tidak, maka sebaiknya fikirkan semua perlukah aktiviti tersebut diteruskan.  
  9. Matlamat kebolehpasaran berteraskan program komunikasi (BM dan BI), inovasi, team-work, pemantapan akademik, kemasan diri, pembangunan kerja, keusahawanan etc. 
  10. Matlamat membangunkan kemahiran dan nilai kewarganegaraan biasanya akan berteraskan program seperti khidmat masyarakat, perpaduan kaum, hak asasi manusia, kesedaran politik, pilihanraya etc.
  11. Matlamat pemantapan personaliti seperti  moral, etika dan integriti pula merujuk program seperti aktiviti keagamaan, keilmuan, aktiviti sukan, aktiviti kebudayaan, pemupukan nilai-nilai murni, etika berpakaian, adap etc.
  12. Seharusnya selepas ini pelajar akan lebih bijak dalam membuat keputusan apakah bentuk aktiviti yang ingin mereka anjur atau melibatkan diri. Sewenang wenang menganjurkan aktiviti atas dasar ingin berseronok atau ingin seseuatu yang bersifat mudah akan menyebabkan aktiviti yang dianjurkan tidak memberikan manafaat sebaiknya kepada pembangunan pelajar. Dan tentunya pada yang muslim apa juga penganjuran aktiviti yang bermanafaat mestilah dilakukan dengan niat dan berlandaskan kerana Allah S.W.T Pencipta sekalian alam....

    02 April, 2012

    Membangunkan Mahasiswa UKM Secara Holistik...

    1. JIka kita meneliti teori pembangunan insan kita pasti berjumpa dengan konsep pembangunan holistik (seimbang dan menyeluruh). Samada pandangan Islam atau barat, kedua-duanya bersetuju membangunkan insan akan menyentuh soal pembangunan kognitif (akal), afektif (nilai) dan psikomotor (kemahiran).
    2. UKM mempunyai banyak komponen di dalam proses membangunkan pelajar. Kita ada fakulti, PPU, JPPEL, PAP, Kolej, institut dan pusat pengajian. Bila berbicara soal pembangunan pelajar, tentunya kita akan tertumpu kepada peranan Pusat Pengajian Umum, JPPEL, Kolej Kediaman dan juga mungkin PAP- secara tidak langsung).
    3. Asasnya Pusat Pengajian Umum memberikan peluang 'peluasan ilmu' pada pelajar UKM. Teringat ketika saya berbual dengan Allahyarham Prof Datuk Syed Hussein al Attas, beliau perlu menyebut pentingnya PPU ini bagi membina mahasiswa yang berfikiran intelektual (pembagunan akal). Maksud beliau jika pengajian di fakulti lebih menjurus membina keupayaan modal insan bersifat 'ekonomikal', yakni sebagai pekerja kepada pembangunan ekonomi diri dan negara. PPU menjadikan kita berfikir secara kritikal di luar ruang 'ekonomi' tetapi ke arah menajamkan intelektual berkaitan membela nasib masyarakat, menelah rasional kepolitikan semasa, meberikan idea untuk pembangunan pendidikan, memperjuangkan falsafah keilmuan, mengukuhkan tradisi pemikiran yang murni dan sebagainya. Maka ini PPU ditubuhkan. Sebagai 'Pusat Peluasan Ilmu' kepada mahasiswanya.
    4. Seterusnya diwujudkan PAP-JPPEL sebagai tempat menguruskan pembangunan soft skills pelajar (pembangunan psikomotor). Pembangunan softskills ini penting khususnya bila kita ingin menjadikan pelajar UKM berdaya saing serta kompeten di alam pekerjaan. Mekanisma yang di gunakan oleh PAP dan JPPEL ialah dengan menggalakkan penganjuran aktiviti melalui persatuan persatuan pelajar. Semakin banyak aktiviti dilakukan diharapkan lebih ramai pelajar berpeluang melibatkan diri di dalam meningkatkan kemahiran softskills masing masing. Semakin tinggi tahap aktiviti ( jumlah dana, peringkat UKM atau kebangsaan atau antarabangsa) maka diharapkan akan lebih banyak peluang softskills pelajar dapat digilap.
    5. Kolej pula selain mempunyai peranan asas sebagai penginapan pelajar, memberikan peluang di dalam membangunkan nilai dan kemahiran sosial pelajar (pembangunan afektif). Di kolej pelajar akan berpeluang berinterksi dengan berbagai latarbelakang pelajar. Samada berbeza kaum, bahasa, bidang pengajian, status ekonomi, berbeza ideologi dan pemikiran dan sebagainya. Maka kolej sangat siknifikan di dalam memberikan pembangunan kemahiran sosial kepada para pelajar. Kemahiran sosial seperti menghormati, toleransi, mengenali sensitiviti orang lain dan sebagainya tidak akan ada di tempat lain di dalam kampus sebanyak yang ada di kolej .
    6. Oleh itu PPU, PAP-JPPEL dan Kolej memberikan tiga input yang beriringan kepada pembangunan pelajar. PPU memberikan perluasan ilmu, PAP-JPPEL memberikan peluang pembangunan softskills manakala kolej menyediakan peluang pembangunan interaksi sosial  kepada para pelajarnya.
    7. Oleh itu sangat perlu ketiga tiga bahagian ini diselaraskan sumbangannya kepada para pelajar agar i) tidak berlaku pertindanan peranan anatara satu dengan yang lain. ii) perancangan membangunkan modal insan pelajar dapat dilakukan secara lebih holistik jika ketiga tiga komponen ini jelas peranan mereka, iii) penjimatan kos kewangan dan sumber manusia kakitangan UKM dapat dilaksanakan secara berkesan dan iv) beban kredit pelajar dapat disesuaikan dengan hasil pembelajaran (learning outcomes).
    8. Kesempatan meneliti keadaan semasa memang menunjukkan apa yang dilakukan oleh PPU melalui Kursus Pembangunan Diri untuk membangunkan softskills turut dilakukan oleh JPPEL dan Kolej Kediaman. (sepatutnya PPU membangunkan peluasan ilmu).
    9. Maka  berlaku keadaan di mana pelajar akan mengikuti program khidmat masyarakat beberapa kali dalam setahun di PPU, Kolej dan anjuran persatuan pelajar di bawah JPPEL. Bagaimana dengan program pembangunan Bahasa Inggeris, program kerjaya, aktiviti perpaduan, latihan kepimpinan, aktiviti pem,bangunan kerohanian dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman yang lepas, jika disusun senarai aktiviti mengikut kategori, kita akan dapati program pembangunan Bahasa Inggeris akan berada di tangga yang paling bawah manakala khidmat masyarakat akan berada di tangga yang paling atas.
    10. Antara puncanya  PPU, PAP-JPPEL dan kolej melaksanakan perancangan masing masing tanpa diselaraskan dengan unit yang lain. Memang betul semua aktiviti memberikan peluang untuk pelajar membangunkan softskills masing masing tetapi dengan penyelarasan yang betul, keberkesanan membangunkan pelajar tentunya akan menjadi lebih baik. 
    11. Pelajar IZISH di Hutan Pendidikan Alam UKM
    12. Maka benar juga kata pepatah lama, jika inginkan hasil yang berbeza, jangan kita ulangi setiap kali dengan cara yang sama seperti sebelumnya. Sekadar satu pandangan peribadi...