31 August, 2013

Mitos Perpaduan Kaum....

Di dalam memahami isu hubungan kaum di Malaysia, kita seringkali menggunakan istilah perpaduan (unity). Kita jarang atau hampir tidak menggunakan istilah kesepaduan (cohesion).

Apa beza antara keduanya? Perpaduan membawa maksud menjadi satu, berpadu, bergabung atau bercampur sehingga kita tidak lagi mengenali bentuk asal. Bila warna kuning dan hijau bercampur atau berpadu, warna biru akan muncul. Kita tidak lagi dapat melihat warna asalnya tetapi kita tahu warna biru terhasil dari warna kuning dan hijau.

Kesepaduan pula bermaksud seiring, bersama, selari atau harmoni. Kesepaduan tidak bermaksud berpadu sehingga hilang bentuk asalnya. Bila kita mendengar muzik, keharmonian bunyi datang dari berbagai alat muzik yang dimainkan secara bersama, seiring dan saling melengkapi.

Tetapi jika kita dengar dengan teliti kita masih boleh membezakan bunyi bunyi yang dihasilkan samada dari gitar, gendang, drum, trompet, piano dan sebagainya. Sifat keharmonian muzik yang merdu itu datangnya dari sifat saling melengkapi antara satu sama lain dalam irama tersebut. maka identiti bunyi dari setiap alat muzik kekal berbeza, tetapi ia melengkap antara satu sama lain.

Bagaimana dengan bentuk hubungan etnik/kaum di Malaysia? Apakah kita inginkan bentuk yang berpadu menjadi satu atau bersepadu secara harmoni tanpa menghilangkan identiti asalnya?
Sehingga ini kita tidak ada jawapan yang tepat. Oleh itu kefahaman kita harus diperdalamkan.

Kita kena kembali kepada sejarah bagaimana bentuk hubungan etnik/kaum ini dimulakan. Apakah bentuk awal yang kemudiannya menjadi teras budaya dalam masyarakat sehingga diterima oleh semua.

Hubungan kaum kaum di Malaysia bermula secara berperingkat. Pertama, keberadaan orang Melayu di bumi semenanjung ini. Sejarah telah membuktikan orang melayu adalah orang asal, yang pertama dan yang paling awal menjadi penghuni bumi semenanjung. maka ini hakikat yang perlu diterima dan menjadi teras.

Bolehkah fakta ini diubah? Tidak boleh. Kita tidka boleh mengubahnya walaupun kita mahu mengubahnya. Sejarah telah begitu. Ibaratnya bolehkah kita atas alasan tidak suka nama kampung tempat di mana kita telah dilahirkan, mengubah fakta bahawa kita lahir di kampung lain. Mungkin kita boleh menukarkan di seribu dokumen tetapi sejarah tetap sejarah. Sejarah telah menyebabkan kita akan kekal begitu.

Orang Cina, India, Pakistan, Arab dan sebagainya datang ke Tanah Melayu, kemudiannya. Oleh kerana orang Melayu ketika itu sudah mempunyai sistem kerajaan, pemerintahan, undang undang serta sistem masyarakat maka mana mana kumpulan yang datang ketika itu dinamakan sebagai imigran.

Tetapi jika ketika itu belum ada kerajaan Melayu, belum ada undang undang atau sistem masyarakat, tentulah kehadiran kumpulan ini tidak lagi dikatakan sebagai imigran. Ini juga satu sejarah yang harus diterima, suka atau tidak ia akan tetap kekal begitu.

Maka kehadiran imigran dalam ruang masyarakat Melayu di semenanjung tentulah menimbulkan pertentangan nilai dan norma hidup. 
Sistem nilai, keagamaan, bahasa, cara hidup orang melayu, Cina dan India adalah berbeza. Pendidikan serta ruang perumahan menambahkan lagi jurang perbezaan ini. Pihak kolonial melakukan apa yang dipanggil 'pecah dan perintah' untuk menguruskan hal ini. Akibatnya orang Melayu tinggal di kampung asal mereka, Cina di bandar dan lombong manakala orang India di estet dan ladang milik kolonial.

Pecah dan perintah ini bukan sahaja dalam ekonomi tetapi juga dalam hal pendidikan dan penempatan. Pendidikan di tanah melayu menjadi sistem vernakular iaitu satu sistem pendidikan yang diasaskan kepada bahasa ibunda. Maka lahirlah sekolah Melayu, Arab, sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Tamil di seluruh Tanah Melayu.

Apa yang dipelajari di sekolah, itulah yang digunakan sehingga alam dewasa. Akhirnya kerana pendidikan, masyarakat Malaysia mula terbentuk sifat, identiti dan ruang yang berbeza beza. Sebelum merdeka, kepelbagaian ini tidak menimbulkan banyak masalah. Orang Melayu kekal di kampung, Cina di bandar dan India di estet.

Tetapi bermula sekitar 1950an membawa kepada  akhir 1970an, industrilisasi, perkilangan serta perkembangan ekonomi dunia telah membawa kepada penghijrahan orang melayu dan india ke bandar bandar, pusat berlakunya industrilisasi. Maka pertembungan nilai, perebutan peluang ekonomi, timbul rasa irihati dan tidak puashati mula berkembang, di mana hal yang seperti ini tidak berlaku sebelumnya. Kemuncaknya ialah 13 Mei 1969.

Bagaimana kita ingin menguruskan hubungan kaum di negara ini? Adakah kita bersetuju berpadu dalam menguruskan kepelbagaian ini? Apakah kita ingin menjadi satu, meninggalkan bentuk asal identiti kita untuk bersatu, berpadu dan bergabung dengan kaum kaum yang lain?

Melihat kepada cara berfikir dan bertindak di kalangan semua kaum di Malaysia, jawapnya tentulah tidak. Jika pun semua kita bersetuju bergabung, kita lebih cenderung untuk bersetuju jika gabungan itu harus mengikut cara kaum kita, bukan cara kaum kaum yang lain. Akhirnya kita 'berbohong' pada diri sendiri bahawa kita sebenarnya ingin berpadu.

Apa yang sebenarnya kita sebagai seluruh rakyat Malaysia inginkan ialah bersepadu. Kita ingin terus kekal dengan cara hidup asal kita tetapi pada masa yang sama kita bersedia untuk menjadi pelengkap kepada kehidupan bersama kaum kaum yang lain.

Kita inginkan kehidupan yang ada kepelbagaiannnya ini diharmonikan. Kita ingin bahasa Melayu, bahasa Mandarin, Tamil dan sebagainya kekal sebagaimana asalnya. Malah kita pasti ingin untuk melihat anak Melayu bertutur fasih dalam bahasa Mandrin atau Tamil. Kita juga pasti ingin melihat anak anak kaum Cina dan India fasih dalam bahasa Melayu.

Oleh kerana kita telah salah membuat tafsiran dengan membawa obor untuk berpadu, maka sampai bilapun kita tidak akan dapat mencapai objektifnya kecuali kita bersedia untuk berkahwin campur (kahwin dengan pasangan dari kaum bukan sama dengan kita).

Maka akan lahirlah anak anak yang benar benar hasil perpaduan. Selain bentuk ini, kita harus menerima hakikat bahawa usaha membina kesepaduan lebih berkesan dari sekadar slogan untuk perpaduan semata mata.

Apakah asas dalam membina kesepaduan?

Pertamanya, tentulah bermula dengan pemahaman dan penghayatan sejarah. Keduanya, kesediaan menerima kontrak sosial sebagai asas untuk bersepadu. Ketiga, menghormati undang undang dan perlembagaannya.

Seterusnya yang ke empat, membawa kepada kesaksamaan dan keadilan sosial untuk semua. Semua kaum tidak boleh dipinggirkan. Adil tidak bermaksud sama. Keadilan bermaksud meletakkan hak pada tempatnya. Jika si miskin layak lebih banyak bantuan dari si kaya, itu adalah meletakkan hak pada tempatnya.

Sekolah harus segera memahami maksud kesepaduan, Seterusnya melakukan perlaksanaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Anak anak mula dibina konsep menghormati budaya hidup kaum lain, menghormati agama dan bahasa kaum yang lain.

Begitu juga para pelajar harus diberikan peluang untuk mula meneliti konsep toleransi, muhibbah, meraikan serta mengiktiraf kaum lain secara telus dan konsisten. Lebih banyak interaksi dianjurkan antara anak anak dari kaum yang berbeza. 


29 August, 2013

Bila Pasukan Felo dan Staf Kolej Ibu Zain Mula Berinovasi...

Sejak saya dilantik sebagai pengetua Kolej Ibu Zain, salah satu isu yang tidak pernah selesai ialah masalah gangguan monyet di kawasan kolej kediaman. Hampir kebanyakkan kolej kediaman lain juga mengalami isu ini.

Malah isu ini semakin ketara bila pembangunan institut, jabatan dan unit baru yang semakin giat berlangsung di UKM, menyebabkan kawasan hutan UKM menjadi semakin kecil. Kehidupam monyet menjadi semakin tersepit terutamanya mendapatkan makanan mereka.

Akibatnya tong sampah menjadi sasaran monyet monyet ini. dalam keadaan terdesak kerana lapar, mereka akan masuk ke bilik pelajar yang tidak menutup tingkap atau pintu blok kediaman. Tentulah mereka ini tidak bersalah, kerana mereka sekadar menurut naluri. Bila lapar mencari makanan.

Oleh itu warga UKM perlu menyesuaikan kehidupan mereka dengan kehadiran monyet monyet ini. Kolej Ibu Zain khususnya merupakan kawasan tumpuan utama kumpulan monyet kerana berada paling hampir dengan persekitaran hutan UKM dan kolej ini juga berada di atas Bukit Warisan di dalam kampus UKM.

Persekitaran ini menuntut warga kolej Ibu Zain  lebih prihatin dan sensitif dengan kehadiran monyet monyet ini dan di KIZ beberapa langkah menguruskan isu ini telah dilakukan.

Pertama, pihak pengurusan KIZ menyediakan taklimat dan wacana oleh pakar primat UKM dari FST untuk para pelajar kolej memahami secara ringkas tingkalaku monyet.

Kedua menganjurkan "Food Waste Phase Out", satu aktiviti pengurusan sisa makanan secara betul untuk megelakkan gangguan monyet.

Terbaru pihak felo dan staf kolej Ibu Zain telah berkerjasama melakukan inovasi dengan membina tong sampah kalis monyet. Sejak dibina seminggu lalu, sehingga hari ini tong ini berjaya menghindar monyet menyelongkar tong sampah berkenaan.

Pihak kolej Ibu zain akan terus berusaha menganjurkan aktiviti berkaitan membina kesejahteraan dalam kampus dan kolej. Terima kasih pasukan felo dan staf KIZ...hebat juga rupanya bila pasukan felo dan kakitangan KIZ berinovasi...


21 August, 2013

Felo Kolej Kediaman, Mari Berubah Sebelum Diubah....


  1. Semalam (19 Ogos 2013), pihak Majlis Pengetua dan JPPEL telah berjaya anjurkan Bengkel Pemantapan Felo Kolej Kediaman bagi tahun 2013 di Danau UKM. 
  2. Bengkel ini diadakan setiap tahun, kadangkala di dalam kampus UKM, jika ada peruntukan kewangan pernah juga dianjurkan di luar kampus UKM.
  3. Sejak dulu, di mata pihak pengurusan UKM, institusi felo perlu dipertahankan. Malah kepercayaan bahawa institusi ini penting di dalam menguruskan hal ehwal pelajar tidak pernah luntur dan dinafikan. 
  4. Di negara luar, institusi felo juga ada di dalam persekitaran kampus. Di Universiti Oxford misalnya, institusi felo menggunakan istilah "Don". Para Don merupakan ahli akademik muda yang mempunyai reputasi akademik yang baik dan sering menjadi rujukan para pelajar. 
  5. Sebagai Don mereka selalu mengadakan perbincangan, diskusi, dialog serta ceramah akademik secara berkala pada pelajar di kolej masing masing. Institusi Don sangat dihormati oleh para penghuni kolej kerana nilai nilai serta pengetahuan akademik yang dimiliki oleh para Don yang dilantik oleh pihak College Master/Principal/Guardian di kolej kolej.
  6. Di Malaysia istilah felo digunakan sebagai 'pembimbing' kepada para pelajar di kolej kolej kediaman. Seperti 'Don', peranan felo sebenarnya penting dalam menjadi rujukan membina budaya ilmu di kolej kolej kediaman. Pada awalnya, idea mewujudkan institusi felo adalah lantikan pengurusan universiti di kalangan ahli akademik. 
  7. Sehingga tahun 2001, felo juga dibantu oleh pasukan tutor penghuni yang dilantik di kalangan pelajar sarjana dan PhD. Hari ini kriteria ini sudah tiada lagi. Instituysi Felo sekarang telah bercampur campur, ada felo dari kakitangan akademik, kakitangan sokongan dan juga dari kalangan pelajar siswazah. Kepelbagaian ini sedikit sebanyak telah melenyapkan tujuan asal kewujudan felo bagi meningkatkan budaya intelektual dan budaya ilmu di kolej kediaman.
  8. Hari ini, perana felo dijelmakan dalam bentuk yang sangat berbeza. Sekarang setiap felo diberikan amanah menjaga kebajikan pelajar. Menghantar pelajar sakit ke hospital, mengambil kunci pendua di pejabat apabila pelajar tertinggal kunci bilik, membuat spot check, mengeluarkan amaran serta 'saman' pada pelajar yang melakukan kesalahan di kolej. pada saya, peranan felo jauh tersimpang dari maksud asalnya.
  9. Malah di UKM selepas 2008, institusi felo juga diberikan tanggungjawab baru, sebagai pembimbing aktiviti pelajar di kolej sebagai cara untuk meningkatkan pembangunan softskills para pelajar UKM.
  10. Persoalannya, sejauh mana institusi felo ini akan bertahan dalam persekitaran kampus yang semakin kuat berubah? 
    • Perlaksanaan LC versi 2013-2014, pasti akan menjauhkan aktiviti pelajar dari pandangan mata felo, lebih lebih lagi akan semakin banyak aktiviti dianjurkan di fakulti. Perlaksanan LC akan menggunakan khidmat penyelia (sekurangnya kurangnya memiliki kelulusan sarjana dan keutamaannya dari kalangan ahli akademik dan penilai LC dari lantikan pihak fakulti sepenuhnya).
    • Sistem aduan dalaman secara online sedang dipertingkatkan keberkesanannya. Dalam masa terdekat, para pelajar di kolej kediaman akan boleh terus membuat aduan kerosakan kepada penyedia perkhidmatan (UPP, JPP, JPPEL etc) tanpa perlu melalui felo felo lagi.
    • Atas faktor kos, universiti akan lebih teliti membuat pemilihan dalam melantik felo bergantung kepada  kelayakan, bakat, pencapaian serta kelebihan kritikal yang ada pada felo. Misalnya, felo yang ada kemampuan meningkat penguasaan bahasa pelajar tentulaha akan diberikan keutamaan. Begitu juga felo yang memiliki kemahiran yang tinggi dalam sukan, seni, kepimpinan, usahawan, pidato dan inovasi pasti akan menjadi pilihan pengurusan UKM. Oleh itu jumlah felo pasti akan dikurangkan, dan hanya yang benar benar layak akan dilantik.
  11. Jika begitulah halnya, bagaimana institusi ini akan terus dipertahankan. Apakah ada jalan untuk memperkasa institusi ini untuk terus bertahan dalam satu jangka masa yang lebih panjang di UKM?
  12. Saya berkenyakinan institusi felo ini masih relevan, samada LC ada atau tiada. Begitu juga samada sistem aduan dalam atas talian ada atau tiada. Samada kos kewangan mendesak atau tidak. Pada saya,  empat tindakan jangkapendek harus dilakukan SEGERA bagi meningkatkan kerelevanan institusi felo ini di UKM.
    • Pertama, institusi felo harus diterjemahkan sebagai satu badan penggerak 'budaya ilmu' di kolej kolej kediaman UKM. Para felo bersama pelajar kolej harus mengambil tindakan luar kotak menganjurkan program program intelektual yang berprofil tinggi bagi mengantikan aktiviti-aktiviti 'pasar malam' di dalam kolej kediaman. Betul, pasti yang akan tersenyum dengan pandangan ini, kononnya "siapalah yang berminat dengan majlis ilmu". "Lebih baik anjurkan pasar malam dan rumah hantu kerana ia pasti mendapat sambutan pelajar". Inilah cabarannya. Institusi felo harus berani untuk memulakan budaya ilmu berprofil tinggi di dalam kampus. bagi memastikan kelangsungannya, pasukan felo mesti menjadi  pasukan yang menggerakkan aktiviti keilmuaan, sehinggalah aktiviti ilmiah berjaya menjadi satu budaya di kalangan para pelajar UKM.
    • Kedua, kebolehpasaran mahasiswa merupakan kemuncak kepada mengapa pelajar datang belajar di UKM dan ingin keluar universiti dengan berjaya. Oleh itu, bila institusi felo berjaya memberikan tumpuan kepada meningkatkan kebolehpasaran pelajar di kolej masing masing, mereka pasti dilihat relevan di kolej masing masing.
    • Ketiga, pasukan felo merupakan 'peransang' untuk pelajar mengadakan lebih banyak dengan jaringan pihak luar, samada komuniti mahupun industri. Semakin banyak jaringan yang berjaya dilakukan oleh pasukan felo, maka akan semakin banyak peluang terbuka untuk para pelajar di kolej kolej mereka.
    • Keempat, pasukan felo harus meneliti, memahami serta menterjemah pelan Tranformasi UKM dan melihat secara mendalam bagaimana institusi felo boleh memberikan sumbangan yang siknifikan. Bagaimanan institusi felo boleh menyumbang untuk menjayakan pengantarabangsaan bahasa melayu, soal penghasilan graduan yang berminda global serta sistem penyampaian yang berkesan.
  13. Jika rakan rakan felo yang sedang berkhidmat di kolej kolej kediaman sekarang merasakan cabaran ini sukar dan berat, saya setuju. MMenag berat dan perlukan latihan untuk menguasainya. Malah pada saya, ini bukanlah salah para felo. Untuk meningkatkan keupayaan felo, lebih banyak latihan, kursus, bengkel dan seminar yang perlu didedahkan pada para felo. Pihak HEPA melalui JPPEL tentunya sudah ada perancangan untuk menjayakan hasrat mewujudkan pasukan felo terbaik di UKM. 
  14. Semoga institusi 'keramat' ini akan terus berada di UKM. Saya panggil keramat kerana institusi felo yang dianggotai sekitar 150 orang sahaja, bertanggungjawab kepada hampir 13,000 pelajar yang tinggal di semua kolej kolej kediaman UKM. Pasukan felo juga merupakan pasukan yang paling di hadapan dalam pengurusan HEPA, kerana merekalah kumpulan yang paling hampir dengan pelajar. Mereka makan, minum, tidur dan hidup bersam sama pelajar di kolej kolej. Mereka tahu asam garam kehidupan pelajar, mereka juga tahu suka duka pelajar di kolej. Mereka selalu mendengar pujian, cemuhan, rungutan dan kritikan pelajar pada pihak pengurusan UKM. Mereka mendengar dan mereka merasainya. Oleh itu, pada saya institusi ini ada kekuatannya, dan ada keramatnya....