Kisah ahli politik pembangkang di Perak yang dengan sengaja mempersendakan
sambutan Aidil Fitri minggu lalu nampaknya benar-benar telah melukai hati
masyarakat Melayu Islam negara ini. Pada yang waras dan rasional, tindakan
seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar. Pada yang lain, ada yang
berpandangan ia mungkin sengaja dilakukan untuk meraih perhatian politik atau
mungkin juga sengaja diwujudkan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu
yang sedang melanda pemimpin utama parti beliau di Pulau Pinang. Apa pun alasan
yang diberikan termasuk tindakan memadamkan kenyataan di laman facebook beliau, jelas tindakan beliau atas
nama politik yang diasaskan kepada sentimen perkauman adalah sesuatu yang tidak
wajar sama sekali.
Pasca politik tahun 2000 nampaknya menyaksikan politik
negara ini kuat mempengaruhi hubungan etnik masyarakat. Sebelumnya juga wujud
pengaruh politik di dalam soal hubungan etnik tetapi tidaklah sehebat selepas
1998. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan satu dilema baru. Di satu pihak,
politik pasca 1998 membuktikan demokrasi moden yang diamalkan sejak pilihanraya
pertama 1955 diraikan oleh semua pihak. Buktinya, hari ini negara kita telah
mempunyai pelbagai parti yang ada sebahagiannya bersifat monoetnik dan
sebahagian yang lain pula bersifat multietnik. Ada juga yang walaupun sifatnya
multietnik tetapi nampaknya sejak dulu hanya di dominasi oleh hanya satu etnik.
Manakala yang bersifat monoetnik pula ada yang sekian lama berjaya mengamalkan
kolaborasi dengan parti monoetnik yang lain. Melihat kerencaman sifat parti-
parti di negara ini sahaja sudah cukup menarik. Apa yang jelas, demokrasi telah
diraikan di negara ini.
Di satu pihak yang lain, demokrasi moden ini juga membawa
kepada budaya permainan politik perkauman yang semakin membesar antara pemimpin
parti- parti politik. Di saat kita ingin meraikan politik berpilih raya sebagai
asas demokrasi, kita juga terpaksa berhadapan dengan permainan politik
perkauman yang ada masanya mampu menggugat kestabilan negara dan perpaduan
masyarakat. Apa pilihan yang kita ada untuk menguruskan dilema ini? Bagaimana
kita dapat meraikan demokrasi secara harmoni tanpa menggugat kesejahteraan hubungan
etnik?
Penelitian penulis menunjukkan hubungan etnik di negara ini
sudah berada di gelombang fasa ketiga. Fasa pertama, kita hidup secara terpisah
pisah. Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan begitu juga India dengan
India. Jika pun berinteraksi, ia atas tujuan- tujuan yang tertentu sahaja.
Misalnya kerana berurus niaga atau dalam acara rasmi sahaja. Pemisahan etnik ini
berlaku kerana dasar pentadbiran yang dijalankan penjajah. Kemudian selepas
merdeka, kita masuk ke fasa kedua. Kita mula impikan seluruh rakyat Malaysia
bersatu padu dengan menjadi satu bangsa.
Kita mula wujudkan dasar-dasar pelajaran seperti Laporan
Pelajaran Barnes 1950 dan Laporan Pelajaran Razak 1956 yang cuba untuk
merealisasikan impian tersebut. Kita percaya bahawa perpaduan melalui cara
bertolak ansur dan toleransi mampu menjadikan kita bersatu. Setelah sekian lama
di fasa dua ini, baru kita sedar sebenarnya bahawa kita adalah sebuah
masyarakat majmuk dan adalah mustahil menjadi satu untuk perpaduan. Tolak ansur
nampaknya tidak membantu kita membina perpaduan yang sebenarnya. Malah dalam
banyak keadaan, amalan tolak ansur ini tidak boleh berfungsi dengan baik bila
kedua dua pihak dari kumpulan etnik yang berbeza sudah membuat pendirian
masing-masing tentang apa yang mereka mahu secara tegas. Oleh itu, impian
menjadi satu bangsa melalui cara bertolak ansur untuk perpaduan sebenarnya tidak
sesuai untuk rakyat kita. Kita mungkin terlalu kagum dengan pemikiran perpaduan
negara penjajah yang sebenarnya jauh berbeza dengan persekitaran masyarakat
kita. Masyarakat mereka memang homogenous sifatnya sedangkan masyarakat negara
kita kepelbagaian sifatnya. Di sini, kita mempunyai rakyat yang berbeza agama,
latar budaya, bahasa dan cara hidup.
Kini kita mula memasuki fasa ketiga. Di fasa baru ini, kita
nampaknya lebih faham bahawa menguruskan perpaduan di negara yang majmuk
seperti Malaysia memerlukan sifat keterbukaan di dalam meraikan kepelbagaian. Kita
tidak boleh sekadar hanya mengamalkan konsep tolak ansur yang tidak jelas ke mana
hala tujunya lagi. Kini kita lebih yakin bahawa meraikan kepelbagaian adalah
lebih baik dari sekadar bertolak ansur sahaja. Kita mula mengamalkan konsep
‘bersetuju untuk tidak bersetuju” untuk meraikan kepelbagaian kita. Kita
melihat jika kita mampu menguruskan kepelbagaian untuk membina perpaduan, itu
adalah lebih baik daripada memaksakan ‘perpaduan yang satu dan homogen’.
Pakar-pakar kajian etnik tempatan seperti Profesor Ulung
Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin telah memberikan cadangan supaya jika dulu
kita mendidik rakyat negara ini supaya mengimpikan sebuah negara yang rakyatnya
bersatu padu secara homogenous, hari ini kita harus kembali memulakan usaha
untuk mendidik rakyat kita untuk melihat kepelbagaian yang disepadukan sebagai
satu bentuk perpaduan. Istilah baru seperti ‘perpaduan di dalam kepelbagaian’
mula dipromosikan bagi memenuhi tujuan ini. Tetapi kita juga tahu menguruskan
dan meraikan kepelbagaian adalah sangat sukar dan tidaklah semudah yang
dibayangkan.
Bagi memahami situasi di fasa tiga ini, ada baiknya kita
kembali melihat asas kenegaraan negara ini. Negara ini sebenarnya telah pun mempunyai
dua asas kenegaraan yang jelas. Jika keduanya dihayati, pastinya keharmonian
masyarakat akan lebih baik. Asas kenegaraan yang pertama ialah identiti negara.
Terkandung di dalam asas kenegaraan yang pertama ini Perlembagaan Negara, Rukun
Negara, lagu Negara ku, Bendera Malaysia, sistem demokrasi berparlimen,
institusi raja-raja dan sebagainya.
Asas kenegaraan yang kedua
ialah identiti kebangsaan yang mengandungi antara lain Sekolah Kebangsaan, kebudayaan
kebangsaan, Bahasa Kebangsaan dan sebagainya. Di saat identiti negara dilihat
diterima dengan baik oleh hampir semua rakyat dari pelbagai kaum dan etnik,
identiti kebangsaan sebaliknya terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik dan
perbalahan. Kajian- kajian yang telah dijalankan oleh para pengkaji menunjukkan
Identiti kebangsaan inilah yang dikenal pasti masih belum berjaya diterima dan
dihayati oleh rakyat Malaysia seluruhnya. Malah jika kita tinjau, perbalahan
politik perkauman pun sebenarnya banyak berlegar di dalam kancah perbalahan sama
ada untuk menerima identiti kebangsaan atau sebaliknya. Misalnya, Sekolah
kebangsaan sehingga kini masih belum benar-benar menjadi sekolah negara untuk
seluruh rakyat Malaysia. Begitu juga dengan bahasa kebangsaan dan kebudayaan
kebangsaan yang masih dalam polemik penerimaan.
Soalnya, apakah kerangka kenegaraan ini kita perlu ubah atau
sebenarnya kita perlu kukuhkan kembali khususnya identiti kebangsaan ini supaya
semua rakyat yang berbilang kaum lebih harmoni kehidupan mereka? Adakah konsep
perpaduan dalam kepelbagaian ini selari dengan asas kenegaraan kita? Apakah
meraikan kepelbagaian sesuai dengan identiti kebangsaan? Sedangkan ketika
dibina asas kenegaraan ini sewaktu awal merdeka, bayangan idea dan pemikiran
para pemimpin kita pada waktu itu ialah membina sebuah perpaduan yang homogen dan
bukannya untuk membina perpaduan di dalam kepelbagaian. Bolehkah asas
kenegaraan yang dibina sebegitu dapat memenuhi maksud dan tujuan perpaduan yang
meraikan kepelbagaian pada masa kini?
Bila kita meneliti kembali setiap kandungan asas kenegaraan
yang telah ada, kita tahu ada bahagian yang boleh disesuaikan dan ada juga
bahagian yang perlukan perubahan. Sebagai contoh Perlembagaan Negara kita
sangat meraikan kepelbagaian. Perkara 152 berkaitan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan disekalikan dengan jaminan kebebasan di dalam Perkara 152 (a)
untuk setiap kumpulan etnik menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Begitu
juga dengan Perkara 3 berkaitan Agama Islam sebagai agama rasmi negara
disekalikan dengan jaminan kebebasan beragama secara damai kepada penganut-penganut
agama lain di negara ini. Ini sekadar dua contoh yang jelas dan mudah untuk
difahami.
Tetapi ada juga asas kenegaraan yang boleh kita buat
perubahan untuk memenuhi tujuan meraikan kepelbagaian untuk membina perpaduan.
Misalnya konsep sekolah kebangsaan perlu lebih terbuka sifat kebangsaannya.
Sekolah kebangsaan harus lebih kepelbagaian sifatnya sebagaimana semangat di
dalam Perkara 152 dan Perkara 3 yang disarankan di dalam Perlembagaan Negara.
Sekolah kebangsaan harus lebih meraikan kepelbagaian etnik
kerana kepelbagaian etnik sekarang sudah menjadi satu asas identiti kebangsaan.
Sebagai contoh, sekolah kebangsaan bukan sahaja harus meraikan kebudayaan
Melayu tetapi juga meraikan kebudayaan Cina, India dan suku etnik Sabah dan
Sarawak. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja sekadar meraikan Hari Raya tetapi juga
Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan atau Hari Gawai secara bersama sama
dengan penuh kemeriahan. Bukan sekadar Bahasa Melayu, Inggeris tetapi Bahasa
Mandarin dan Tamil juga harus diperkukuhkan di sekolah kebangsaan, bukan hanya
untuk anak-anak Cina atau India tetapi juga untuk dipelajari oleh anak Melayu,
Iban, Kadazan atau yang lainnya.
Sekolah kebangsaan harus benar- benar bersifat Sekolah Malaysia
yang disertai oleh pelbagai kaum dan etnik. Tentu banyak lagi asas-asas
kenegaraan sebegini yang boleh diubah untuk kita benar-benar meraikan
kepelbagaian di dalam membina perpaduan. Semoga kita akan berjaya membina
perpaduan yang sebenarnya melalui meraikan kesepaduan di dalam kepelbagaian.